Showing posts with label Bajet 2023. Show all posts
Showing posts with label Bajet 2023. Show all posts

Saturday, February 25, 2023

Bajet PH-BN: Negeri majoriti Melayu diketepikan, negeri DAP diutamakan

agendaily.com
25/02/2023
Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang juga Ahli Parlimen PN Machang.

Hambar dan mengecewakan. Demikian ulasan Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung Bajet 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat, semalam.

Malah, belanjawan itu dianggapnya ‘indah khabar dari rupa’ yang dibentang di sebalik bunga-bunga bahasa, sedangkan janji kononnya bajet itu akan menghasilkan lonjakan ekonomi, tidak pula seperti yang dicitrakan.

Dalam kenyataan malam tadi (24 Februari 2023), beliau yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Machang, sedih kerana amat sedikit diketengahkan peranan kerajaan untuk membantu ekonomi Melayu dan Bumiputera.

“Negeri-negeri majoriti Melayu dan Bumiputera di Semenanjung seperti Kedah, Kelantan, dan Terengganu tidak langsung diberi insentif dan peruntukan pembangunan yang dapat mengubah nasib rakyat di sana.

“Tiada projek pemangkin ekonomi yang mahu disebut, walhal keutamaan dari segi keadilan ekonomi adalah di sana, seperti yang dilaporkan dalam Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal juga mengatakan bahawa dendam politik Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terhadap wakil rakyat parti lawan juga belum surut, termasuk tidak menyediakan peruntukan untuk pembangkang.

“Dendam politik juga belum surut. Peruntukan untuk semua ahli Parlimen pembangkang dinafikan terus.

“Walhal kami mendapat mandat yang besar dan jelas daripada rakyat!

“Manifesto Pakatan Harapan jelas berjanji memberi peruntukan sama adil buat semua wakil rakyat. Nampaknya seperti janji PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ) dalam manifesto – semua itu DUSTA belaka,” tegasnya lagi.

Lebih malang, kata Wan Ahmad Fayhsal tiada belas ihsan untuk peneroka Felda yang mana hutangnya telah Tan Sri Muhyiddin Yassin langsaikan ketika menjadi Perdana Menteri dahulu, tapi kini dibatalkan semula.

Beliau berkata sepatutnya benda yang baik diteruskan saja.

“Mengapa dibuat begini? Adakah kerana majoriti pengundi Felda memilih Perikatan Nasional tempoh hari (pada Pilihan Raya Umum Ke-15)?

“Lain pula nikmatnya untuk Pulau Pinang yang diterajui DAP. Lapangan terbang dibesarkan tapi untuk Kedah, dibatalkan projek lapangan terbang untuk Kulim yang mampu mengangkat taraf sosio ekonomi dan industri orang Melayu di sana.

“Banyak lagi perkara tempang yang kami akan angkat dan bahaskan minggu hadapan. Bak kata pepatah: “the devils are in the details”!,” katanya.

Pada masa sama, Wan Ahmad Fayhsal juga mengetengahkan persoalan mengenai syarikat swasta mana yang akan membangunkan pelabuhan di Pulau Carey, Selangor seperti yang diumumkan dalam bajet itu.

“Khabar angin bertiup kencang dari kalangan orang-orang pelabuhan. Jangan digadaikan kedaulatan negara dalam perang proksi kuasa besar!

“Kami akan semak dan imbang nanti semua butiran yang tempang ini dalam perbahasan minggu hadapan,” katanya.

Monday, October 10, 2022

Spekulasi bubar: Dewan Rakyat bersidang seperti biasa esok - speaker

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 10, 2022 12:48 PM
Mesyuarat Dewan Rakyat esok akan diteruskan seperti yang dijadualkan, maklum Speaker Azhar Azizan Harun.

Dia dipetik Berita Harian berkata bahawa Dewan Rakyat dijadual untuk membahaskan Bajet 2023.

"Ya (sidang) diteruskan, macam biasa, kecuali saya dimaklumkan apa-apa, setakat ini tiada sebarang pemakluman, saya tidak tahu benda ini (pembubaran Parlimen) kerana ia adalah kuasa Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong.

