Showing posts with label Parlimen Tambun. Show all posts
Showing posts with label Parlimen Tambun. Show all posts

Friday, November 18, 2022

Tiga episod libatkan Anwar akan berulang jika kalah di Tambun

agendaily.com
18/11/2022
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor mengingatkan Anwar bahawa PAS yang membantunya dahulu.

Episod Permatang Pauh, Langkah Kajang dan Langkah Port Dickson, diyakini akan berulang sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di Parlimen Tambun, Perak, esok (Sabtu, 19 November 2022).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata sulit untuk tidak mengambil tahu berhubung sosok Anwar yang puluhan tahun hidupnya obses dengan jawatan Perdana Menteri dan masih belum melepaskan mimpi yang dipeluknya sejak zaman Pemuda UMNO.

Menurutnya Anwar seperti sangkuriang perkasa yang muncul daripada hutan belantara dan dia memicu pesona pada rakyat jelata dengan kata-kata retorik yang memukau.

“Bacaan mudah politik Anwar Ibrahim, jika tersembam malu di kerusi Parlimen Tambun maka adalah nanti kerusi MP (Ahli Parlimen) PH lain yang akan menjadi mangsa seterusnya.

“Episod Permatang Pauh, Port Dickson akan terus berlaku kerana Anwar adalah Anwar!,” katanya dalam tulisan di dalam lidah rasmi PAS, Harakah.

Beliau berkata Anwar dalam jelajah Pakatan Harapan (PH) di Kelantan, cuba untuk membangkitkan isu air di Kelantan, kononnya kegagalan kerajaan PAS Kelantan menguruskan kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, Dr Riduan mengingatkan Anwar ketika maruahnya dilunyaikan oleh hegemoni daulah, sebaliknya PAS yang membela maruah beliau.

“Anwar, saya pasti berceramah dalam keadaan sedar, bukan selepas menghidu gam cap gajah! Tak semena-mena membangkitkan soal PAS dan perjudian (dengan berkata, “Anthony Loke kadang lebih tegas daripada ustaz-ustaz PAS”.

“PAS semenjak ditubuhkan lebih tujuh dekad lalu adalah gerakan Islam yang konsisten dalam menentang maksiat dan kemungkaran, dalam apa jua isu.

“Saat Anwar sedang di koridor kuasa bersama BN, PAS menjuarai segenap isu menentang hedonisme, pesta pora maksiat, Anwar menjulang Salman Rushdie ketika penulis itu menjulang nama tapi PAS mempertahankan kemuliaan Islam dan Rasulullah SAW.

“Anak-anak muda yang baru berjinak dengan usrah tidak kenal watak pragmatis Anwar di zaman berkuasa dahulu!,” katanya.

Dr Riduan berkata Anwar kehilangan puluhan teman baiknya, termasuk pendukung tegar reformasi, sejak zaman muda kerana isu intergriti.

“Mengapa? Anwar pasti ada skrip jawabannya sendiri, termasuk untuk menjawab isu kronisme dan nepotisme dalam parti yang dikenderainya,” katanya.

Tuesday, November 1, 2022

'Kenapa Anwar membisu isu dana RM400 juta Melayu kena potong?'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Nov 1, 2022 11:35 AM
PRU15 | Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan mengapa Presiden PKR, Anwar Ibrahim berdiam diri mengenai isu peruntukan untuk Bumiputera yang dipotong ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Ia susulan pendedahan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Azmin Ali baru-baru ini bahawa menteri kewangan daripada PH, Lim Guan Eng menyekat peruntukan RM400 juta untuk pembangunan ekonomi Bumiputera.

“Kenapa PH dan pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berdiam diri mengenai perkara penting yang melibatkan ekonomi Bumiputera sehingga kini?

"Di mana ketelusan yang sering disebut oleh PH?," katanya dalam kenyataan sambil menyifatkan pendedahan itu amat mengejutkan dan membimbangkan.

Selain itu Faizal bertanyakan apakah justifikasi Lim Guan Eng dan PH untuk menyekat peruntukan Bumiputera, seperti yang didakwa Azmin.

