Saturday, October 29, 2022

Changkat Jong tetap milik DAP, kata Loke

freemalaysiatoday.com
Bernama
-October 29, 2022 12:00 PM
Anthony Loke berkata, Amanah mengisytiharkan Changkat Jong adalah milik mereka kerana salah faham.

IPOH: Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, pertembungan tidak akan berlaku antara parti itu dan rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu Amanah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) susulan pengumuman calon hari ini.

Beliau berkata, apa yang berlaku adalah salah faham kerana keputusan telah dibuat di peringkat ‘top three’ sebelum ini yang turut dihadiri Presiden Amanah Mohamad Sabu manakala pengumuman calon hari ini pula adalah di peringkat negeri Perak.

“Kami telah bermesyuarat sebelum Konvensyen PH diadakan baru-baru ini. Jadi, kita bukannya umum sesuatu yang baharu, yang tiada keputusan. Ia telah dimuktamadkan di peringkat tertinggi.

“Tidak akan timbul pertembungan nanti kerana ada hanya satu wakil PH di Changkat Jong iaitu DAP. Ini salah faham yang boleh diselesaikan,” katanya.

Pada majlis itu, Loke mengumumkan parti itu akan bertanding di 19 kerusi DUN, pertambahan satu kerusi berbanding PRU14 iaitu di Changkat Jong yang diwakili Badrul Hisham Badarudin, dan lapan kerusi Parlimen, pertambahan satu kerusi iaitu Gerik yang diwakili Ahmad Tarmizi Mohd Jam.

Pagi tadi, Amanah Perak dilapor akan bertanding di 20 kerusi DUN termasuk Changkat Jong yang diwakili Naib Pengerusi negeri Muhaimin Sulam.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri dan 24 kerusi Parlimen.

Terdahulu Ketua Amanah Teluk Intan Ahmad Munzirie Ahmad Kabir berkata, penetapan semua kerusi yang ditandingi Amanah mewakili PH adalah seperti diumumkan dalam Majlis Pengumuman Calon Amanah Perak pagi tadi oleh pengerusi Amanah Perak merangkap pengarah pilihan raya Amanah Nasional, Asmuni Awi.

“Di peringkat Amanah Teluk Intan, kami tidak menerima sebarang perubahan melibatkan DUN Changkat Jong daripada Jawatankuasa Amanah Negeri Perak mahupun kepimpinan di peringkat nasional.

“Hal ini berikutan kedudukan DUN pasir Bedamar yang berada dalam Parlimen Teluk Intan telah pun ditandingi oleh DAP dan kerusi Parlimen Teluk Intan juga ditandingi oleh DAP.

“Maka mengikut persefahaman bersama, bagi kerusi DUN Changkat Jong, persetujuan dicapai untuk diberikan kepada Amanah berdasarkan komposisi dua kerusi DAP dan satu kerusi Amanah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-