Diterbitkan: Nov 4, 2022 11:12 AM
Presiden PKR Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa "isu kesihatan" adalah sebab bekas ahli Parlimen Sungai Buloh R Sivarasa tidak dinamakan semula bagi mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum akan datang.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan dilaporkan berkata penampilan Sivarasa yang dilihat dengan keuzuran semasa berkempen boleh memberi kesan kepada peluang PH untuk mengekalkan kerusi itu.
“Jadi saya sudah beri pertimbangan masalah itu dan kita boleh tonjolkan tokoh yang boleh mengalahkan Khairy Jamaluddin (calon Barisan Nasional),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku tulisannyau bertajuk ‘Membangun Negara Madani’ di Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Anwar, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak yang mahu Sivarasa kekal bertanding di kerusi Sungai Buloh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Gambar fail, peguam Sivarasa bersama Nurul Izzah Anwar di mahkamah.
“Sivarasa itu peguam saya dan kawan baik saya dan telah berkhidmat tiga penggal dan keadaan kesihatan…kita tengok juga ada isu, jadi apabila dia pergi (berkempen) dilihat dengan keuzuran beliau, itu akan mengesankan,” katanya.
PKR sebelum ini mengumumkan akan meletakkan timbalan ketua penerangannya, R Ramanan di Sungai Buloh. Ini kali pertama dia akan bertanding dalam pilihan raya umum.
Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia dan jawatankuasa pemilihan calon parti pada mulanya mencadangkan agar Sivarasa mempertahankan kerusinya.
Bagaimanapun, Anwar dikatakan menolak idea tersebut.
Pengumuman Ramanan sebagai calon Sungai Buloh mencetuskan tindak balas daripada pengundi, yang menuntut calon lain atau Sivarasa dikekalkan. Ini lebih-lebih lagi selepas Umno/BN mengumumkan Khairy Jamaluddin sebagai calon mereka untuk kerusi itu.
Ramanan adalah bendahari agung MIC sebelum ini tetapi berundur pada 2014 selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur mengarahkannya memulangkan RM5.5 juta yang diperolehnya melalui penipuan.
Sungai Buloh dipegang oleh Sivarasa sejak 2008.
Pada 2018, dia menang dengan majoriti 26,634 undi, margin yang sama seperti pada pilihan raya sebelum ini, walaupun dilanda tsunami politik pada PRU14.
Sungai Buloh adalah kerusi campuran, dengan 66 peratus pengundi Melayu, 22 peratus pengundi Cina, 11 peratus pengundi India dan dua peratus pengundi bangsa lain.
Malaysiakini telah menghubungi Sivarasa untuk mendapatkan maklum balas mengenai kesihatannya itu, tetapi masih belum menerima maklum balas.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.