"Sehingga kini, tiada seorang dari PH atau Lim Guan Eng atau Anwar yang berani memberi respon terhadap pendedahan ini oleh Azmin Ali. Rakyat berhak mengetahui.

"Anwar dan PH tidak wajar terus membisu,” tegas Faizal.

Ahad lalu, Azmin yang juga penyadang kerusi Parlimen Gombak mendedahkan peruntukan RM400 juta untuk program pemerkasaan ekonomi Bumiputera dipotong ketika PH mengambil alih Putrajaya.

Azmin yang merupakan bekas menteri hal ehwal ekonomi ketika pentadbiran PH, berkata peruntukan untuk Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang ditubuhkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 disekat oleh Lim Guan Eng, yang merupakan menteri kewangan ketika itu.
Bekas menteri besar Selangor itu turut berkata keputusan Lim itu boleh dibuktikan kerana direkodkan secara bertulis.

Azmin, yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) dipetik NST dalam ucapannya pada majlis gabungan itu di Sepang turut mendedahkan layanan serupa diberikan kepada Felda dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).

Menurut Azmin, dia telah membuat bantahannya melalui surat kepada perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, sebelum 'Langkah Sheraton'.

‘Jawatan menteri kewangan akan diberi pada DAP sekali lagi?’

Mengulas lanjut, Faizal mengemukakan beberapa soalan kepada Anwar yang dinamakan sebagai calon perdana menteri daripada PH.
“Jika dilantik perdana menteri, adakah Anwar mampu menjamin bahawa hak ekonomi Bumiputera Melayu akan dipertahankan, memandangkan bahawa DAP adalah parti dominan dalam Pakatan Harapan?

"Adakah Anwar pernah membantah dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan terhadap tindakan-tindakan yang memprejudis ekonomi Bumiputera oleh Menteri Kewangan DAP seperti di atas?

"Apakah pemimpin DAP akan sekali lagi diberi jawatan menteri kewangan jika PH dapat membentuk kerajaan selepas PRU15?" soalnya.

Monday, October 31, 2022

Tambun akan jadi ‘tapak’ saya, bukan gelanggang ‘bunuh’ karier, kata Anwar

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-October 31, 2022 8:00 AM
Pada PRU15, Anwar Ibrahim, yang juga calon perdana menteri PH, dijangka bertembung di kerusi Parlimen Tambun dengan penyandangnya, Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinannya memenangi kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, Tambun akan menjadi seperti “tapak” dalam perjuangan politiknya, sambil menolak tanggapan ia akan membunuh kariernya.

“Jika menang di Tambun, ini akan jadi ‘base’ saya. Tambun akan letakkan seorang perdana menteri buat pertama kalinya di Perak,” katanya ketika berucap dalam satu ceramah Jelajah Mega Harapan di Perak yang disiarkan secara langsung di Facebook.

“Ini keputusan saudara (sama ada jadikan) ‘Waterloo’, iaitu gelanggang untuk bunuh karier politik Anwar (atau tidak).”

Pada 20 Okt, Anwar diumumkan menjadi calon PH di Parlimen Tambun dan bakal menjadi perdana menteri jika gabungan itu menang pada PRU15.

Anwar dijangka bertembung dengan penyandangnya Ahmad Faizal Azumu, yang juga timbalan presiden Bersatu.

Pada PRU lalu, Faizal yang bertanding atas tiket PKR menang dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon BN dan PAS.

Anwar berkata, beliau percaya dengan kebijaksanaan pengundi di Tambun untuk memilihnya.

“Setiap orang Melayu, Cina, India dan Orang Asli (mesti) faham keadaan ini dan tolong sampaikan (kepada yang lain).

“Kita tidak boleh hilang satu undi (pun) kerana ini bukan Port Dickson atau Ampang. Ini Tambun,” katanya sambil menyeru pengundi Tambun yang berada di luar kawasan agar turut pulang mengundi.

