Saturday, October 1, 2022

Tajuddin dan Ketua Bahagian Alor Setar digantung keahlian UMNO: Laporan

agendaily.com
1/10/2022
Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Mohd Yusof Ismail digantung keahlian UMNO selama enam tahun.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam mengambil tindakan disiplin terhadap dua pemimpin akar umbinya kerana lantang mengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Bagaimanapun keputusan tindakan disiplin yang diambil terhadap Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail tersebut tidak dimasukkan dalam kenyataan rasmi yang dibacakan oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Kedua-dua pemimpin akar umbi UMNO itu digantung keahlian selama enam tahun dan difahamkan ia berkaitan kritikan lantang kedua-dua mereka terhadap Zahid sebelum ini.

Terdahulu, Tajuddin dalam sidang medianya membidas Zahid dengan mendakwa terlibat dalam surat sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM), semasa krisis politik sebelum ini.

Sementara Yusof pula sebelum ini menawarkan kerusi Parlimen Alor Setar kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta untuk memberi laluan kepadanya bertanding di kerusi disandangnya di Rembau.

Untuk rekod, Tajuddin dan Yusof sebelum ini dilihat cenderung mempertahankan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga PM ekoran serangan dihadapinya daripada kem Zahid.

Semalam, UMNO juga mengumumkan pemecatan aktivis politik, Datuk Zaharin Mohd Yasin yang berkuat kuasa serta-merta.

Selepas mesyuarat MT UMNO semalam, ketetapan dibuat dengan memberi mandat kepada Ismail Sabri untuk mempersembahkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah diadakan dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-