Friday, October 14, 2022

UMNO, BN ada kelebihan, kekuatan bergerak solo

bharian.com.my
Oktober 14, 2022 @ 12:33pm
Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

PUTRAJAYA: UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelebihan serta kekuatan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun bergerak solo kali ini, kata Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata, rakyat akan terus memberi sokongan kepada UMNO dan BN kerana gabungan itu mempunyai matlamat serta hala tuju jelas dalam membangunkan negara, selain ada rekod pencapaian yang baik.

"Kalau rakyat imbas kembali apa yang dilakukan BN, mereka akan beri sokongan terus kepada kita.

"BN adalah parti berbilang kaum, budaya dan multietnik, ia adalah parti semua masyarakat dalam Malaysia tidak kira Melayu, Cina atau India," katanya.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan BN memutuskan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU-15 susulan keputusan PAS untuk memperkukuh kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN).

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilapor berkata, parti itu memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah dan perkara itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam.

Mengulas kerjasama PAS dan BERSATU itu, beliau berkata, pihaknya menghormati pilihan dibuat PAS.

"Itu pilihan dia (PAS), kita hormati dan harap dia berjaya, dulu kita ada kaedah ingin satukan semua melalui Muafakat Nasional (MN) tetapi ia tidak kesampaian, jadi kita sendiri dulu," katanya.

Mengenai gerak kerja dalam menghadapi PRU-15, Tengku Adnan berkata, UMNO Putrajaya melakukan persediaan rapi dan hanya menunggu tarikh penting PRU-15 yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ditanya sama ada beliau akan bertanding di Parlimen Putrajaya pada PRU-15 ini, Tengku Adnan yang juga penyandang kerusi Parlimen itu hanya menjawab: "Insya-Allah".

Pada PRU-14, Tengku Adnan mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya apabila menang dengan majoriti 3,372 undi mengalahkan calon PAS, Zainal Abidin Kidam dan PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat. 

BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-