"Esok akan berlangsung waktu pertanyaan menteri (MQT), pertanyaan lisan dan diteruskan dengan pembahasan Bajet 2023," katanya hari ini.
Semalam, New Straits Times melaporkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menghadap Agong petang semalam.

Akhbar itu kemudian mendakwa bahawa Ismail telah mendapatkan perkenan Agong untuk membubarkan parlimen.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke London malam tadi.

Baginda berdua mengadakan lawatan khas ke United Kingdom (UK) bermula hari ini hingga 16 Okt ini.
Hari ini, NST turut melaporkan dalam artikel susulannya yang bertajuk, “Dissolution imminent” (Pembubaran pasti berlaku) tetapi tidak mengesahkan sama ada perkenan pembubaran parlimen itu telah ditandatangani atau tidak.

Begitu juga dengan China Press, yang memetik "sumber" yang enggan dinamakan mendakwa Ismail Sabri dijangka mengumumkan pembubaran parlimen pada jam 3 petang hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri dijadualkan menghadiri perhimpunan perwakilan MIC peringkat kebangsaan di Matrade Exhibition and Convention Centre di Kuala Lumpur, pada 2.30 petang hari ini.

Oleh itu, kebarangkalian Ismail Sabri untuk mengumumkan pembubaran parlimen pada jam 3 petang ini adalah rendah.

Dia juga dijadual menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno pada jam 8 malam ini.

Saturday, October 8, 2022

PN sedia bentang bajet baharu jika tubuh kerajaan selepas PRU-15

agendaily.com
08/10/2022
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada program Hari Sukan Negara di Putrajaya, hari ini (8 Oktober 2022).

Perikatan Nasional (PN) akan menawarkan satu belanjawan baharu yang lebih baik untuk rakyat dan negara sekiranya mampu menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin walaupun Parlimen akan dibubarkan sebelum Bajet 2023, kerajaan baharu PN akan membentangkan peruntukan yang baik untuk rakyat dan negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Hari Sukan Negara 2022, di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata belanjawan baharu perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat sekiranya PRU-15 diadakan sebelum Bajet 2023 diluluskan oleh Parlimen.

Pembentangan semula itu perlu dilakukan oleh kerajaan baharu yang dibentuk setelah keputusan PRU-15 diketahui. Ia pernah dilakukan pada 1999 ketika kerajaan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan enggan mendedahkan sama ada perkara berkaitan pembubaran Parlimen turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Perkara dalam mesyuarat Kabinet tidak boleh didedahkan kepada umum. Saya sudah bersumpah dengan nama Allah SWT di hadapan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak bercerita mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Kalau saya ceritakan masuk neraka. Saya tak nak masuk neraka.

“Dia makan rasuah, salah guna kuasa dengan bersumpah dengan nama Allah, kemudian kita tak ikut masuk neraka,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang tidak bersetuju dengan tindakan 12 Menteri PN mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian PN itu menolak PRU-15 diadakan tahun ini, Ahmad Faizal berkata, pihaknya perlu menyampaikan hasrat mereka kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, ketika Ahmad banyak tidak bersetuju dengan Ahli Parlimen PN, mereka juga tidak bersetuju dengan pemimpin UMNO itu.

“Ini adalah sebuah negara berdemokrasi. Kami fikir kami perlu menyampaikan hasrat dipersembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

“Ada pihak yang tak bersetuju, ada ramai juga yang bersetuju. Jadi tak perlu kita nak bergaduh. Saya menghormati beliau (Ahmad) dan saya fikir masing-masing boleh mengeluarkan pandangan,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO itu sebelum ini berpandangan keabsahan kerajaan ketika ini semakin berkurangan dengan tindakan 12 menteri Kabinet daripada PN itu.

Ahmad dilaporkan berkata, langkah 12 menteri Kabinet PN itu mengurangkan sebanyak 40 peratus keabsahan kerajaan sedia ada serta melambangkan ketidakpercayaan kepada apa yang ingin dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Agenda Daily melaporkan tindakan 12 menteri Kabinet daripada PN menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong itu tidak boleh ditafsir hilangnya kepercayaan kepada Ismail Sabri, berbanding perbuatan UMNO sebelum ini.

