Friday, November 25, 2022

Buat ‘post mortem’ cari punca kenapa rakyat tolak, kata pemimpin Umno

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-November 25, 2022 5:15 PM
Nur Jazlan Mohamed berkata tidak wajar hanya meletakkan kesalahan dan tanggungjawab kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selain berterusan mendesaknya meletak jawatan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu melakukan “post mortem” mencari punca mengapa gabungan itu ditolak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed, berkata pemimpin parti juga mesti cuba untuk mengakui dan memperbetulkan kesilapan serta mencari jalan bagaimana untuk bangkit semula.

“Bagi saya cari itu lebih afdal daripada kita duduk sibuk dengan hal-hal yang semuanya terikat kepada perlembagaan dan peraturan parti.

“Itulah sebabnya BN kalah kali pada PRU15 sebab masih ramai tak belajar dari peristiwa hitam 2018. Ramai masih nak tuding jari pada orang lain dan anggap diri sendiri suci sangat,” katanya di Facebook.

Jazlan berkata, adalah tidak wajar untuk hanya meletakkan kesalahan dan tanggungjawab kepada pengerusi BN yang juga Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selain berterusan mendesaknya meletak jawatan.

“Seeloknya semua pengerusi Umno dan BN negeri umumkan letak jawatan dan bukan hanya desak presiden Umno yang juga pengerusi BN saja yang berundur.

“Ini termasuk juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang kalah dan juga ketua-ketua sayap parti yang kalah sepatutnya melepaskan jawatan masing-masing.

“Kalau mereka tak nak letak jawatan, jadi jangan minta orang lain pula berundur. Sebaiknya dalam keadaan ini, semua pihak bermuhasabah, renung dalam diri masing-masing, akui kesalahan sendiri juga sebelum tuding jari pada orang lain,” katanya.

Jazlan berkata, beliau juga termasuk dalam kumpulan calon BN yang kalah tapi tidak pula sibuk hendak menyusun atur hala tuju parti.

“Saya tak ada nak desak presiden letak jawatan” katanya.

Pada PRU15, PH memenangi 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), manakala satu kerusi untuk PBM dan dua calon bebas.

Ia adalah prestasi terburuk BN selepas keputusan buruk diperolehinya pada PRU14.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-