Friday, October 28, 2022

Umno tolak kerjasama tewaskan Anwar di Tambun - laporan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Oct 28, 2022 10:02 PM
Umno dilaporkan menolak cadangan bekerjasama dengan PAS dan Bersatu di Tambun untuk menewaskan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan menamatkan kerjaya politiknya.

Laporan Free Malaysia Today memetik Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata bahawa BN akan meletakkan calonnya sendiri di sana dan mereka yakin berpeluang memenangi saingan pelbagai penjuru di Tambun.

"Kita tidak mempunyai sebarang pakatan (untuk BN) untuk memberi laluan (kepada mana-mana parti lawan) di mana-mana kerusi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15)," katanya dipetik sebagai berkata.

Ahmad dilaporkan menyatakan bahawa BN pernah menang dalam pertembungan pelbagai penjuru sebelum ini, semasa pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.
Dia turut melahirkan keyakinan bahawa rakyat Malaysia yang inginkan kestabilan dan kemakmuran akan mengundi BN, tanpa mengira calon yang bertanding.

Ahmad dilaporkan berkata demikian sebagai menjawab cadangan ahli jawatankuasa PAS pusat Zuhdi Marzuki, yang mencadangkan kerjasama antara Umno, PAS dan Bersatu untuk mengalahkan Anwar bagi kerusi parlimen Tambun pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Zuhdi dilaporkan berkata Anwar adalah penyumbang utama kepada "krisis politik yang tidak berkesudahan" di Malaysia dan mengalahkannya di Tambun akan menamatkan kerjaya politiknya.

"Sebagai balasan, Umno boleh meletakkan calon untuk kerusi DUN Hulu Kinta manakala PAS boleh melakukan perkara yang sama di Manjoi," katanya.

Anwar, yang merupakan penyandang parlimen Port Dickson sebelum ini mengumumkan hasratnya bertanding di kerusi Tambun.

Kerusi itu pernah menjadi kubu kuat BN tetapi ditawan oleh Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu pada 2018 ketika parti itu bersama Pakatan Harapan (PH).

Ahmad Faizal, yang kini timbalan presiden Bersatu dijangka mempertahankan kerusinya.

Sementara Umno dijangka meletakkan ketua bahagian Tambun Aminuddin Md Hanafiah.

Tepukan gemuruh di Tambun tapi adakah 'nyanyian' Anwar ikut rentak?

malaysiakini.com
Isabelle Leong
Diterbitkan: Oct 28, 2022 9:41 AM
Menempuh jarak sejauh 62km dan tujuh jam, ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mengakhiri lawatannya di sekitar kawasan parlimen Tambun semalam dengan penuh semangat - sambil menyanyikan lagu kegemarannya sejak kebelakangan ini.

Anwar, yang gemar membawakan lagu-lagu lama Tamil ketika berceramah, sebaliknya memilih untuk menyanyikan single terbaru Altimet 'Aduh Malaysia' dan diceriakan dengan tepukan orang ramai yang hadir pada program Deepavali di Hulu Kinta.

Presiden PKR itu bukan sahaja disambut dengan tepukan gemuruh di Tambun, malah dia juga disambut mesra oleh penyokong berbilang kaum sepanjang siri jelajah itu.

Sambutan yang meriah kali ini, berbanding reaksi awal apabila pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mula-mula mengumumkan pencalonannya, sedikit sebanyak menghilangkan keraguan terhadap keupayaannya untuk merampas kerusi yang sebelum ini dimenangi Ahmad Faizal Azumu pada pilihan raya umum 2018. .

Mungkinkah sentimen di bawah yang kelihatan positif ini menjadi petunjuk kepada nasib Anwar di kawasan itu nanti?

Adakah nyanyian Anwar mengikut rentak?

Walaupun langkah Anwar menjadikan Tambun sebagai medan perjuangannya dilihat mendapat sambutan baik oleh lebih 1,000 penyokong yang hadir pada siri-siri jelajah atau program tersebut, namun beberapa aspek lain juga perlu dilihat,

Jika kita memberi perhatian terhadap reaksi orang ramai semasa ucapan Anwar dan pemimpin PH yang lain pada acara yang berbeza sepanjang lawatan itu, kita akan sedar tidak semua penonton tidak sabar untuk mengikuti ucapan Anwar.
Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini di Pesta Lei Cha bersama penduduk Khantan di Chemor, Perak, majoriti orang ramai lebih teruja dengan ucapan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, dengan mereka bertepuk tangan dan bersorak penuh semangat.