Sebaliknya, pengkhianatan 15 ahli Parlimen (MP) daripada UMNO sebelum ini yang menarik sokongan kepada PN, dianggap lebih teruk sehingga kerajaan yang dibangunkan untuk membela rakyat telah tumbang.

Beza tindakan 12 menteri PN hantar surat dengan khianat 15 MP UMNO

Hutang, liabiliti kerajaan RM1.42 trilion, 2023 naik lagi

satuberita.my
By Najmi Hakim
JUMLAH hutang dan liabiliti kerajaan setakat Jun 2022 dianggarkan berjumlah RM1.42 trilion dan akan meningkat lagi tahun depan apabila pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan Bajet defisit 2023, pelan perbelanjaan Persekutuan terbesar setakat ini.

Bajet 2023 dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini (7 Oktober 2022).

Hutang Kerajaan Persekutuan menyumbang 61 peratus daripada hutang kepada Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK), pada RM1.04 trilion meningkat daripada RM979.8 bilion pada 2021.

Menurut laporan Agenda Daily, jumlah hutang dan liabiliti adalah kira-kira 82 peratus daripada KDNK.

Komitmen jaminan sehingga tempoh yang sama meningkat kepada RM199 bilion daripada RM197.3 bilion pada 2021, manakala jumlah pinjaman yang dijamin oleh kerajaan sehingga Jun 2022 berjumlah RM307 bilion atau 17.9 peratus daripada KDNK, turun daripada RM310.4 bilion tahun lepas.

Jaminan kerajaan secara konvensional tidak termasuk daripada lembaran imbangan hutang dan liabiliti Persekutuan, tetapi terdapat peningkatan gesaan oleh ahli Parlimen pembangkang untuk memasukkannya ke dalam perbahasan pengurusan fiskal negara selepas skandal 1Malaysia Development Berhad mendedahkan pembayar cukai kepada hutang besar dana itu.

Lebih RM50 bilion telah digelapkan melalui dana kerajaan – skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia – yang diasaskan oleh bekas Presiden UMNO dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini menghadapi perbicaraan atas pelbagai tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Dia juga telah disabitkan dengan jenayah pecah amanah RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, dan kini menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang.

Sehingga Jun tahun ini, Kementerian Kewangan berkata RM19 bilion daripada wang yang dicuri itu telah diperoleh semula dan dimasukkan ke dalam akaun khas yang ditubuhkan untuk membayar hutang 1MDB.

Kerajaan Malaysia masih terdedah kepada RM25.9 bilion hutang oleh 1MDB sehingga Jun tahun ini, atau 1.5 peratus daripada jumlah hutang kepada KDNK.

Sementara itu liabiliti daripada projek perkongsian swasta-awam, inisiatif pembiayaan swasta dan program yang diterajui oleh syarikat infrastruktur awam PBLT Sdn Bhd turun kepada RM149 bilion daripada RM151 bilion tahun lepas.

Belanjawan 2023 letak keutamaan di tempat salah, kata ahli ekonomi

malaysiakini.com
Geraldine Tong
Diterbitkan: Oct 8, 2022 8:19 AM
BELANJAWAN 2023 | Walaupun beberapa dasar yang baru diumumkan dalam Bajet 2023 dialu-alukan, pakar ekonomi berpendapat, kerajaan memberi fokus perbelanjaan operasi tambahan pada keutamaan yang salah.

Ahli ekonomi juga mempersoalkan pemberian yang diumumkan dengan mengatakan ia "berpotensi inflasi" atau kaedah pengagihan akan membawa kepada rasuah.

Bercakap kepada Malaysiakini, berikut adalah ulasan daripada tiga pakar ekonomi mengenai pembentangan belanjawan semalam:

Geoffrey Williams (Profesor dan ahli ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia)

Kita telah menyaksikan apa yang diramalkan iaitu peningkatan besar 12 peratus dalam perbelanjaan operasi sebelum pilihan raya dan senarai panjang pemberian kepada pelbagai kumpulan berkepentingan.

