Saturday, December 3, 2022

PULASAN | Sesudah YB menjadi menteri

malaysiakini.com
Al-Abror Mohd Yusuf
Diterbitkan: Dec 3, 2022 9:30 AM
PULASAN | Akhirnya kabinet Anwar Ibrahim itu pun diumumkanlah malam tadi. Dengan debar tak debar, seronok tak seronok, cemas tak cemas, ada tekaan yang mengena dan ada juga yang tidak dijangka tiba-tiba menjadi menteri.

Demikianlah, Anwar dilabel "gagal" oleh pemimpin sebuah parti pembangkang kerana tidak mendedahkan barisan kabinetnya lebih lewat daripada semasa dia menikmati ghanimah sebelum ini.

Sudah tentu ada yang berasa tidak puas dengan barisan jemaah menteri perpaduan tersebut. Sesetengah orang bukan saja mahu melihat sebahagian daripada menteri itu tidak dilantik menganggotai kabinet, malah mereka lebih gembira jika individu terbabit dikalahkan semasa PRU lalu!

Tapi itulah takdirnya di tanah indah ini.
Gambar fail, Langkah Sheraton.
Malaysia pernah menyaksikan parti yang kalah menjadi kerajaan dan yang mendapat mandat menjadi pembangkang. Kita juga pernah melihat bagaimana kerajaan yang diberi mandat itu ditebuk atap dan dipecahkan pintu belakangnya.

Ia menjadi sesuatu yang mengaibkan bagi sebuah negara yang khabarnya beramal dengan demokrasi.

Lebih menarik apabila rumus "yang kalah jadi kerajaan dan yang menang jadi pembangkang" itu cuba dilaksanakan sekali lagi selepas 19 Nov lalu. Justeru kita melihat sejumlah badut yang bersilat itu dan ini untuk menjustifikasikan formula masing-masing.

Tetapi jangan lupa, menteri yang ada sekarang pun berpotensi menjadi badut jelmaan. Ia pernah dibuktikan semasa kerajaan terdahulu, termasuklah ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan buat pertama kali pada 2018.

Bukan orang kesukaan ramai

Pada hari-hari awal ini nanti sudah tentu semua akan menjadi jinak laksana pijak semut pun tak mati. Tetapi tidak ada jaminan sikap tunduk itu akan kekal bertahan lebih lama.

Godaan kuasa sangat menggiurkan. Bak kata seorang bekas menteri: "Nak apa pun, petik jari saja!"

Justeru apabila ada ketikanya rakyat mula leka - atau menteri terbabit berasa mereka kebal daripada sebarang kecaman - mereka bertukar menjadi raksasa.
Grafik, dari Sheraton ke PRU15.

Pada ketika itu mereka akan memijak-mijak gajah sampai gajah mati!

Kerana itu adalah afdal untuk kita mengingatkan para menteri terbabit agar berhati-hati dalam tugas, serta selalu ingat bahawa mereka bukanlah orang kesukaan ramai. Jangan perasan yang kamu itu hebat.

Dalam keadaan rakyat berdepan banyak masalah, jangan diulangi perangai mengada-ngada tidak ketahuan seperti memakai pakaian atau aksesori mahal-mahal semasa tampil untuk ditonton orang ramai.

Perangai jelik sebegitu sebenarnya adalah suatu ludahan kahak ke muka rakyat yang sedang dihimpit banyak masalah. Rakyat tidak perlukan mana-mana menteri untuk menambah masalah mereka.
Gambar fail, ambulans beri laluan kereta YB.
Apabila kamu mahu ke mana-mana wahai para menteri, carilah masa yang sesuai. Tak payah menambah kesesakan jalan raya ketika orang ramai berulang-alik dari rumah ke tempat kerja, atau sebaliknya.

Polis itu tugasnya ialah menjaga ketenteraman dan keselamatan rakyat, bukan sibuk membunyikan siren menyuruh - atau memaksa - kenderaan lain meminggir demi untuk memudahkan seorang wakil rakyat tak berguna walau sekupang pun menelusuri jalan raya dengan megahnya.

Andai mencari pegawai, carilah kakitangan yang cekap, bukan cemerkap, atau kurang bekerja tapi lebih banyak bercakap.

Kami - rakyat ini - sudah bekerja bermati-matian untuk mencari rezeki dan membiayai gaji kamu serta gaya hidup kamu. Kegagalan membayar cukai adalah suatu dosa yang amat besar kerana kami akan dikejar sehingga ke liang lahad oleh agensi pengutip cukai.

Selain itu, rakyat juga perlu berdepan dengan penguat kuasa kerajaan tempatan yang kerjanya menyorok di celah-celah kedai, pokok, kenderaan atau seumpamanya semata-mata mahu mengeluarkan saman ke atas kereta yang tidak sempat dibayar parkirnya.

Kerajaan di atas sibuk menghabiskan duit dengan pelbagai cara, kerajaan di bawah sibuk mengeluarkan saman dengan pelbagai helah.

Lima tahun tak lama

Jika ada antara menteri itu kerjanya gemar bermotosikal besar, pergilah bermain-main di tempat yang tidak ada orang atau tempat jin bertendang. Usah menyibuk berkonvoi di jalan raya dan menganggap laluan itu dipunyai bapa atau datuk nenek masing-masing.

Pada menteri - malah sekelian waibi - wajib hidup untuk menyusahkan diri sendiri, bukan menyusahkan orang lain.

Hentikan juga kegilaan atau kemaruk menayang muka pada papan-papan iklan di mana-mana saja, khususnya di lebuh raya. Cukuplah pengusaha produk kosmetik atau penjaja air liur saja menyeksa orang ramai di situ.

Tak usah perasan dengan kebesaran dan gelaran. Sahut dan sapa serta ramahi sesiapa saja yang mahu menegur atau mengadu nasib. Usah memekakkan telinga andai kamu dipanggil tanpa gelaran YB atau Datuk atau Tan Sri.
Pada menteri dan ahli kerajaan itu tugasnya memberdayakan rakyat, bukan memperdaya mereka. Sudah berpuluh tahun proses pembodohan itu berlangsung dan biarlah kerajaan yang ada hari ini mengubah keadaan itu sepenuhnya.

Antara kebodohan tersebut ialah merahsiakan tarikh pilihan raya umum sehingga ke saat-saat akhir. Atau mungkin juga ia suatu kebijakan pemerintah, dan yang bodohnya ialah rakyat yang reda pada keadaan sebegitu.

Lagi pun tempoh lima tahun itu bukannya lama mana. Mungkin tempoh itu tidak sampai pun lima tahun. Dan pada masa yang sama, jangan lupa: ada beberapa negeri sedang menghitung hari untuk dibubarkan dewan undangan negerinya.

Gunakanlah masa yang ada untuk berkhidmat, dan mengangkat martabat rakyat ke tempat wajar. Fikirkan perut orang terbanyak, bukan poket dan tembolok sendiri atau penyokong peribadi.

Sudah tentu ia tugas yang agak mudah kerana kerajaan terdahulu meletakkan penanda aras yang rendah saja.

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah seorang wartawan sedang berdebar menanti kemunculan ketua pembangkang baru.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-