Sementara itu, ada yang hanya menunggu Anwar - ahli politik berusia 75 tahun itu selesai menyampaikan ucapannya - supaya mereka boleh menjamu selera dengan hidangan tradisional Hakka percuma yang diperbuat daripada daun teh dan nasi.

“Walaupun saya yakin pengaruh Anwar memainkan peranan dalam peratusan keluar mengundi, orang datang untuk DAP.

“Saya tidak kisah apa yang dia (Anwar) katakan. Saya datang untuk 'lei cha',” sindir seorang yang hadir, namun enggan namanya disiarkan.

Walaupun masih awal, pencalonan Anwar sebagai calon perdana menteri daripada PH pada PRU15 akan datang tidak cukup untuk membantunya meyakinkan pengundi.

Adakah ini akan menyusahkan penyandang ahli parlimen Port Dickson itu, atau wajarkah dia kekal dengan gaya kempen ketika ini dan tidak menambahkan siri jelajahnya untuk menemui lebih ramai pengundi?

Rekod prestasi cemerlang di PD untuk menang di Tambun?

Tidak salah untuk mengatakan bahawa Anwar menggunakan 'rekod prestasi cemerlangnya' sebagai ahli parlimen Port Dickson, dengan berharap pengundi boleh membuat perbandingan dan mengundinya.

Salah satu perkara penting yang disebut berulang kali di hampir setiap acara sepanjang jelajah itu ialah dia memotong gaji selama dua bulan sebagai ahli parlimen semasa pandemik Covid-19 dan membelanjakan wang itu untuk membantu rakyat di kawasannya sebelum ini.
Walaupun kerusi Tambun boleh digunakan PH untuk menonjolkan calon perdana menteri mereka, harapan Anwar untuk bergantung kepada prestasinya di Port Dickson dalam menghadapi pertandingan pelbagai penjuru di kerusi majoriti Melayu itu boleh menjadi bumerang.

Bagaimanapun, Anwar mungkin mempunyai helah lain selepas hari penamaan calon pada 5 Nov.

Adakah nyanyian Anwar akan dianggap sumbang, atau adakah dia akan menyanyikan lagu mengikut rentak sama dengan pengundi Tambun? Hanya masa akan menentukan.

Thursday, October 27, 2022

Anwar tak mahu serangan peribadi pada Ahmad Faizal

malaysiakini.com
Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan: Oct 27, 2022 3:38 PM
Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak mahu terlibat dengan serangan peribadi terhadap penyandang parlimen Tambun Ahmad Faizal Azumu yang membidasnya baru-baru ini.

Sebaliknya, kata Anwar, dia lebih suka memberi tumpuan kepada gambaran yang lebih besar.

"Tak mahu layan hubungan peribadi oleh calon, Peja (Ahmad Faizal). Bapa dia saudara baik saya, mertua pun sahabat baik saya. Tokoh yang banyak bantu saya masa dalam Umno.

"Tak mahu ini jadi gelanggang lawan peribadi. Kita tawarkan sesuatu. Saya pilih Tambun untuk melonjakkan kekuatan di Perak.

Kedua, untuk tawan Putrajaya. Landskap politik harus berubah. Malaysia perlu meningkat jauh lebih baik dan maju.

"Saya tahu ia tidak semudah Permatang Pauh atau Port Dickson atau banyak kerusi di Selangor.

"Saya diberi kerusi ini tetapi saya fikir adalah wajar bagi saya mencuba tahap terbaik untuk menawarkan perkhidmatan kepada rakyat dan mendapat kerusi baru. Kita bercakap tentang membentuk kerajaan," kata Anwar.