Hasil tambahan yang dijangkakan hampir kesemuanya telah diperuntukkan dalam perbelanjaan tambahan dan tiada percubaan sebenar dibuat untuk mengurangkan jumlah pinjaman. Justeru, ini adalah belanjawan pembangunan yang dibiayai sepenuhnya oleh hutang.

Beberapa bantuan menarik seperti RM200 - atau RM17 sebulan - untuk kemudahan e-dompet dalam e-Pemula, dan e-dompet baru RM100 - atau RM8.30 sebulan untuk M40.

Ini jelas bertujuan untuk memperkenalkan subsidi yang disasarkan melalui skim e-dompet ke atas produk tertentu, di kedai tertentu dengan e-dompet tertentu.

Ini adalah cara paling teruk untuk mengendalikan subsidi bersasar dan akan membawa kepada kos transaksi yang besar serta rasuah.

Kenaikan Bantuan Keluarga Malaysia adalah bernilai RM74 setiap keluarga sebulan, RM18.50 untuk setiap orang. Program bantuan kebajikan akan menyediakan RM115 sebulan seorang dan bagi golongan miskin tegar RM1 bilion bernilai RM125 sebulan setiap satu yang tidak akan menampung kos makanan mereka.

Dana kebajikan warga emas RM1 bilion bernilai RM23 sebulan.

Bagi perusahaan kecil dan sederhana, peruntukan sebanyak RM45 bilion dalam Semarak Niaga adalah besar tetapi ia merupakan gabungan pinjaman dan geran bersyarat supaya pengambilan mungkin rendah.

RM1 bilion untuk PKS memberi RM1,000 kepada kemungkinan sejuta daripada 8.5 juta perniagaan dan 1.2 PKS yang berdaftar dengan SSM, jadi 8.7 juta akan terlepas.

Belanjawan pendidikan tinggi akhirnya meningkat tetapi hanya untuk universiti awam dan tambahan 4 peratus hampir tidak dapat menampung inflasi.

Sekali lagi universiti swasta tidak diendahkan.

Diskaun pada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah satu bencana dan akan mengurangkan kadar kutipan pada masa ia hampir kepada peruntukan maksimum mereka. Ini akan memberi implikasi kepada kelestarian PTPTN.

Peningkatan peruntukan kesihatan adalah jauh daripada RM30 bilion yang disasarkan oleh (Menteri Kesihatan) Khairy Jamaluddin dan mencerminkan kebimbangan sebenar tentang bagaimana Kementerian Kesihatan dikendalikan berikutan skandal baru-baru ini.

Kebanyakannya nampaknya diperuntukkan kepada pembina dan hampir 20 peratus akan disalurkan kepada penyedia kesihatan swasta melalui tambahan RM734 juta dalam MySalam. Ini bukanlah peningkatan besar dalam perbelanjaan operasi dalam kesihatan awam.

Walaupun terdapat tuntutan dalam penyata prabelanjawan, kami tidak melihat banyak pembaharuan struktur, membebaskan pasaran, menggalakkan persaingan atau mewujudkan ekonomi inovatif yang cergas.

Kecekapan atau tadbir urus kerajaan juga agak sedikit dalam sektor awam. Misalnya, tidak ada pengawasan bebas terhadap angka-angka tersebut.

Daripada mengambil kesempatan daripada penjimatan yang mungkin disebabkan oleh dana Covid-19 yang lebih rendah dan keuntungan kecekapan yang boleh diagihkan semula kepada rakyat secara universal, kerajaan telah mengembangkan perbelanjaannya sendiri dan mengeluarkan senarai projek berimpak rendah untuk kumpulan pilihannya sendiri.

Tambahan RM38.7 bilion dalam perbelanjaan operasi, misalnya, bernilai RM1,300 bagi setiap rakyat Malaysia atau tambahan RM100 sebulan.

Ia boleh memberi kumpulan B60 sebanyak RM2,100 setahun atau RM180 sebulan dan B40 boleh mendapat RM3,200 setahun atau RM270 sebulan, berbanding RM74 sebulan di bawah BKM.

Bagi perbelanjaan pembangunan, peningkatan daripada RM75.6 bilion kepada RM95.1 bilion hampir kesemuanya diambil kira oleh projek pengangkutan seperti MRT3 dan menaik taraf bangunan kerajaan.

