Wednesday, December 14, 2022

Lat terima kasih PM, cipta kartun baru untuk Anwar

malaysiakini.com
Farah Ayuni Zulkefli
Diterbitkan: Dec 14, 2022 9:35 AM
Kartunis ternama tanah air, Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat berbesar hati mencoret karya terbarunya buat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Saya buat kartun ni untuk berterima kasih kerana PM siarkan kartun lama saya tahun 90an,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam lukisan terbarunya itu, watak 'Kampung Boy' yang terkenal sedang duduk di kaki lima jalan dengan mejanya bertulis lukisan lama Lat untuk dijual.

Sementara itu, watak di dalam kereta dipercayai Anwar sedang memerhatikan karya-karya itu lewat tingkap kenderaan yang terbuka.
Sebelum ini, tular lukisan lama Lat yang memaparkan lima individu membaca buku tokoh pemikir besar dunia berkaitan Socrates, Confucius, Abu’l Fath Al Busti dan Lao-Tze.

Anwar turut berkongsi karya itu di halaman media sosialnya.

Dipercayai, ia menggambarkan keadaan ruang pejabat Anwar ketika dia menjadi timbalan perdana menteri lebih dua dekad yang lalu.

“Terima kasih Datuk Lat. Belum terlambat untuk memupuk budaya membaca.

"Karya-karya besar mesti ditelaah oleh golongan muda hari ini bagi melawan kebebalan dan mencambah daya fikir yang kritis,” kata Anwar pada hantaran di media sosial 11 Disember lalu.

Sementara itu, Lat merasakan sejak pandemik Covid-19, rakyat agak muram dengan penyakit dan kesusahan maka kerajaan perlu memberi pembaharuan.

“Saya harap kerajaan dapat memberi harapan baru kepada kita.

“Membantu kita untuk maju ke depan, menjaga rakyat dan memberi bantuan kepada rakyat,” kata Lat ketika ditanya mengenai harapannya terhadap pentadbiran Anwar.
Rumah Lat dan Galeri di Batu Gajah, Perak.
Dalam perkembangan berkaitan, Lat berkata dia menghargai para peminat kartunnya yang masih lagi menyimpan dan mengingati karyanya.

Katanya, dia sering melihat kartun-kartun lamanya sering keluar semula di media sosial berkaitan hal ehwal semasa, hari perayaan, gurauan dan sebagainya.

Lat juga turut memaklumkan pembukaan muzium seni yang menyelenggara dan mempamerkan karya-karyanya dengan nama Rumah Lat dan Galeri di Batu Gajah, Perak.

Muzium ini bersumberkan ilham karya popular Lat - The Kampung Boy dan dikendalikan oleh Lembaga Muzium Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-