Showing posts with label BN Perak. Show all posts
Showing posts with label BN Perak. Show all posts

Wednesday, November 9, 2022

Saarani: Saya jauh lebih miskin berbanding Rafizi

malaysiakini.com
Isabelle Leong
Diterbitkan: Nov 9, 2022 9:57 AM
Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad berkata tiada masalah untuk dia membuat pengisytiharan harta.

Namun, Saarani juga berkata pengisytiharan seumpama itu tidak dituntut oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap calon yang bertanding dalam pilihan raya.

"Tak ada masalah (untuk isytihar). Saya pun takdalah kaya mana.

"Jika nak bandingkan saya dengan Rafizi (Ramli), saya jauh miskin. Nak bandingkan saya dengan Nga Kor Ming, saya jauh miskin," katanya yang akan mempertahankan kerusi DUN Kota Tampan pada PRU15.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan manifesto BN Perak di Taman Permai Peru di Ipoh, semalam.

"Jadi saya tak bimbang kalau setakat nak saya isytiharkan, saya tiada masalah dalam perkara itu," katanya lagi.

Rafizi yang merupakan timbalan presiden PKR merupakan calon PH yang pertama yang membuat pengisytiharan harta untuk PRU kali ini, iaitu pada 2 November lalu.
Berdasarkan pengisytiharan yang dibuatnya, calon kerusi Parlimen Pandan itu memiliki aset bersih berjumlah RM18,851,350 - sebahagian besarnya adalah pegangan dalam Invoke - setakat 31 Oktober lalu.

Susulan itu, beberapa pihak mempersoalkan peningkatan signifikan terhadap nilai syarikat pemula yang diasaskannya itu.

Kebanyakan daripada 72 calon PKR telah membuat pengisytiharan harta, terbaru Anwar Ibrahim dan isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain PKR, PSM turut mensyaratkan calonnya untuk berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Saarani berkata dia memahami sesetengah calon yang keberatan untuk berbuat demikian, dengan membangkitkan faktor keselamatan melibatkan keluarga mereka.

"Ada orang dia tak nak isytihar, takut keselamatan keluarga, anak cucu mereka.

"Tapi kalau disyaratkan (kepada calon untuk berbuat demikian), saya tiada masalah sebab saya tahu saya jauh lebih miskin berbanding Nga, Ngeh dan Rafizi," katanya lagi.

Monday, November 26, 2018

Adun BN dipujuk singkir MB Perak

Published on November 25, 2018


IPOH – BN Perak mendedahkan beberapa Adunnya dipujuk individu di dalam PH bagi menyokong usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, sekurang-kurangnya lima Adun BN sudah dihubungi secara berasingan oleh lebih dari seorang individu berjawatan exco Perak untuk tujuan tersebut.

Katanya, bagaimanapun kesemua 25 Adun BN berjanji untuk tidak menyokong usul tersebut kerana tidak mahu mengkhianati sokongan rakyat.

“Saya percaya peristiwa 2009 akan berulang. Saya tahu sebab Adun-Adun saya 25 orang, lima orang telah dihubungi, didekati, ditawarkan macam-macam tawaran untuk menyokong mereka bila nak buat undi tidak percaya.

“Bila buat di dalam Dewan Negeri, daripada 31 Adun kerajaan hanya 28 Adun akan sokong dan tiga lagi (Adun Bersatu dan bebas) tak sokong, jadi 28 Adun tak cukup nak jadi kerajaan, sebab itu dia perlukan (sekurang-kurangnya) dua Adun pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Perjumpaan Khas Presiden Umno Bersama Kepimpinan Umno Negeri Perak di Dewan Konvensyen Sungai Siput, di sini.

Saarani yang juga Ketua Pembangkang Dun Perak berkata, exco kerajaan negeri terbabit beranggapan jika berlaku usul undi tidak percaya terhadap menteri besar, 28 Adun akan menyokong terdiri daripada 18 daripada DAP, enam daripada Amanah dan empat daripada PKR manakala Ahmad Faizal dan dua penyokongannya iaitu Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin serta Adun Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi akan menentang.

Menurutnya, jika Adun-Adun BN dan Pas membuat keputusan untuk berkecuali, Speaker Dun akan mengumumkan usul itu diterima dan Ahmad Faizal sekali gus hilang jawatan sebagai menteri besar.

“Tapi pada masa sama mereka tidak ada kerajaan sebab hanya ada 28 kerusi kerana nak bentuk kerajaan sekurang-kurangnya perlu ada 30 kerusi.

“Jadi kalau itu berlaku kita tunggulah pilihan raya negeri.

“Dalam kalangan mereka sedang berantakan. Kita tunggu masa sesuai untuk isytiharkan kepada wartawan siapa mereka dan apa dia buat,” katanya.

Saarani berkata, Kerajaan Perak yang ada kini tidak kukuh dan mereka tidak boleh nafikan kerana berlaku beberapa kali percanggahan kenyataan di antara Menteri Besar Perak dengan exco kerajaan negeri.

“Bila menteri besar umum nak buat lapangan terbang di Behrang, seorang exco bercanggah pendapat. Menteri Besar umum Kanun Tanah Negara tidak membenarkan pemberian tanah, esoknya exco buat kenyataan bercanggah.

“Mana boleh exco sanggah MB. Bayangkan exco kerajaan negeri balun MB. Itu bukan disiplin yang baik, ini tidak betul,” katanya lagi.

Sementara itu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media berasingan berkata, pihaknya bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan jika ditakdirkan berlaku pilihan raya negeri berhubung situasi tersebut.

Source: SH Nasional

Thursday, May 10, 2018

Pas perlu buat keputusan terbaik untuk bentuk kerajaan di Perak

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
10 Mei 2018 8:46 PM
Shaarani Mohamad

IPOH - Barisan Nasional (BN) berharap Pas dapat membuat keputusan yang terbaik dalam usaha untuk menggabungkan kedua-dua buah parti itu bagi membentuk kerajaan campuran untuk mentadbir Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Timbalan Pengerusi BN Perak, Datuk Shaarani Mohamad berkata, BN bagaimanapun tidak memaksa Pas untuk membuat sebarang kata putus bagi membentuk kerajaan.

Jelasnya, perbincangan antara BN bersama Pas dijalankan secara berperingkat dan ia melibatkan Majlis Tertinggi kedua-dua parti untuk mendapat restu pucuk pimpinan berikutan ia melibatkan polisi parti masing-masing.

“Setakat ini, perbincangan diadakan secara positif namun, masih belum memperoleh keputusan tepat.

“Kita perlu mengambil kira keperluan, untung, rugi dan masa depan parti. Paling penting dengan penggabungan ini, kebajikan rakyat di Perak dapat dijaga,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, pada PRU-14, Pakatan Harapan memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala, BN 27 kerusi dan Pas memperoleh tiga kerusi.

Dalam pada itu, menurut Shaarani, melalui perbincangan itu, BN tidak mempunyai sebarang tawaran istimewa melainkan rundingan berdasarkan kepercayaan apabila dapat menubuhkan kerajaan di Perak.

“Kita berharap Pas dapat bekerjasama dengan BN dengan bertujuan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Perak.

“Selain itu, kita juga berharap rundingan untuk menubuhkan kerajaan negeri ini dapat diselesaikan dengan segera dan ia perlu dilaksanakan dalam tempoh terdekat sebelum memasuki bulan Ramadan yang dijangka Rabu depan,” katanya.

 - K! ONLINE

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-