Yang kedua itu sekurang-kurangnya tidak akan memberi kesan kepada menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Carmelo Ferlito (Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran)

Dari segi negatif, saya melihat kekurangan strategi untuk merasionalisasikan perbelanjaan operasi dan masih terlalu banyak barangan ad hoc yang berpotensi menyebabkan inflasi.

Di sisi positif, saya mengalu-alukan pemotongan cukai, geran PKS dan skim pinjaman PKS, serta skim khas yang diumumkan untuk FDI (pelaburan langsung asing). Langkah-langkah ini adalah perlu dan dialu-alukan.

Tetapi, untuk tidak menjejaskan lagi kedudukan fiskal kerajaan dan tekanan inflasi, ia harus disertakan dengan rasionalisasi perbelanjaan operasi dan penguatkuasaan kutipan cukai yang lebih baik, dan di sini saya tidak melihat visi yang mencukupi.

Saya juga menghargai pelaburan untuk mengukuhkan TVET.

Kedua-dua langkah ini – pemotongan cukai dan pengukuhan TVET – adalah perkara yang saya sarankan sejak sekian lama dan dimasukkan dalam buku terbaru saya, , Assessing and Addressing Urban Poverty in Malaysia (Menilai dan Menangani Kemiskinan Bandar di Malaysia).

Jumlah wang yang dibelanjakan untuk perbelanjaan operasi seperti gaji kakitangan awam dan subsidi masih sangat tinggi.

Jika kita tidak menambah baik pungutan hasil dan mengurangkan perbelanjaan, hutang dan inflasi akan menjadi masalah yang lebih serius, khususnya berhubung pemotongan cukai.

Pemotongan cukai sangat penting, tetapi ia adalah hanya situasi pada satu sisi. Jika perbelanjaan tidak dirasionalkan dengan berkesan, maka kita akan menghadapi masalah.

Mengenai cara untuk melakukannya, kerajaan harus melihat peranan mereka sebagai majikan, pemaju, pemaju projek mega dan mula memikirkan semula bagaimana barangan dan perkhidmatan boleh disediakan tanpa kerajaan menjadi majikan/pemaju langsung.

Sebagai contoh, perkhidmatan awam boleh disediakan oleh institusi swasta dan golongan miskin, disokong dengan baucar, pautan kepada jenis perkhidmatan tertentu.

Ini akan membawa rasionalisasi kerana kerajaan biasanya menyediakan barangan dan perkhidmatan dengan cara yang kurang cekap berbanding sektor swasta.

Sebaliknya, telah banyak diperkatakan tentang subsidi yang disasarkan. Ia adalah masa untuk beralih daripada hanya bercakap kepada bertindak.

Benedict Weerasena(Pengarah penyelidikan Bait Al-Amanah)

Inisiatif untuk menggalakkan pembabitan jantina adalah langkah yang betul. Sebagai contoh, penubuhan pasukan fokus gender di setiap kementerian dan agensi untuk meneruskan program nasional yang mementingkan jantina.

Bagi wanita yang kembali bekerja selepas rehat kerjaya, pengecualian cukai yang diberikan untuk pendapatan yang diterima antara 2023 hingga 2028 adalah ketara, selain subsidi gaji tiga bulan antara RM600 dan RM750 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menggalakkan majikan mengambil mereka bekerja.

Ini penting kerana pandemik Covid-19 mencicirkan penyertaan tenaga kerja wanita selama tiga tahun dengan pekerja yang lebih muda dan wanita muda ditolak keluar dari tenaga buruh.

Selain itu, peningkatan penyertaan tenaga buruh wanita meningkatkan jumlah keuntungan produktiviti faktor dan menjana pertumbuhan ekonomi keseluruhan untuk negara.

Bagaimanapun, terdapat beberapa langkah henti jurang yang menjana faedah dalam jangka pendek tetapi mencerminkan peluang yang terlepas untuk pembaharuan jangka panjang.

