Friday, October 7, 2022

BERSATU yakin PAS kekal dengan PN

bharian.com.my
Oleh Ahmad Suhael Adnan 
ahmad.suhael@bh.com.my
- Oktober 6, 2022 @ 11:12pm
Muhyiddin (dua dari kanan) mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BERSATU di Shah Alam, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

KUALA LUMPUR: BERSATU yakin parti sekutunya, PAS akan kekal bersama Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menzahirkan keyakinan itu selepas selesai mesyuarat Majlis Tertinggi PN dan mesyuarat Biro Politik BERSATU, hari ini.

"Insya-Allah. Istiqamah kita kata," katanya ketika ditanya sama ada PAS kekal bersama PN dalam PRU-15.

Isu mengenai pendirian PAS untuk memilih PN atau UMNO timbul selepas Muktamar Tahunan PAS Ke-68 awal bulan lalu, yang antara lain meluluskan usul penyatuan parti politik dan pertubuhan Melayu Islam pada PRU-15, termasuk meneruskan kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN).

Situasi itu mencetuskan polemik selepas Muhyiddin ketika Konvensyen PN 2022, menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah musuh PN pada PRU-15, bertentangan dengan pendirian PAS yang mahu berunding dengan UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini dilaporkan parti itu sedia kembali ke meja rundingan dengan PAS berhubung kerjasama dalam PRU-15 jika PAS memenuhi tiga syarat ditetapkan.
Muhyiddin ketika sidang media pada perjumpaan biro Politik BERSATU di Publika, Kuala Lumpur. - NSTP/Aswadi Alias
Syarat itu ialah PAS perlu keluar daripada gabungan PN; memutuskan hubungan politik dengan BERSATU; serta mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan BERSATU.

Mengulas lanjut mesyuarat hari ini, Muhyiddin memaklumkan PN yang dianggotai BERSATU, PAS, GERAKAN, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku STAR) mencapai beberapa kesepakatan penting berhubung persiapan berdepan PRU-15.

Katanya, antara kesepakatan dicapai adalah gerak kerja jentera semua parti komponen diselaraskan menggunakan nama PN.

"Dalam mesyuarat PN, kita dah setuju jentera di semua peringkat akan bergerak atas nama PN. Ini bermakna gabungan parti yang ada BERSATU, PAS, GERAKAN, SAPP dan STAR (bergerak atas nama PN)," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-