Saturday, November 26, 2022

PAS putuskan tak sertai kerajaan perpaduan pimpinan Anwar

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 26, 2022 1:54 PM
PAS hari ini memutuskan untuk menolak undangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinannya.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, ia bagi menghormati "kepercayaan dan mandat majoriti rakyat", terutama pengundi parti itu dan juga PN pada PRU15.

"Setelah membuat pertimbangan dari pelbagai sudut serta meneliti pendapat umum, PAS berpendirian tidak akan menyertai kerajaan persekutuan yang diterajui oleh PH dan DAP.

"Ia demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat khususnya para pengundi yang telah memilih PAS dan PN dalam PRU15," kata Takiyuddin dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata PAS akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun tidak jelas apa yang dimaksudkan Takiyuddin berkenaan "mandat majoriti rakyat".

Dari segi undi popular, PN menang 30.1 peratus undi dalam PRU lalu, memberikan 33.2 peratus kerusi Parlimen kepada gabungan itu.

Dari segi jumlah kerusi pula, jika kerusi yang dimenangi Bersatu Sabah turut diambil kira, PN memiliki 77 kerusi Parlimen, menjadikannya gabungan kedua terbesar selepas PH yang meraih 82 kerusi.

Semalam, Gabungan Rakyat Sabah - yang mana Bersatu Sabah merupakan salah satu anggotanya - berkata mereka menyokong kerajaan perpaduan.

Terdahulu Anwar mendakwa dia kini meraih sokongan semua ahli parlimen yang tidak berada dalam PN, bermakna secara teori dia memiliki sokongan 148 daripada 221 ahli parlimen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-