Sunday, September 25, 2022

Zahid ingatkan PAS tentang 'musuh dalam selimut'


malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 25, 2022 8:56 PM
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan PAS mengenai "musuh dalam selimut" selepas Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mengisiytiharkan musuh utama mereka adalah BN.

Susulan kenyataan Muhyiddin itu, timbul percanggahan antara Bersatu dan PAS memandangkan PAS sebelum ini menegaskan bahawa musuh utama mereka adalah Pakatan Harapan (PH) dan bukan BN.

Dalam kenyataan di Facebook, Zahid yang juga presiden Umno menggambarkan Muhyiddin mungkin mahu PN dan PH bekerjasama.

"Sebab itu kita tidak berasa pelik bukan PH diumumkan musuh utama PN walaupun Mahiaddin pernah menyebut PH tidak selari dengan perjuangan orang Melayu, Islam serta rakyat Malaysia.

"Mungkin beliau masih berharap membawa PN bekerjasama dengan PH yang tidak selari dengan perjuangan Melayu, Islam serta rakyat Malaysia.

"Barangkali juga satu-satunya pihak yang sedang keliru dan celaru dengan pengumuman Mahiaddin tersebut adalah pimpinan tertinggi PAS," katanya.

Muhyiddin semalam mendakwa "semua parti komponen PN" sepakat menganggap BN musuh utama mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Hanya lima hari sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata "musuh sebenar" parti mereka itu ialah PH dan bukannya BN.

PAS dilihat masih cuba menjalin kerjasama dengan Umno selepas timbul spekulasi terdapat usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

Muhyiddin sebelum ini berkata dia akan berjumpa dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata perbezaan pendapat ini akan menjadikan drama politik menarik pada hari-hari mendatang.

"Pemimpin tertinggi parti nampaknya tidak sehaluan, dan kita akan tunggu dan ikuti perkembangan politik dalam beberapa hari akan datang," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-