Saturday, November 12, 2022

Ibu bapa perlu nasihat anak muda tolak pemimpin, parti tak amanah

agendaily.com
12/11/2022
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap keupayaan kerajaan pimpinannya sebelum ini yang berjaya menangani krisis paling besar dalam sejarah dunia menjadi panduan kepada pengundi membuat pilihan siapa yang patut menjadi kerajaan selepas PRU-15 ini.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berpesan kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang pertama kali akan mengundi dalam pilihan raya kali ini supaya menasihatkan mereka memilih pemimpin dan parti yang berjasa dan mampu memimpin.

“Kita sebagai ibu bapa bertanggungjawab membimbing dan menerangkan kepada anak-anak kita parti mana yang perlu dipilih pada PRU-15.

“Nyatakan kepada anak-anak, pilihlah pemimpin yang sudah terbukti berjasa dan dapat menjalankan amanah dengan baik sebagai pemimpin.

“Pemimpin yang bersama rakyat ketika susah dan senang dan pemimpin yang prihatin ketika rakyat bergelut dengan kesulitan,” katanya dalam kenyataan hari ini selepas majlis sembang santai bersama penduduk Kundang Ulu, Parit Raja Gersik.

Pengerusi Perikatan Nasional itu yang mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh menyeru anak muda untuk keluar beramai-ramai melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin negara yang layak.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu bimbang sekiranya ramai yang tidak keluar mengundi maka pemimpin yang bersih dan berwibawa terlepas peluang untuk diangkat menerajui negara.

“Ketika saya bertemu dengan jentera parti di Bilik Gerakan PDM Gersik, saya meminta mereka mengenal pasti pengundi mengikut kategori putih, hitam dan atas pagar.

“Santuni mereka secara berhemah, bertoleransi serta berikan penerangan yang jelas bagi membantu mereka membuat pilihan tepat.

“Saya juga berkesempatan untuk bersama masyarakat India di Taman Pagoh Jaya dan penduduk setempat Tionghoa di Jalan Hamzah. Saya meminta mereka untuk keluar mengundi pada 19 November nanti.

“Saya berharap masyarakat Tionghoa dan orang India dapat memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Muhyiddin turut mengingatkan bahawa PRU-15 adalah pilihan raya paling penting yang menjadi penentu siapa dan parti mana yang bakal menerajui Malaysia.

“Kita perlu menolak pemimpin yang sudah terbukti tidak prihatin rakyat dan menjejaskan imej negara pada mata dunia.

“Inilah masa untuk kita berganding bahu, mengerah kudrat dan tenaga bagi memastikan hanya pemimpin yang layak dan berwibawa dipilih memimpin negara tercinta.

“Ayuh semua keluar mengundi, keputusan di tangan anda!,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-