Saturday, October 1, 2022

PRU-15 selepas bentang Bajet 2023 bakal jadi kenyataan, PM setuju arahan Presiden?

agendaily.com
1/10/2022
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Naib Presidennya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya faham kenapa PRU-15 perlu disegerakan.

Pengumuman UMNO semalam bahawa Perdana Menteri (PM) akan mempersembahkan tarikh pembubaran Parlimen jelas memberi isyarat pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) berkemungkinan diadakan selepas pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober nanti.

Mesej dalam kenyataan dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO semalam adalah yang paling jelas dan tiada lagi samar-samar bila PRU-15 bakal diadakan, ia hanya menunggu masa yang sesuai untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Dewan Rakyat.

Jika sebelum ini UMNO akan mengeluarkan kenyataan kuasa untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong terletak kepada keputusan PM tetapi dalam kenyataan semalam tidak ada satu pun baris ayat mengatakan terserah kepada PM untuk menentukan tarikh PRU-15.

Ia secara tidak langsung memberi isyarat tarikh PRU-15 sudah diputuskan dalam pertemuan ‘top five’ dan cadangan pemilihan tarikh tersebut akan dipersembahkan kepada Agong untuk mempertimbangkannya.

Spekulasi sebelum ini mengatakan berkemungkinan Parlimen dibubarkan tiga hari selepas Bajet 2023 iaitu pada 10 atau 12 Oktober.

Tidak kisah bila tarikh PRU-15 kerana yang pastinya ia akan diadakan pada tahun ini juga dan itu yang diinginkan oleh UMNO.

Namun, persoalannya kini adakah PM bersetuju dengan arahan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berterusan mendesak agar PRU-15 disegerakan?

Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh PM sendiri selepas mesyuarat tersebut, tidak seperti kebiasaannya dalam akaun Twitter atau Facebook rasmi PM juga tidak ada sebarang ulasan berhubung keputusan mesyuarat MT malam tadi.

Nampaknya, PM juga bersemangat sama dengan Presiden yang sedia meredah banjir untuk turun berkempen pada PRU-15 nanti.

Susulan kenyataan MT UMNO semalam, ia sekaligus menamatkan teka-teki yang selama ini menjadi tanda tanya bila PRU-15 akan diadakan dan semua pihak perlu bersedia dari sekarang untuk mengharungi kempen walaupun ketika bencana banjir melanda.

Jelas dalam kenyataan MT UMNO semalam juga, tiada lagi pilihan A atau B yang dimiliki oleh PM untuk menentukan tarikh PRU-15 dan beliau perlu segera mengadap bagi meminta perkenan untuk membubarkan Parlimen.

Tiada masa lagi untuk mana-mana parti politik duduk selesa dengan mengharapkan PRU-15 akan diadakan pada tahun depan kerana UMNO sudah membuat keputusan muktamad dan sepatutnya daripada sekarang sudah mula menggerakkan jentera masing-masing untuk turun berkempen.

Rakyat tidak boleh lagi mengharapkan UMNO akan memikirkan tentang nasib mereka yang saban hari semakin tersepit dengan kesusahan hidup.

Bagi UMNO, rebut kuasa dahulu baharu kemudiaan fikir soal rakyat. Jadi keutamaan adalah memenangi PRU-15 dengan dominan seperti yang dilakukan di Melaka dan Johor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-