Tuesday, October 18, 2022

‘Peluru BN’ disebut PM bukti niat jahat hasil siasatan buku Tommy

agendaily,com
18/10/2022
Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan.

Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan berkata pengakuan Perdana Menteri sementara Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mencemarkan hasil siasatan terhadap buku bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Ia susulan kenyataan Ismail Sabri mengenai keinginannya supaya laporan hasil siasatan pasukan petugas khas itu digunakan sebagai ‘peluru Barisan Nasional’ (BN) untuk menyerang Pakatan Harapan (PH), kata Ambiga menurut Mkini.

Beliau dipetik sebagai berkata serangan terhadap bekas peguam negara berkenaan adalah sesuatu yang baharu dan tidak pernah terjadi sebelum ini.

Ambiga juga menganggap langkah diambil Ismail Sabri tersebut sebagai suatu bentuk serangan ke atas pentadbiran sistem kehakiman negara.

“Untuk mengakui ia (laporan siasatan) memang disediakan untuk menjadi peluru politik membuktikan wujud niat jahat di sebaliknya.

“Sebarang siasatan yang dijalankan kini tercemar kerana ini jelas merupakan penindasan politik,” kata Ambiga melalui Twitter yang dipetik MKini.

Dalam perhimpunan BN di Bagan Datuk semalam, Ismail Sabri mengakui dia bersetuju menyahklasifikasi laporan siasatan Putrajaya terhadap buku Thomas, My Story: Justice in the Wilderness, agar ia boleh dijadikan ‘peluru politik’ bagi menyerang PH, lapor Mkini.

Beliau mengakui telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tengku Jaafar, untuk menyiarkan laporan itu di laman web kerajaan.

“Saya dah beri ‘peluru’… contohnya kita sudah dedahkan kepada umum tentang laporan oleh jawatankuasa khas, menyiasat Tommy Thomas.

“Saya dah beri peluru banyak-banyak. Saya sudah minta kepada menteri undang-undang supaya keluarkan dalam laman web Menteri Undang-Undang di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) secara terperinci mengenai apa dilakukan dan kesalahan-kesalahan oleh Tommy Thomas,” katanya menurut Awani.

Sebelum ini, laporan 822 muka surat itu dibentangkan kepada Kabinet pada 30 September lalu selepas pasukan petugas itu menyelesaikan siasatan terhadap dakwaan dalam buku Tommy.

Antara lain, Tommy didakwa tidak mempunyai pengalaman untuk mengendalikan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan satu-satunya penyelesaian yang diambilnya untuk menangani kelemahannya ialah melantik peguam luar.

Pasukan itu juga berpendapat Tommy mungkin melanggar undang-undang dan peraturan termasuk Seksyen 124I dan 203A Kanun Keseksaan, Seksyen 23 Kanun Keseksaan Malaysia, Akta Suruhanjaya Rasuah, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972, dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

Susulan itu, Polis Diraja Ma­laysia (PDRM) dilapor mencadangkan Tommy didakwa di mahkamah, dan telah mengemukakan empat kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhu­bung dakwaan salah laku bekas Peguam Negara itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-