Satu contoh utama ialah peningkatan peruntukan bantuan awal persekolahan daripada RM100 kepada RM150 untuk semua murid tanpa mengira tahap pendapatan ibu bapa pada tahun hadapan.

Perbelanjaan tambahan yang dibelanjakan akan diperuntukkan semula dengan lebih baik untuk menyediakan pelajaran pemulihan untuk 'generasi yang hilang' semasa penutupan sekolah dan pelajaran dalam talian semasa pandemik Covid-19.

Penyelidikan kami menunjukkan Malaysia mempunyai mencatatkan kerugian pembelajaran tertinggi dalam kalangan negara membangun Asia, dengan kadar yang membimbangkan iaitu 0.95 tahun (11.4 bulan), dalam senario pesimis.

[Baca berita asal]

Friday, October 7, 2022

Tengku Zafrul bertolak ke parlimen untuk bentang belanjawan

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Oct 7, 2022 3:09 PM
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz meninggalkan Kementerian Kewangan kira-kira 2.30 petang untuk ke parlimen bagi membentangkan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 4 petang ini.

Sebelum itu Tengku Zafrul menyertai bacaan doa yang diketuai Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Kewangan Mohamad Zukrillah Ismail di lobi utama kementerian.

Senator itu memakai baju Melayu berwarna biru firus lengkap bersamping sambil memegang beg berwarna hitam yang mengandungi teks ucapan Bajet 2023.

Turut mengiringi Tengku Zafrul ke parlimen ialah kedua-dua timbalannya Mohd Shahar Abdullah dan Yamani Hafez Musa.

Ketika ditanya kandungan Bajet 2023, Tengku Zafrul hanya bersenyum lebar kepada pengamal media.

Bajet 2023 dijangka meneruskan momentum pemulihan semasa selain memberi penekanan terhadap aspek pembaharuan struktur dan pengukuhan daya tahan ekonomi.

Bertema Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan Ke Arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia, bajet itu juga menyaksikan kerajaan memberi tumpuan kepada rakyat, perniagaan serta ekonomi.

- Bernama

Sunday, October 2, 2022

PH pertimbang tolak Bajet 2023 jika tiada jaminan PRU tahun depan: Anwar

agendaily.com
02/10/2022
Perdana Menteri tidak boleh tetapkan tarikh pilihan raya atas ugutan pihak kecil, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bajet 2023 berkemungkinan bakal ditolak blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) jika tiada jaminan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadaka pada tahun depan bukan tahun ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akan meneliti terlebih dahulu perkembangan semasa bagi menimbang untuk menolak Bajet 2023 sekiranya UMNO berterusan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen selepas pembentangan pada 7 Oktober nanti.

“Kita sedang teliti (untuk menyokong atau menolak Bajet 2023).

“Kita nak tekankan soal pengurusan kerajaan dan rasuah, projek yang tidak telus seperti masalah pembelian ubat-ubatan termasuk vaksin, kontrak Digital Nasional Berhad (DNB) mengenai 5G yang sampai sekarang belum ada ketelusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran buku SCRIPT – For A Better Malaysia hari ini kepada media.

Sebelum ini, PH menyokong Bajet yang dibentang kerajaan Ismail Sabri susulan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai 13 September tahun lalu.

Kegagalan usul atau Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan akan menjadi satu bentuk ketidakpercayaan atau tiada keyakinan kepada kerajaan.

Syarat itu bagaimanapun tertakluk penunaian dan pelaksanaan transformasi yang dipersetujui dalam MoU berkenaan, selain usul dan RUU yang dibentangkan kerajaan perlu dirunding dan dipersetujui secara bersama antara kedua-dua pihak.

Untuk rekod, UMNO baru-baru ini memutuskan Ismail Sabri akan mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung cadangan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

Malah, Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebelum ini sedia meredah banjir untuk berkempen sekalipun PRU-15 terpaksa diadakan semasa musim tengkujuh pada hujung tahun.

Thursday, September 22, 2022

Tak mungkin Parlimen dibubar 10 Okt, kata Loke

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-September 22, 2022 8:15 AM
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, Bajet 2023 perlu dibahas dan diluluskan Parlimen. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menolak khabar angin bahawa Parlimen akan dibubarkan beberapa hari selepas Bajet 2023 dibentangkan kerana ia boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran negara.

