Oleh Rafidah Mat Ruzki
fidahruzki@bh.com.my
PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan gesaannya supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada November lalu adalah tepat kerana tidak berlaku banjir seperti yang dijangka sesetengah pihak.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, sebelum ini ada pihak yang melemparkan tohmahan terhadapnya.
"Ada pihak menjangkakan pilihan raya diadakan ketika musim banjir, tetapi banjir tidak berlaku, tapi yang kena tohmahan adalah saya.
"Tapi alhamdulillah, Allah SWT memihak kepada saya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JBPB) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid sebelum ini mendapat kecaman ramai pihak, termasuk ia dijadikan modal politik beberapa parti ketika ceramah pilihan raya.
Sebelum ini, media melaporkan Pusat Mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil untuk kawasan Parlimen Sepang ditukarkan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) Dengkil berikutan bangunan sekolah itu dilanda banjir dan tenggelam sepenuhnya pada 17 November lalu.
Proses mengundi di 11 pusat pengundian di Parlimen Baram pula digantung pada hari pengundian 19 November lalu berikutan cuaca buruk menyebabkan petugas tidak dapat tiba ke tempat bertugas sama ada melalui laluan udara, darat dan air.
Turut dilanda banjir empat pusat pengundian bagi PRU15 di utara Sarawak iaitu di Bahagian Limbang dan Miri, namun proses pengundian diteruskan apabila pengundi dibawa menaiki perahu untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
Media sebelum ini melaporkan seramai 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan Kabinet tidak sebulat suara mengenai keputusan membubarkan Parlimen bagi mengadakan PRU15.
Antara alasan yang dikemukakan adalah mengenai Monsun Timur Laut yang akan bermula dengan banjir dijangka melanda beberapa negeri di Malaysia, terutama di Pantai Timur.
Ahmad Zahid pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Dewan Taklimat ICU Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.