Tuesday, October 4, 2022

Perjumpaan raksasa UMNO terakhir sebagai referendum minta bubar Parlimen

agendaily.com
04/10/2022
Ahli-ahli UMNO hadir Taklimat Khas Presiden sebelum ini.

Petang hari ini, UMNO sekali lagi mengadakan perjumpaan raksasa dengan semua Ketua Bahagian, sayap Pemuda, Wanita dan Puteri di markas mereka Dewan Tun Hussein Onn atas jemputan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Kali terakhir Zahid memanggil semua pemimpin akar umbi berkumpul adalah selepas Datuk Seri Najib Razak disumbat masuk ke Penjara Kajang dan ketika itu menitis air mata jantan Presiden mengenangkan nasib rakannya yang sudah disabitkan hukuman.

Ketika itu berapi-api ucapan Zahid bersama-sama barisan peguam Najib yang dijemput untuk memberi taklimat dan seperti biasa laungan ‘bubar, bubar’ mengegarkan dewan sehingga mahu runtuh bumbung sebagai desakan supaya Parlimen dibubarkan kerana tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas Najib.

Hari ini, sekali lagi akar umbi turun berhimpun dan dijangka fokus perhimpunan dan Zahid adalah bagi meminta Perdana Menteri segera memanggil pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan.

Peluang sudah diberikan kepada Perdana Menteri sebelum ini untuk mencari ilham memilih tarikh PRU-15 selepas pulang dari lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat dan Kuwait, sekembalinya dari lawatan terus diadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Malah UMNO sudah memberi mandat kepada Perdana Menteri untuk segera mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong cadangan membubarkan Parlimen tetapi setakat hari ini belum pasti tarikh menghadap tersebut.

Walaupun pelbagai spekulasi dibuat berhubung tarikh menghadap tersebut, namun setakat ini masih belum ada pengesahan secara rasmi daripada Istana Negara berhubung pertemuan dengan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, perjumpaan hari ini dilihat bakal menjadi referendum terakhir kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya segera mengambil langkah sepatutnya untuk menunaikan mandat yang dipertanggungjawabkan kepadanya oleh MT UMNO baru-baru ini.

“Ini bakal menjadi satu perjumpaan besar yang terakhir untuk menunjukkan sokongan akar umbi terhadap gesaan Zahid supaya Parlimen dibubarkan dan PRU-15 diadakan,” kata seorang pemimpin akar umbi yang akan turut hadir pada perjumpaan hari ini.

Sabtu lalu Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam surat bertarikh 30 Sept berkata, majlis perjumpaan itu akan diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, bermula 2 petang.

“Adalah dimaklumkan bahawa satu perjumpaan khas bersama presiden Umno dan perdana menteri akan diadakan pada 4 Okt (Selasa), bertempat di Dewan Tun Hussein Onn, aras 2 WTC,” kata surat itu.

Ahmad selepas mesyuarat MT UMNO Jumaat lalu memaklumkan parti itu mencapai konsensus supaya pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU-15 diadakan tahun ini.

Ahmad berkata, Ismail akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-