Friday, October 7, 2022

Bubar selepas solat Jumaat, Bajet 2023 tak sempat dibentang?

 agendaily.com

07/10/2022

Spekulasi dikalangan akar umbi UMNO mengatakan Parlimen akan dibubarkan selepas solat Jumaat hari ini.

Pelbagai spekulasi diperkatakan selepas selesai Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadapi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara semalam.

Walaupun tidak jelas hasil dan keputusan daripada pertemuan empat mata semalam antara kedua-dua ketua negara tersebut, namun dalam kumpulan Whatsapp UMNO dan Barisan Nasional (BN) seakan sudah meraikan dengan pelbagai ucapan tahniah kerana kejayaan mendapat perkenan daripada Tuanku untuk membubarkan Parlimen.

Sumber memaklumkan, kumpulan Whatsapp akar umbi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dibanjiri dengan ucapan tahniah seakan sudah mendapat kejayaan untuk meneruskan juga rancangan mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) pada tahun ini.

Malah, Ismail Sabri sendiri setakat ini tidak memberikan sebarang kenyataan rasmi sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak sejak pertemuan semalam berlangsung, boleh dikatakan masih belum ada kepastian yang jelas dan sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Namun, sumber dalaman UMNO memberitahu cadangan pembubaran Parlimen merupakan pendirian parti tersebut yang tetap mahu PRU-15 diadakan pada tahun ini juga.

Semalam, Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, selama kira-kira 45 minit di Istana Negara.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dilihat tiba di pintu masuk Istana Negara jam 3.48 petang tadi, sebelum kenderaan Toyota Alphard berwarna putih membawa beliau keluar kira-kira jam 4.45 petang semalam.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa mengesahkan mesyuarat Kabinet akan diadakan esok (Jumaat), memberi isyarat kemungkinan Parlimen tidak akan dibubarkan pada hari berkenaan.

Dalam pada itu, Istana Negara juga semalam (6 Oktober 2022) menjelaskan pertemuan Ismail Sabri dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanyalah aktiviti mingguan dengan Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan rasmi selepas Baginda berkenan menerima menghadapi Ismail Sabri, Istana Negara berkata pertemuan itu adalah untuk mesyuarat Pra-Kabinet.

“KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap YAB Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri bin Yaakob untuk mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

“Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama YAB Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu tidak menyebut langsung mengenai Perdana Menteri memohon perkenan untuk membubarkan Parlimen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-