Haspaizi Zain
Diterbitkan: Oct 6, 2022 8:30 AM
"Situasi berbeza" kehadiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada pertemuan dengan ketua Umno bahagian kelmarin, memberi isyarat parti itu berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Berbanding pada sesi taklimat khas presiden sebelum ini, suasana kelmarin jelas menggambarkan keceriaan naib presiden Umno itu.
Ia juga memberi isyarat jelas bahawa "perang dingin" dalam Umno telah tamat dan Umno kini dalam mood bagi menghadapi pilihan raya yang paling getir dalam sejarah negara.
Menurut seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ismail Sabri secara terbuka meminta supaya "serangan sesama sendiri" dihentikan.

"Perdana menteri meminta semua pihak dalam Umno berhenti 'tembak' sesama sendiri kerana segala isu yang berbangkit telah berjaya dirungkai dan persetujuan telah dicapai.
"Malah, para pemimpin Umno bahagian yang hadir semalam turut memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada Ismail Sabri.
"Bukan itu saja Ismail Sabri turut mendapat 'standing ovation' selepas berucap pada pertemuan itu, ia satu gambaran cukup jelas Umno telah bersedia," katanya kepada Malaysiakini.

Ia sekali gus memberi isyarat segala isu dalaman Umno yang membawa kepada pertembungan antaranya dan kem Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi telah selesai.
"Ini bermakna segala isu dalam Umno yang membawa pertembungan beliau dengan kem presiden sekurang-kurangnya terhenti sementara kerana fokus utama ialah BN perlu menang besar PRU.
"...Dan menghadapi musuh utama mereka iaitu Pakatan Harapan (PH), Bersatu dan musuh politik yang lain.

Dalam pada itu, Prof Dr Azmi Hassan (gambar, bawah) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berpendapat, PRU15 tidak dapat dielak perlu diadakan dalam masa terdekat meskipun pada musim tengkujuh.
Azmi berkata ini kerana kerajaan dan perdana menteri yang ada ketika ini tidak mendapat mandat rakyat dan sukar untuk melaksanakan dasar kerajaan.
"Kalau saya sendiri, kalau saya melihat keberkesanan Kerajaan Persekutuan sekarang sukar untuk perdana menteri melakukan sesuatu dalam hal mengeluarkan dasar ekonomi dan seumpamanya.

"Bagi sememangnya PRU diadakan secepat mungkin supaya mandat dapat diberikan kembali kepada rakyat," katanya.
Jelasnya, soal musim tengkujuh harus diketepikan kerana rakyat mahu kerajaan yang stabil segera dibentuk bagi memacu negara.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.