Saturday, October 29, 2022

PH, PN, GTA ibarat tikus membaiki labu – Zahida

malaysiagazette.com
By Hussaini Amran
- 29 October 2022
Zahida Zarik Khan

KUALA LUMPUR – Rakyat diminta supaya tidak memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) serta serpihannya iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) untuk berkuasa semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Puteri Barisan Nasional (BN), Datuk Zahida Zarik Khan berkata, ura-ura mereka akan bekerjasama untuk menentang BN bukan sesuatu yang mengejutkan, malah sudah dijangka.

Menurut beliau, rakyat seharusnya serik untuk memberi kuasa kepada parti-parti yang terbukti tidak mampu memikulnya.

“Seperti kata pepatah ‘ibarat tikus membaiki labu’, itulah PH dan serpihan mereka.

“Negara sudah jauh terkebelakang hasil kerosakan daripada tangan-tangan mereka,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Zahida yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO mengulas mengenai kesediaan Pengerusi GTA, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk bekerjasama dengan PN pada PRU-15.

Beliau menambah, PH, PN dan GTA akan mengitar semula dan mengulangi skrip sama dalam kempen PRU-15.

“Tiada apa yang baharu, tiada tawaran baik agenda rakyat selain daripada politik kebencian dan fitnah.

“Khianat mengkhianati akan terus berlaku, rakyat terus jadi mangsa kesan daripada kegilaan mereka. Hilanglah prinsip dan maruah seorang pemimpin,” jelasnya.

Zahida berkata, UMNO dan BN adalah berbeza kerana mereka mahukan kuasa untuk memulihkan kembali semangat rakyat dan ekonomi serta menawarkan kerajaan yang stabil dan makmur.

“Ambil contoh di Melaka dan Johor, hasil mandat rakyat kepada BN, sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk, manfaatnya kembali kepada rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakyat khususnya pengundi muda dan pengundi kali pertama agar memberi isyarat bahawa mereka mahukan kerajaan yang benar-benar mampu mentadbir dan bukannya sekadar menaburkan janji tipu, harapan palsu, propaganda dan retorik semata-mata.

“Tetapkan pendirian, undi BN demi kestabilan dan kemakmuran,” katanya.

 – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-