Sunday, November 27, 2022

Perikatan Nasional yakin rampas DUN Tioman 7 Disember ini

agendaily.com
27/11/2022
Calon Perikatan Nasional daripada PAS Nor Idayu Hashim (dua dari kiri) berkempen menjelang hari pengundian pada 7 Disember 2022.

Perikatan Nasional (PN) yakin dapat menambah satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) melibatkan DUN Tioman, 7 Disember nanti.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekiranya kemenangan itu dizahirkan bermakna Perikata Nasional akan memperoleh 18 kerusi berbanding 17 pada pilihan raya 19 November lalu sekali gus dapat memberikan semangat dan kekuatan gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan yang membentuk Perikatan Nasional di Pahang.

Perikatan Nasional meletakkan Nor Idayu Hashim daripada PAS bagi merebut kerusi DUN Tioman.

“Nor Idayu seorang suri rumahtangga, tetapi mempunyai ijazah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), muslimat yang sangat aktif dalam PAS Rompin dan banyak terbabit dengan program keagamaan dan kemasyarakatan,” katanya kepada media selepas hadir majlis Jamuan Kesyukuran Rakyat DUN Cheka di Kerambit dekat Lipis, semalam.

Beliau berkata, kalangan akar umbi PAS bersetuju Nor Idayu menjadi calon sekali gus akan mewakili suara wanita di dalam DUN Tioman.

Tuan Ibrahim berkata, jentera PAS sudah lama bersiap siaga setelah kerusi DUN Tioman diberikan kepada calon PAS sebelum ini berasaskan persefahaman dalam kalangan pemimpin PN.

“Kita bersungguh untuk memenangkan calon ini kerana saya difahamkan menerusi tinjauan di lapangan, PAS mampu mengatasi calon Barisan Nasional yang merupakan cabaran utama dan saya yakin kita akan menang.

“Berasaskan kemenangan 17 kerusi DUN di Pahang pada 19 November lalu, saya amat yakin DUN Rompin akan dimenangi oleh calon Perikatan Nasional berasaskan senario perubahan drastik yang diterjemahkan oleh pengundi pada PRU-15, 19 November lalu,” katanya lapor Astro Awani.

Ujarnya lagi, kemenangan calon DUN Tioman juga berasaskan bantuan serta sokongan pengundi terutamanya dalam kalangan orang muda termasuk mereka yang berusia 18 tahun.

Pada 19 November lalu, calon Perikatan Nasional daripada PAS, Md Yunus Ramli, meninggal dunia dipercayai mengalami serangan jantung dan berikutan itu, pengundian bagi kerusi tersebut ditangguhkan sehingga 7 Disember ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-