Friday, October 28, 2022

PRU-15: Zahid beri bayangan pemimpin tak sehaluan bakal tak jadi calon

agendaily.com
28/10/2022
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bayangan sudah diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkemungkinan beberapa nama besar pemimpin yang tidak sehaluan dengan pendirian bakal tidak tercalon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini.

Zahid berkata calon yang akan dipilih untuk menghadapi PRU-15 kali ini pastinya tidak kepala besar dan mempunyai disiplin tinggi, ia sekaligus memberi isyarat kumpulan yang sebelum ini menentangnya bakal tersingkir daripada senarai calon yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

“Insya Allah, ‘Top Five’ UMNO akan pastikan calon yang dipilih nanti pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi, tidak berkepala besar, berani mempertahankan Umno daripada diperlekehkan, tidak bersuara sumbang terhadap kepimpinan mereka sendiri.

“Selain (itu) mempunyai sokongan akar umbi yang kuat tanpa mengira tempat bertanding,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Zahid bagaimanapun tidak menamakan individu dimaksudkannya itu, namun umum mengetahui UMNO sebelum ini terpecah kepada dua kumpulan.

“Mana-mana berkepala besar, berasa dirinya lebih besar daripada perjuangan parti sewajarnya tahu kedudukan dirinya,” tegas Zahid.

Tambahnya, pemilihan yang tepat amat perlu bagi memastikan tiada suara sumbang yang mengkritik Umno selepas PRU nanti.

Sementara itu, Zahid berkata, banyak perkara yang telah dipelajari Barisan Nasional (BN) pada PRU 2018 yang menyaksikan mereka tewas.

Bagaimanapun, katanya, perkara utama yang dipelajari ialah “kesedaran mengenai erti kesetiaan terhadap parti”.

“Ketika itulah BN diuji, apabila ramai pemimpin Umno lari lintang pukang menyelamatkan diri. Ada yang melompat parti, ada yang menjadi pengkhianat parti, terdapat juga menjauhkan diri daripada UMNO,” katanya.

Menurutnya lagi, pembersihan dalaman UMNO berlaku secara automatik apabila golongan oportunis dikenal pasti melalui sikap, kenyataan dan tindak tanduk mereka.

“Sekurang-kurangnya ini dapat menjadi petunjuk arah penting dalam konteks pemilihan calon BN,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-