Awal minggu ini, Anwar mengingatkan mereka yang membayangkan dia sebagai calon 'payung terjun' di Perak dengan bertanding di Tambun bahawa dia tinggal di negeri itu selama sembilan tahun, termasuk dua tahun ditahan di Kamunting.

Ia sebagai respons kepada kepada klip video pendek memaparkan Ahmad Faizal Azumu menyahut cabaran Anwar untuk kerusi Tambun dengan peringatan tentang cara bercakap dialek tempatan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada terdapat sebarang maklum balas terhadap permintaan PSM untuk meletakkan ahli parlimen dua penggal Dr Michael Jeyakumar di Sungai Siput dan bukannya penyandang PKR S Kesavan, Anwar berkata perkara itu belum sampai kepadanya.

“Buat masa ini calon PKR di Sungai Siput akan diletakkan, tetapi rundingan masih diteruskan.

“Ia belum sampai kepada saya dan saya telah menyerahkan secara langsung tugas kepada mereka yang lebih terlibat secara langsung dalam proses pemilihan Perak,” tambahnya.

Pakatan Umno, PAS, Bersatu mampu ‘tamatkan’ karier politik Anwar di Tambun

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-October 27, 2022 12:36 PM
Mohd Zuhdi Marzuki berkata, jika Anwar Ibrahim kalah di Parlimen Tambun, ia juga akan menggagalkan usaha DAP untuk menjadikan Perak sebagai negeri ke-4 ditawan PH.

PETALING JAYA: Umno, PAS dan Bersatu perlu membentuk pakatan pilihan raya di Tambun jika mahu melihat karier politik Anwar Ibrahim “tersungkur” di Parlimen berkenaan, kata seorang pemimpin PAS.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Zuhdi Marzuki berkata, Parlimen Tambun dan dua DUN di bawahnya, iaitu Hulu Kinta dan Manjoi, boleh ditawan oleh parti Melayu jika Umno memberi laluan kepada Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu bertanding di Tambun, calon Umno bertanding di Hulu Kinta dan calon PAS di Manjoi.

Tambun ialah kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila Bersatu berada dalam gabungan PH ketika itu.

Bagaimanapun, Bersatu keluar daripada PH susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Parlimen Tambun kini dipegang Bersatu, menerusi Faizal, sementara DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi milik PH.

Zuhdi berkata, dalam situasi semasa, setelah Bersatu meninggalkan PH, sokongan pengundi Melayu yang tinggal kepada PH di Parlimen Tambun hanya sekitar 10% sahaja.

“Lagi 90% sokongan pengundi Melayu dengan BN atau PN. Sokongan pengundi Melayu seperti ini, yang sebahagian besarnya tidak berpihak kepada PH, boleh menyebabkan Anwar tersungkur.

“Yang menjadi halangan terbesar untuk melihat Anwar tersungkur di Parlimen Tambun ialah sokongan pengundi Melayu terbahagi, sebahagian kepada Umno dan sebahagian lagi kepada Bersatu.

“Sebab itu, formula untuk memastikan Anwar tersungkur di Parlimen Tambun ialah pakatan pilihan raya (electoral pact) antara Umno, PAS dan Bersatu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, jika Anwar kalah di Tambun, ia juga akan menggagalkan usaha DAP untuk menjadikan Perak sebagai negeri keempat ditawan PH selepas Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Perjalanan politik Anwar akan ternoktah dengan formula ini. Jika ini boleh berlaku, satu pertiga daripada punca krisis politik Malaysia yang tidak berkesudahan dapat dihilangkan,” tegasnya.

Anwar ‘lari’ ke Tambun kerana takut ditolak pengundi Melayu, dakwa Azmin

freemalaysiatoday.com
Chia Wan Rou
-October 27, 2022 8:15 AM
Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan bertanding di Parlimen Gombak sebelum mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15.

PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim takut ditolak pengundi Melayu di Gombak, menyebabkannya membuat keputusan untuk bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dakwa Azmin Ali.

Pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) itu turut mendakwa bahawa gabungan itu juga mahu mewujudkan satu lagi “Pulau Pinang” di Perak.

