Friday, November 18, 2022

Tiga episod libatkan Anwar akan berulang jika kalah di Tambun

agendaily.com
18/11/2022
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor mengingatkan Anwar bahawa PAS yang membantunya dahulu.

Episod Permatang Pauh, Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson, diyakini akan berulang sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Parlimen Tambun, Perak, esok (Sabtu, 19 November 2022).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata sulit untuk tidak mengambil tahu berhubung sosok Anwar yang puluhan tahun hidupnya obses dengan jawatan Perdana Menteri dan masih belum melepaskan mimpi yang dipeluknya sejak zaman Pemuda UMNO.

Menurutnya Anwar seperti sangkuriang perkasa yang muncul daripada hutan belantara dan dia memicu pesona pada rakyat jelata dengan kata-kata retorik yang memukau.

“Bacaan mudah politik Anwar Ibrahim, jika tersembam malu di kerusi Parlimen Tambun maka adalah nanti kerusi MP (Ahli Parlimen) PH lain yang akan menjadi mangsa seterusnya.

“Episod Permatang Pauh, Port Dickson akan terus berlaku kerana Anwar adalah Anwar!,” katanya dalam tulisan di dalam lidah rasmi PAS, Harakah.

Beliau berkata Anwar dalam jelajah Pakatan Harapan (PH) di Kelantan, cuba untuk membangkitkan isu air di Kelantan, kononnya kegagalan kerajaan PAS Kelantan menguruskan kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, Dr Riduan mengingatkan Anwar ketika maruahnya dilunyaikan oleh hegemoni daulah, sebaliknya PAS yang membela maruah beliau.

“Anwar, saya pasti berceramah dalam keadaan sedar, bukan selepas menghidu gam cap gajah! Tak semena-mena membangkitkan soal PAS dan perjudian (dengan berkata, “Anthony Loke kadang lebih tegas daripada ustaz-ustaz PAS”.

“PAS semenjak ditubuhkan lebih tujuh dekad lalu adalah gerakan Islam yang konsisten dalam menentang maksiat dan kemungkaran, dalam apa jua isu.

“Saat Anwar sedang di koridor kuasa bersama BN, PAS menjuarai segenap isu menentang hedonisme, pesta pora maksiat, Anwar menjulang Salman Rushdie ketika penulis itu menjulang nama tapi PAS mempertahankan kemuliaan Islam dan Rasulullah SAW.

“Anak-anak muda yang baru berjinak dengan usrah tidak kenal watak pragmatis Anwar di zaman berkuasa dahulu!,” katanya.

Dr Riduan berkata Anwar kehilangan puluhan teman baiknya, termasuk pendukung tegar reformasi, sejak zaman muda kerana isu intergriti.

“Mengapa? Anwar pasti ada skrip jawabannya sendiri, termasuk untuk menjawab isu kronisme dan nepotisme dalam parti yang dikenderainya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-