Saturday, December 3, 2022

Anggota Kabinet tekad beri khidmat terbaik

hmetro.com.my
BERNAMA


Khaled Nordin sebagai Menteri Pendidikan Tinggi.

Kuala Lumpur: Anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan semalam bertekad untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat dan negara.

Ahli Parlimen Kota Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pendidikan Tinggi adalah satu penghormatan daripada Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden Umno itu berkata, pelantikan itu cabaran besar kepadanya dalam memastikan kementerian itu kembali berfungsi sepenuhnya dalam mendepani cabaran era baharu yang pelbagai.

"Sudah tentu ini cabaran besar kepada saya bagi memastikan kementerian ini kembali berfungsi sepenuhnya dalam mendepani cabaran era baharu yang pelbagai," katanya.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang diumumkan sebagai Menteri Kerja Raya pula memberi jaminan akan meneruskan polisi kementerian itu sebelum ini, selain menambah baik dasar yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

Selain itu, beliau turut bertekad memberikan sepenuh komitmen dan usaha dalam memastikan kelancaran perancangan pentadbiran negara atas kapasitinya di kementerian itu.

"Saya juga ingin menegaskan saya adalah menteri untuk semua bukan hanya untuk orang Sarawak, maka dengan itu, saya akan memastikan setiap usaha dan inisiatif yang diambil di bawah kementerian akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak," katanya dalam kenyataan, malam tadi

Ahli Parlimen Kapit yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu melihat pelantikannya sebagai tanggungjawab yang penting dalam membantu Kerajaan Perpaduan meneruskan usaha memulihkan ekonomi negara, lebih-lebih lagi menjelang 2023 yang dijangka mencabar.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia dapat mengetepikan perbezaan dan bersama-sama memberi tumpuan terhadap usaha membangunkan semula negara.

Sementara itu, Nga Kor Ming yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata, rakyat dan kerajaan perlu bersatu dan bekerja sebagai satu pasukan yang kuat serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi.

"Saya amat berterima kasih kerana diberi penghormatan dilantik sebagai menteri kabinet untuk berkhidmat kepada negara tercinta. Banyak perkara perlu dicapai dan saya mengalu-alukan semua cadangan dan panduan bijaksana supaya kita boleh bekerjasama untuk mengembalikan kegemilangan negara ini," kata Ahli Parlimen Teluk Intan itu kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.

Disiarkan pada: Disember 3, 2022 @ 8:45am

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-