“Tinggalkan Port Dickson, nak masuk bertanding di Gombak. Akhirnya lari ke Tambun pula.

“Sebab kawasan Gombak ni majoriti Melayu. Orang Melayu tak akan terima orang yang rakus kuasa. Jadi beliau (Anwar) lari ke kawasan yang kurang pengundi Melayu.

“Orang Melayu, Cina dan India kena faham, kita tidak boleh terima parti perkauman sempit dan kita kena tolak PH dalam PRU15 nanti,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Prihatin PN semalam.

Anwar sebelum ini dilaporkan tidak menolak kemungkinan bertanding di Parlimen Gombak pada PRU15, yang disandang bekas timbalannya, Azmin.

Katanya, beliau juga memilih untuk bertanding di kerusi “pengkhianat”, manakala kerusi Port Dickson disandangnya kini lebih kukuh berbanding 2018.

Bagaimanapun, Anwar pada 20 Okt mengumumkan akan bertanding di Tambun dengan berkata, beliau tidak memilih kawasan yang mudah dimenangi untuk bertanding.

Beliau meninggalkan kerusi Parlimen Port Dickson yang dimenanginya dengan majoriti 23,560 undi, selepas menewaskan enam pencabarnya, yang terdiri daripada calon bebas dan PAS, dalam pilihan raya kecil pada Oktober 2018.

Kerusi Parlimen Tambun kini disandang Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu. Beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,320 undi pada PRU14, menewaskan calon Barisan Nasional, Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS, Ibrahim Zakaria.

Aziz Bari lega Anwar dinamakan di Tambun

malaysiakini.com
Martin Vengadesan
Diterbitkan: Oct 27, 2022 10:00 AM
Ketua pembangkang di DUN Perak, Abdul Aziz Bari pada awalnya bercadang bertanding di Parlimen Tambun tetapi kini berasa lega kerana presiden PKR, Anwar Ibrahim akan mengambil alih kedudukan itu.

"Beliau adalah orang nombor satu Pakatan Harapan yang berkaliber dan berkarisma untuk menarik pengundi. Saya berada di sana pada mulanya sebagai ketua pembangkang negeri dan saya perasan tidak ada orang yang turun padang.

“Jadi apabila dia datang ia memang melegakan saya dan sekarang saya boleh fokus kepada negeri ini," kata Aziz kepada Malaysiakini.

Aziz berkata, strategi PH untuk menjadikan Perak sebagai negeri medan hadapan adalah satu langkah yang logik.

“Negeri ini secara fizikalnya berada di koridor itu, kini Perak adalah mata rantaian yang hilang (antara Pulau Pinang dan Selangor) yang mesti ditawan.

"Ini adalah realistik kerana kami telah memerintah dua kali, selama 11 bulan pada 2008 dan 22 bulan pada 2018-20," katanya merujuk kepada dua kali PH mengambil alih kerajaan negeri sebelum tumbang akibat tindakan lompat parti.

Aziz bagaimanapun enggan menyatakan siapa yang akan dinamakan PH sebagai calon bagi jawatan Menteri Besar Perak.

"Tiada siapa lagi dan ia tidak begitu penting kerana pihak lawan tidak benar-benar meletakkan calon yang boleh dipercayai.
“Bagaimanapun dalam tradisi Westminster biasanya ketua pembangkang adalah ketua kerajaan dalam menunggu.

“Walaupun begitu, idea sepatutnya ialah menang dahulu, dan selesaikan jawatan kemudiannya dan saya rasa orang di luar sana sedar akan kemampuan kita.

"Apa yang kamu harapkan daripada pihak yang tidak mahu berdebat? Ini menunjukkan ketidakcekapan dan pengecut. Adakah kamu rasa parti ini boleh menerajui negeri dan negara selepas PRU15 dan kita telah melihat kerosakan yang mereka lakukan kepada negara?" katanya.

Anwar semalam menyelar keengganan perdana menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob menyertai sesi debat antara calon perdana menteri daripada parti-parti politik yang bertanding pada PRU15.

