Thursday, September 22, 2022

Tak mungkin Parlimen dibubar 10 Okt, kata Loke

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-September 22, 2022 8:15 AM
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, Bajet 2023 perlu dibahas dan diluluskan Parlimen. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menolak khabar angin bahawa Parlimen akan dibubarkan beberapa hari selepas Bajet 2023 dibentangkan kerana ia boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.

Bercakap menerusi forum dalam talian bertajuk “Anthony Jawab Jujur”, Loke berkata, tempoh itu terlalu singkat untuk Parlimen meluluskan bajet berkenaan.

“Proses meluluskan bajet tahunan biasanya mengambil masa antara enam hingga tujuh minggu,” katanya sambil menambah ia perlu dibahaskan, sebelum diundi di Parlimen.

Loke mengulas spekulasi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan membubarkan Parlimen pada 10 Okt ini, iaitu hanya tiga hari selepas membentangkan bajet tahunan.

Loke berkata, sekiranya Parlimen dibubarkan beberapa hari selepas bajet dibentangkan, ia tidak dapat diluluskan dan dilaksanakan tepat pada masanya untuk 2023.

Beliau berkata, sekiranya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan pada pertengahan November ini, maka ia akan memerlukan masa beberapa minggu sebelum kerajaan dan Kabinet baharu dapat ditubuhkan.

“Ini bermakna keseluruhan proses perlu bermula semula kerana kemungkinan menteri kewangan yang baharu mahu mengemukakan bajet baharu,” katanya.

Menurutnya, jika bajet tidak diluluskan menjelang Disember ini, maka kerajaan tidak boleh membayar gaji penjawat awam menjelang tahun baharu.

Sabtu lalu, Ismail ketika melancarkan jentera Pemuda Barisan Nasional memberi bayangan PRU15 akan diadakan dalam waktu terdekat.

Katanya, beliau akan menemui “Top Five Umno” dalam masa terdekat untuk membincangkan tarikh PRU15.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dalam program sama turut berkata, beliau berharap Ismail akan mendapat ilham mengenai tarikh terbaik PRU15 sekembalinya daripada menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.

Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini, tiga minggu lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan pada 28 Okt.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-