Tuesday, October 4, 2022

PAS tetap mahu Umno dan PN, mursyidul am jawab kata dua

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif
-October 4, 2022 6:35 PM
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata parti itu tetap dengan pendirian mahu bekerjasama dengan Umno dan PN bagi menghadapi PRU15.

PETALING JAYA: PAS menetapkan pendirian untuk mengekalkan kerjasama dengan Umno dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata meskipun kedua-dua pihak iaitu Umno dan PN mendesak membuat pilihan, namun demi meneruskan agenda perpaduan ummah parti itu enggan memilih antara satu.

“Sama juga dengan Bersatu atau Umno, dua-dua itu sama sahaja, jawapan dia kita nak dua-dua sekali, tetapi kedua-dua suruh pilih antara satu, dia minta begitu tetapi kita pun ada permintaan juga, sama-samalah meminta.

“Kalau dia boleh minta dekat kita supaya pilih salah satu, suruh mereka (Umno) pilih dua-dua (PAS dan Bersatu) sekali kalau tidak, tak bermakna agenda perpaduan ummah ini.

“Kita tetap dengan pendirian nak kedua-dua sekali, dia (Umno) tidak mahu itu dia punya pasal,” katanya ketika dihubungi FMT.

Terdahulu, Umno dilaporkan memberi kata dua kepada PAS, untuk memilih mereka atau bersama PN bagi menghadapi PRU15.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menutup pintu kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional berkata, PAS perlu memutuskan hubungan dengan PN jika mahu bersama mereka.

PAS juga telah diberi tarikh akhir untuk membuat keputusan, menurutnya, jika PAS tidak memenuhi syarat berkaitan, Umno berhak menghadapi PRU mengikut kaedah sendiri.

Pada 27 Sept lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, PAS akan membuat keputusan muktamad tentang hala tuju parti itu dalam PN.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau telah diberi bayangan oleh pimpinan utama PAS dalam pertemuan mereka tentang keputusan tersebut, selain kata putus PAS tentang apa sahaja bentuk kerjasama dengan Umno.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-