Thursday, November 10, 2022

Impian Anwar jadi PM akan berkubur di Tambun, kata Azmin Ali

agendaily.com
10/11/2022
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerajaan sementara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turun membantu kempen calon Perikatan Nasional bagi Parlimen Tambun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Klebang Jaya, Ipoh, hari ini (10 November 2022).

Impian Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri akan berakhir di kawasan Parlimen Tambun, kata bekas orang kuatnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu berkata sejarah akan tercipta pada 19 November ini, apabila tirai karier politik Presiden PKR itu dilabuhkan di Tambun.

“Pengundi Tambun sudah matang dan mereka telah melihat bagaimana Peja (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) berkhidmat di sini.

“Beliau bukan sahaja menteri dan penyandang ahli Parlimen di sini (Tambun), malah beliau juga seorang pemimpin yang adil kepada semua rakyat di Tambun,” katanya ketika bertemu rakyat di Klebang Jaya dekat Ipoh, hari ini (10 November 2022).

Calon Perikatan Nasional bagi kerusi Parlimen Gombak, Selangor itu berkata Tambun tidak memerlukan orang luar untuk mewakili mereka, dan mereka harus mengundi Faizal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kita tidak perlukan orang luar untuk mewakili rakyat di sini, biarlah orang tempatan memimpin rakyat ke arah keharmonian dan perpaduan.

“Tidak perlu ada unsur luar untuk memecahkan perpaduan di Tambun. Saya percaya rekod akan tercipta, sekali lagi di Tambun,” kata Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerajaan sementara.

Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu akan ditentang Anwar, selain Ketua UMNO Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah, dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

Pada PRU-14, Ahmad Faizal, yang bertanding di bawah Pakatan Harapan, memperoleh 38,661 undi untuk menewaskan calon daripada BN dan PAS dengan majoriti 5,320 undi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-