Ismail sebaliknya berkata amalan debat bukan budaya dalam politik di negara ini.
Anwar berkata sesi debat adalah penting kerana pemimpin yang korup mampu mengekalkan kuasa sekiranya mereka berjaya memperbodohkan rakyat.

Aziz yang juga Adun Tebing Tinggi, sebelum ini merancang untuk bertanding di kerusi parlimen dan DUN pada pilihan raya akan datang, tetapi rancangan itu tidak menjadi kenyataan.

"Saya seorang pemain berpasukan, ia adalah urusan parti dan pihak tertinggi PH untuk membuat keputusan. Memetik Tony Blair, saya lebih suka menjadi ahli kerajaan kita daripada menang secara peribadi tapi kekal dalam pembangkang:

“Seperti menjaringkan gol tapi menjadi sebahagian daripada pasukan yang kalah tidak lebih baik daripada berada di bangku simpanan pasukan yang menang," katanya.

Dia juga tidak dapat menyatakan komitmen dengan cadangan yang dikemukakan kepada PH supaya Tawfik Ismail bertanding di Bagan Datuk dan Dr Michael Jeyakumar dari PSM bertanding di Sungai Siput di bawah tiket PH.

“Sukar untuk bercakap mengenai perkara ini secara langsung, kita perlu turun padang untuk melihat sentimen sebenar di luar sana," katanya.

Dia juga berkata walaupun ia merupakan satu cabaran bagi PH untuk menyampaikan mesejnya, gabungan itu tidak akan tergesa-gesa melakukan perubahan secara semborono.

"Pada akhirnya, muka yang boleh menang dan isu yang penting.

“Umur sahaja tidak menentukan segala-galanya, ada ramai anak muda di luar sana yang keliru dan tidak peduli," katanya.

Aziz berkata walaupun ramai menjangkakan PH akan mencatatkan prestasi buruk di kawasan Melayu di luar bandar serta pedalaman Sabah dan Sarawak, ia tidak semestinya begitu.

"Tunggu dan lihat sahaja, kita telah melihat penambahbaikan dalam banyak bidang termasuk suruhanjaya pilihan raya, peraturan pilihan raya dan media sosial yang juga boleh diakses oleh mereka. Jadi kami positif.

“Rakyat menghadapi isu kos sara hidup dan ekonomi yang perlu ditangani, tetapi reformasi institusi juga penting.

“Dan saya percaya kepada kebijaksanaan orang ramai, jangan sesekali memperkecilkan perkara itu,” kata Aziz.

Tuesday, October 25, 2022

Riwayat politik Anwar akan berakhir di Tambun, kata Pengarah Komunikasi BN

agendaily.com
25/10/2022
Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Tindakan berani Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil risiko bertanding di Parlimen Tambun bakal mengundang padah, kata Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) itu berkata pengundi di Perak mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan riwayat politik cikgu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

“Malah, ini kesempatan terbaik kepada orang Perak untuk menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim, biar Tambun menjadi bukti sejarah Anwar Ibrahim hilang pengaruh di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun menjelaskan mengalahkan Presiden PKR itu bermakna BN perlu bekerja keras memberi penjelasan mengapa perlu Anwar dikalahkan disitu.

Sebaliknya, beliau yakin pertembungan tiga penjuru akan memberikan kelebihan kepada calon BN dan kehadiran Anwar sebagai calon akan meningkatkan motivasi serta semangat jentera BN Tambun dan BN Perak untuk bekerja dengan lebih kuat lagi.

Beliau berharap pengundi di Tambun sedar bahawa kepimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Anwar sering bertukar kawasan bertanding setiap kali PRU kerana ketika menjadi wakil rakyat di kawasan sebelumnya mereka tidak bekerja untuk rakyat.

“Sebab itu mereka berpindah kawasan. Anwar Ibrahim dari Port Dickson ke Tambun. Jadi pemilih di Parlimen Tambun jangan tersilap langkah. Terbaik pilihan ialah BN.

“Kita mesti menjadikan PRU15 medan menamatkan hayat politik Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana dua watak ini telah merugikan negara sejak sekian lama,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-