Sunday, November 27, 2022

Wan Rosdy akan terajui kerajaan BN-PH di Pahang

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 27, 2022 5:10 PM
Pihak istana Pahang memberi perkenan pembentukan kerajaan Pahang yang terdiri daripada BN dan Pakatan Harapan (PH).

Istana juga memberi perkenan Wan Rosdy Wan Ismail sebagai menteri besar negeri itu.

"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang selanjutnya memperkenankan pembentukan kerajaan negeri Pahang Darul Makmur daripada parti BN dan PH.

“Berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3.(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang telah berkenan untuk melantik Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Yang Berhormat Menteri Besar Pahang," kata kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya DiRaja Sultan Pahang, Ahmad Khirrizal Ab Rahman.

Majlis angkat sumpah akan diadakan pada 11 pagi esok di Balairung Seri, Istana Abu Bakar.

Perkembangan ini sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi berhubung pembentukan kerajaan negeri selepas dewan undangan negeri tergantun pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Pengerusi PH Pahang Amirudin Shari semalam memaklumkan gabungan itu yang memegang lapan kerusi sudah mencapai persetujuan dengan BN yang memegang 16 kerusi untuk menubuhkan kerajaan negeri.

BN turut mengadakan rundingan dengan PN yang mempunyai 17 kerusi, namun rundingan itu gagal.

Satu lagi pengundian DUN akan berlangsung iaitu bagi kerusi Tioman pada 7 Dis berikutan kematian calon PN/PAS.

Awal hari ini, pemimpin Bersatu Saifuddin Abdullah menyifatkan sikap tamak pimpinan Umno dan BN Pahang telah menyukarkan rundingan bagi penubuhan kerajaan negeri Pahang.

Wan Rosdy menang di DUN Jelai pada PRU ke-15 dengan mendapat 10,092 undi dan menang dengan majoriti 6,983 undi. Ketua Umno Cameron Highlands itu tidak pernah tewas di DUN Jelai sejak 2004.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-