Thursday, September 29, 2022

‘Ringgit akan terjejas jika AS$600 juta keluar dari akaun Najib’

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 29, 2022 7:14 PM

Seorang jurubank memberi keterangan bahawa pasaran kewangan akan berubah dan nilai ringgit akan terjejas jika AS$600 juta telah dipindahkan daripada akaun perdana menteri Najib Razak.

Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank,Yap Wai Keat berkata demikian ketika memberi keterangan lisan dalam perbicaraan rasuah 1MDB berhubung penyelewengan RM2.28 bilion membabitkan Najib, petang tadi.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, saksi pendakwaan ke-38 itu menjelaskan atas sebab itu akaun tertuduh yang berakhir dengan 694 dengan bank komersial itu mewujudkan kod nama "MR Banking AmPrivate" dan bukannya namanya.

Peguam itu mahu tahu mengapa walaupun nama kod diberikan tetapi Yap masih boleh memberi keterangan bahawa akaun bank itu adalah milik Najib.

Wan Aizuddin secara khusus menyoal tentang aliran masuk kira-kira AS$20 juta (RM60,629,839.43) ke dalam akaun Najib daripada Putera Faisal Turki Bandar al-Saud antara 24 Feb dan 14 Jun, 2011, dalam dua urusniaga berjumah kira-kira AS$10 juta setiap satu.

Yap menjelaskan bahawa pengurus perhubungan Ambank, ketika itu, Joanna Yu telah memberitahunya (Yap) bahawa dia mewujudkan nama itu kerana tertuduh ketika itu adalah individu yang terdedah secara politik.

Saksi itu berkata Yu memberitahunya demikian semasa mengatur penukaran mata wang asing berjuta-juta dolar kepada ringgit ke dalam akaun Najib.
Joanna Yu
Yap berkata bahawa nama itu akan menghalang orang luar - seperti peserta pasaran pertukaran asing - untuk mengetahui tentang sebarang transaksi besar yang mengalir masuk atau keluar dari akaun.

Yap: Kami (AmBank) cuba untuk tidak mendedahkan identiti pelanggan kepada orang luar.

Wan Aizuddin: Apa yang menyebabkan ia (akaun Najib) sensitif?

Yap: Pertama, beliau (Najib) adalah perdana menteri pada masa itu, dan jumlah transaksinya agak besar. Jika pasaran mengetahui jumlahnya, pasaran akan mengambil kedudukan dan ini menjejaskan nilai ringgit.

Wan Aizuddin: Katakan AS$10 juta dipindah masuk ke dalam negara untuk ditukar kepada ringgit dan penerima bukan Najib. Adakah ini akan mengubah kedudukan pasaran?

Yap: Tidak, kerana AS$10 juta tidak akan memberi kesan besar, tetapi dengan AS$600 juta (transaksi wang masuk dalam akaun Najib) kita perlu lebih berhati-hati.

Disebabkan itu Joanna (Yu) mewujudkan nama kod AmPrivate Banking MY untuk Datuk Seri (Najib), itulah yang saya tahu tentang nama penerima.

Pada ketika ini, Wan Aizuddin mengingatkan Yap bahawa pemeriksaan balas itu bukan berkaitan dengan AS$620 juta yang mengalir keluar daripada akaun Najib tetapi sebaliknya berhubung AS$20 juta, yang saksi itu kembali menjawab secara khusus mengenai transaksi terakhir itu.

Prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini serta Isnin minggu depan.

Pada 2016, peguam negara ketika itu Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam urusan 1MDB, dengan mendakwa Najib menerima sumbangan AS$681 juta (RM2.08 bilion) daripada kerabat Arab dan telah memulangkan AS$620 juta wang derma itu.
Mohamed Apandi Ali
Sebelum ini, semasa perbicaraan rasuah 1MDB, pengurus cawangan AmBank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi, memberi keterangan bahawa RM2.08 bilion masuk ke akaun Najib yang berakhir dengan 694 dalam sembilan peringkat antara Mac dan April 2013 dan RM2.03 bilion mengalir melalui lima transaksi antara 2 Ogos dan 23 Ogos, tahun itu.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion daripada 1MDB.

Berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa, ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Dalam kenyataan pembukaan pendakwaan pada awal perbicaraan pada 28 Ogos 2019, timbalan ketua pendakwa raya Gopal Sri Ram berhujah bahawa jenayah itu didakwa dilakukan melalui empat fasa bermula dari 2011 hingga 2014.

Pendakwa berhujah bahawa sembilan pertuduhan pengubahan wang haram yang pertama berkaitan dengan dakwaan menerima RM2,081,476,926 yang menjadi perkara pertuduhan ketiga yang dipinda dan wang itu dikatakan jatuh ke dalam akaun tertuduh yang berakhir dengan nombor 694 dengan AmIslamic Bank.

Pihak pendakwaan mendakwa antara 2 Ogos 2013 dan 23 Ogos 2013, tertuduh memindahkan sejumlah RM2,034,350,000 kepada Tanore Singapura.
Pendakwa raya mendakwa pada masa yang sama, tertuduh telah menggunakan baki RM22,649,000 untuk membayar empat entiti dan seorang individu. Semua bayaran ini dikatakan memberi manfaat kepada tertuduh.

Mereka juga berhujah bahawa Najib menerima AS$20 juta (RM60,629,839.43) daripada dana 1MDB daripada Putera Faisal melalui dua bahagian bernilai AS$10 juta setiap satu - bahagian pertama pada 24 Feb 2011, dan bahagian kedua pada 14 Jun 2011.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa salah laku di 1MDB dilakukan oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan beberapa yang lain, dengan restu Najib.

Pasukan peguam pembelaan tertuduh bagaimanapun mendakwa bekas perdana menteri itu tidak mengetahui jenayah yang dilakukan di 1MDB dan penyelewengan itu hanya didalangi oleh Low dan ahli pengurusan dana pelaburan negara itu yang lain.

Uma Devi juga sebelum ini memberi keterangan dalam perbicaraan jenayah berasingan terhadap Najib membabitkan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Kedua-dua 1MDB dan SRC International dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Najib juga pernah menjadi penasihat emeritus kepada SRC International.

Pengerusi penasihat BN itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun, selepas Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos menolak rayuannya terhadap sabitan SRC International atas tujuh pertuduhan jenayah, serta hukuman penjara dan denda RM210 juta sebagai ganti lima tahun tambahan dalam penjara.

[Baca berita penuh]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-