Wednesday, November 9, 2022

Saarani: Saya jauh lebih miskin berbanding Rafizi

malaysiakini.com
Isabelle Leong
Diterbitkan: Nov 9, 2022 9:57 AM
Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad berkata tiada masalah untuk dia membuat pengisytiharan harta.

Namun, Saarani juga berkata pengisytiharan seumpama itu tidak dituntut oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap calon yang bertanding dalam pilihan raya.

"Tak ada masalah (untuk isytihar). Saya pun takdalah kaya mana.

"Jika nak bandingkan saya dengan Rafizi (Ramli), saya jauh miskin. Nak bandingkan saya dengan Nga Kor Ming, saya jauh miskin," katanya yang akan mempertahankan kerusi DUN Kota Tampan pada PRU15.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan manifesto BN Perak di Taman Permai Peru di Ipoh, semalam.

"Jadi saya tak bimbang kalau setakat nak saya isytiharkan, saya tiada masalah dalam perkara itu," katanya lagi.

Rafizi yang merupakan timbalan presiden PKR merupakan calon PH yang pertama yang membuat pengisytiharan harta untuk PRU kali ini, iaitu pada 2 November lalu.
Berdasarkan pengisytiharan yang dibuatnya, calon kerusi Parlimen Pandan itu memiliki aset bersih berjumlah RM18,851,350 - sebahagian besarnya adalah pegangan dalam Invoke - setakat 31 Oktober lalu.

Susulan itu, beberapa pihak mempersoalkan peningkatan signifikan terhadap nilai syarikat pemula yang diasaskannya itu.

Kebanyakan daripada 72 calon PKR telah membuat pengisytiharan harta, terbaru Anwar Ibrahim dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain PKR, PSM turut mensyaratkan calonnya untuk berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Saarani berkata dia memahami sesetengah calon yang keberatan untuk berbuat demikian, dengan membangkitkan faktor keselamatan melibatkan keluarga mereka.

"Ada orang dia tak nak isytihar, takut keselamatan keluarga, anak cucu mereka.

"Tapi kalau disyaratkan (kepada calon untuk berbuat demikian), saya tiada masalah sebab saya tahu saya jauh lebih miskin berbanding Nga, Ngeh dan Rafizi," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-