Sunday, November 13, 2022

Kenyataan KJ nak 'bersihkan' Umno jadi senjata kempen calon PH

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 13, 2022 3:40 PM
Ikrar Khairy Jamaluddin untuk "membersihkan" Umno telah menjadi senjata kempen bagi sejumlah calon PH.

Di satu ceramah di George Town, Pulau Pinang malam tadi, penyandang kerusi Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata Khairy secara tidak sengaja membayangkan yang Umno adalah parti yang kotor.

"Kita dengar KJ, dia sendiri mengaku Umno itu kotor. Ada dengar kan? (Khairy kata) 'Umno itu kotor, kena dibersihkan'.

"KJ yang cakap, bukan kita yang cakap. Dan dia kata pemimpin Umno tidak layak menjadi pemimpin, dia (mahu) reformasikan Umno.

"Tuan-tuan dan puan-puan, (Jika Khairy merasakan) Umno tidak sesuai untuk jadi kerajaan seterusnya, mengapa kita nak membenarkan Umno balik (jadi kerajaan)?" soalnya kepada kira-kira 500 hadirin.

Baru sekarang 'sesat'?

Calon PH di Ipoh Timur, Howard Lee pula mempersoalkan mengapa baru sekarang baru Khairy mendakwa Umno sudah "sesat".

Bercakap dengan Malaysiakini, Lee berkata Khairy sebaliknya kelihatan sangat selesa ketika menjadi menteri kabinet selama dua penggal.

"Kita tak dengar pun Khairy kata Umno sesat ketika dia jadi menteri dan ahli parlimen Rembau. Selepas 'ditendang' ke Sungai Buloh, baru nak mengaku sesat," katanya.
Howard Lee
Lee berkata Umno hanyalah sebuah "wadah atau kenderaan" yang tidak boleh sesat dengan sendirinya.

"Hanya pihak yang memandu wadah ini yang menjadikannya sesat...Mengekalkan Khairy dan (perdana menteri sementara) Ismail Sabri Yaakob tidak mungkin ubati kesesatan Umno," katanya lagi.

Pada masa sama, dia berkata hasrat untuk "membersihkan" Umno adalah murni dan perlu disokong, namun pembersihan itu perlu dilakukan terlebih dahulu, sebelum parti itu mahu mentadbir negara.

Khairy membuat kenyataan itu ketika berucap di Kelab Rahman Putra di Sungai Buloh dua hari lalu.
Khairy Jamaluddin
"Ini kita cakap yang benar. Janganlah berselindung lagi. Orang Melayu sentiasa ada (perasaan) sentimental terhadap Umno. Cuma Umno ini dah sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan dan perlu diperbetul semula.

"Saya nak menang PRU15 untuk memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri. Selepas itu kita bersihkan semula Umno serta bawa balik keyakinan rakyat.

"Saya ini reformis dalam Umno dan tak boleh kunci mulut saya. Sebab itulah dihantar ke Sungai Buloh. Kalau tiada sesiapa berani ketengahkan, sampai bila-bilalah tak akan berubah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-