Friday, December 2, 2022

Guan Eng: Saya sedia berkhidmat dalam apa jua kapasiti

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 2, 2022 1:44 PM
Pengerusi DAP Lim Guan Eng menegaskan bahawa mendapat jawatan kabinet adalah soal kedua berbanding memastikan masa depan Malaysia tidak ‘dicuri’.

Menjawab spekulasi mengenai kemungkinan dia tidak dilantik sebagai menteri kabinet di bawah kerajaan Anwar Ibrahim, bekas menteri kewangan itu dalam satu kenyataan hari ini, berkata dia sedia berkhidmat dalam apa jua kapasiti dalam kerajaan perpaduan.

“Biar saya nyatakan kesediaan saya untuk berkhidmat dalam apa jua kapasiti asalkan ia memenuhi kepentingan negara yang lebih besar supaya kerajaan perpaduan semasa yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim boleh terus berfungsi dan kekal stabil daripada pihak pelampau yang cuba melemah dan menjatuhkannya.

“Pakatan Harapan layak berada dalam kerajaan selepas memenangi kerusi terbanyak dan undi popular terbesar pada pilihan raya umum ke-15.
“Bersama-sama dengan BN dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak, kerajaan perpaduan ini mempunyai majoriti yang jelas mewakili kehendak rakyat bukan sahaja buat satu kumpulan tetapi setiap rakyat Malaysia yang berbilang bangsa ini,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

“Ini adalah kerajaan perpaduan Malaysia,” tambahnya.

Lim, yang berkhidmat dalam kabinet PH sebelum ini, sedang berdepan dengan perbicaraan mahkamah.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, bekas menteri kewangan itu berdepan soalan sama ada dirinya, bersama wakil rakyat yang lain seperti Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Abdul Rahman dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, harus menganggotai jemaah menteri sedangkan kes perbicaraan mereka sedang berjalan.
Perdana menteri dijangka mengumumkan sebagagian daripada anggota kabinetnya hari ini semasa lawatan ke kawasannya di Tambun.

Anwar dipercayai telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini dan mempersembahkan anggota kabinetnya.

Malam tadi, Anwar memberitahu bahawa senarai kabinet "hampir diselesaikan" dan dia akan membuat pengumuman dalam masa "dua atau tiga hari" lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-