Monday, October 17, 2022

Ismail dan Zahid kongsi pentas di Bagan Datuk, Umno kembali satu 'kluster'?

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Oct 17, 2022 10:19 AM
Umno sebelum ini dilihat terpecah kepada dua kem, dengan satu kem diketuai perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dan satu lagi diketuai presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka dikatakan "tidak sebulu" bermula sejak langkah Umno untuk menyingkirkan Muhyiddin Yassin dari jawatan perdana menteri sehinggalah desakan agar Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15.

Namun hari ini kedua-dua pemimpin itu akan membuat kemunculan bersama di sebuah program yang dinamakan 'Solidariti, Kestabilan dan Kemakmuran' di Dewan Perdana Kompleks Umno, Bagan Datuk, Perak.

Bagan Datuk adalah kawasan Parlimen yang dipegang Zahid sejak 1995.

Walaupun, kedua-dua pemimpin itu menafikan pergeseran dalam Umno, media dan penganalisis politik sering melaporkan kewujudan apa yang dinamakan sebagai 'kluster menteri' dan 'kluster mahkamah'.
Kluster menteri merujuk kepada menteri-menteri BN dan ahli parlimen gabungan itu yang menyokong pendirian bahawa Umno tidak perlu menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Kluster mahkamah pula adalah pemimpin-pemimpin Umno menyokong desakan Zahid dan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak untuk menarik balik sokongan kepada Muhyiddin, serta PRU15 perlu diadakan pada tahun ini.

Kemuncak pergeseran antara dua kluster tersebut adalah pada Ogos 2021, di mana seramai 31 ahli parlimen BN termasuk Ismail Sabri secara terbuka menolak keputusan Majlis Kerja Tinggi (MKT) Umno yang membuat keputusan untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin.

Namun, ia tetap berlaku dan Ismail Sabri yang merupakan naib presiden Umno mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri yang baru. Ia merupakan kali pertama pentadbiran BN tidak diketuai oleh presiden Umno.

Pergeseran berlanjutan sehinggalah ketika taklimat khas berkenaan pemenjaraan Najib pada 27 Ogos lalu, sorakan 'boo' kedengaran setiap kali nama Ismail Sabri - yang tidak hadir - disebut.

Justeru, program hari ini dilihat sebagai usaha untuk memberi isyarat bahawa parti itu kembali menjadi satu pasukan dalam menghadapi PRU15.

Kenyataan Zahid semalam bahawa Ismail Sabri kekal sebagai perdana menteri jika BN menang PRU15 juga dilihat sebagai tanda kedua-dua kem itu semakin serasi dalam usaha menang PRU15.
Namun tetap ada penganalisis politik yang berpendapat kedudukan Ismail Sabri sebagai poster boy BN bukan jaminan dia akan dilantik semula ke jawatan itu, sebaliknya menerima nasib sama dengan Hasni Mohamad.

Ketika PRN Johor awal tahun ini, Hasni diumum sebagai calon menteri besar namun dia digantikan dengan Onn Hafiz Ghazi.

Pengumuman Zahid bahawa BN akan menampilkan 70 peratus muka baru sebagai calon turut membangkitkan persoalan jika ada ahli parlimen yang dilihat sebagai penyokong Ismail Sabri akan digugurkan.

Apa-apa pun, persoalan ini ini akan terjawab dalam masa beberapa hari lagi selepas BN memuktamadkan senarai calonnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-