Bercakap menerusi forum dalam talian bertajuk “Anthony Jawab Jujur”, Loke berkata, tempoh itu terlalu singkat untuk Parlimen meluluskan bajet berkenaan.

“Proses meluluskan bajet tahunan biasanya mengambil masa antara enam hingga tujuh minggu,” katanya sambil menambah ia perlu dibahaskan, sebelum diundi di Parlimen.

Loke mengulas spekulasi Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob akan membubarkan Parlimen pada 10 Okt ini, iaitu hanya tiga hari selepas membentangkan bajet tahunan.

Loke berkata, sekiranya Parlimen dibubarkan beberapa hari selepas bajet dibentangkan, ia tidak dapat diluluskan dan dilaksanakan tepat pada masanya untuk 2023.

Beliau berkata, sekiranya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan pada pertengahan November ini, maka ia akan memerlukan masa beberapa minggu sebelum kerajaan dan Kabinet baharu dapat ditubuhkan.

“Ini bermakna keseluruhan proses perlu bermula semula kerana kemungkinan menteri kewangan yang baharu mahu mengemukakan bajet baharu,” katanya.

Menurutnya, jika bajet tidak diluluskan menjelang Disember ini, maka kerajaan tidak boleh membayar gaji penjawat awam menjelang tahun baharu.

Sabtu lalu, Ismail ketika melancarkan jentera Pemuda Barisan Nasional memberi bayangan PRU15 akan diadakan dalam waktu terdekat.

Katanya, beliau akan menemui “Top Five Umno” dalam masa terdekat untuk membincangkan tarikh PRU15.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dalam program sama turut berkata, beliau berharap Ismail akan mendapat ilham mengenai tarikh terbaik PRU15 sekembalinya daripada menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.

Bajet 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini, tiga minggu lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan pada 28 Okt.

Wednesday, June 15, 2022

PRU15 lepas belanjawan hanya untungkan Umno, BN, kata Guan Eng

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-June 15, 2022 9:37 AM

Lim Guan Eng berkata menggunakan belanjawan untuk memancing undi PRU15 adalah tindakan menyalahgunakan kuasa kerana menggunakan sumber negara untuk kepentingan politik dan peribadi.

PETALING JAYA: Cadangan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) sebaik sahaja Bajet 2023 pada Oktober ini hanya menguntungkan Umno dan Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mewakili Umno dan BN, peruntukan belanjawan negara mestilah bersifat inklusif dan menyeluruh.

Katanya, menggunakan belanjawan untuk memancing undi PRU15 adalah tindakan menyalahgunakan kuasa kerana menggunakan sumber negara untuk kepentingan politik dan peribadi.

“Sepatutnya bajet negara disediakan untuk kepentingan semua rakyat dan merangka masa depan, bukannya untuk kepentingan Umno atau kroni-kroninya untuk membeli undi.

“Tarikh PRU15 terpulang kepada perdana menteri dan Yang di-Pertuan Agong, tetapi jangan sesekali guna bajet dan peralatkannya supaya Umno menang,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.

Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan menjangkakan masa terbaik untuk PRU15 adalah sebaik Bajet 2023 dibentangkan.

Katanya, pembentangan belanjawan perlu mempunyai faktor “wow” memandangkan bajet berkenaan adalah buah tangan Ismail yang datang daripada BN.

Bagaimanapun, Guan Eng menyifatkan tahun depan adalah tahun paling sesuai untuk mengadakan PRU15 selepas masalah kebajikan rakyat dapat ditangani.

“Menteri pun ada cakap kita selesaikan kos sara hidup dulu, (Menteri Kesihatan) Khairy Jamaluddin pun saran PRU selepas Covid-19 selesai. Buatlah apabila semua itu sudah selesai.

“Ini menteri cakap lain, Umno cakap lain. Tunggulah tahun depan. Kalau buat tahun ini juga kita tidak ada masalah, kita akan berusaha lawan menerusi khemah besar bersama kalangan parti pembangkang, bukan dengan pihak lain seperti Perikatan Nasional (PN),” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-