Thursday, December 22, 2022

UMNO kini jadi ‘bala tentera’ DAP

agendaily.com
22/12/2022
Kini bukan lagi zaman penjajahan. Isu lama dan basi sudah boleh difahami oleh rakyat yang peka, khususnya dalam kalangan generasi muda yang paling ramai mengundi Perikatan Nasional baru-baru ini dan membaca semula sejarah yang sebenar.

DAP yang sebenarnya membawa agenda cauvinisme dan murtad kini tidak lagi bersuara setelah parti itu berjaya mewujudkan bala tentera Melayu yang tidak mempunyai semangat dan maruah agama serta bangsa, kata Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS itu menjelaskan bala tentera DAP, termasuk dalam kalangan PKR, AMANAH dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kini lantang bersuara bagi pihak parti itu.

Menurutnya DAP kini berjaya menarik UMNO yang menyerah kalah disebabkan kepentingan diri sendiri, sehinggakan sanggup meninggalkan asas perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan negara, selain melanggar resolusi perhimpunan agung yang menolak kerjasama dengan DAP.

Bagaimanapun, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional berkata PAS yakin sebahagian besar pemimpin UMNO tidak redha dengan langkah songsang oleh segelintir pemimpin mereka, bahkan ada yang secara terbuka melakukan protes.

“Kenyataan yang sebenar dalam PRU-15 yang lalu, DAP dan parti-parti sekutunya hanyalah memperoleh kemenangan dengan mengerahkan pengundi bukan Islam yang diugut dengan Islamofobia, dari seluruh pelosok tanah air sehingga luar negara dan seluruh penjuru dunia.

“Akhirnya, peratusan golongan bukan Islam yang keluar mengundi mencecah jumlah 98 peratus, namun mereka hanya memperoleh beberapa peratus yang kecil daripada undi orang Melayu Islam termasuk sebahagian yang berijazah,” katanya dalam kenyataan hari ini (22 Disember 2022).

Ahli Parlimen Marang itu berkata Perikatan Nasional mendapat 60 peratus sokongan pengundi Melayu Islam, dengan sebahagian besar pemimpin dan akar umbi UMNO yang setia kepada agama dan bangsa juga turut memberi sokongan.

Sokongan itu, katanya turut diberikan oleh parti bukan Melayu yang tidak fanatik perkauman seperti Gerakan, MCA, MIC dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Beliau menjelaskan walaupun Perikatan Nasional telah melaksanakan pendekatan kerjasama mengikut adab demokrasi dan undang-undang, dengan memperoleh kerusi yang boleh bertahan untuk mendapat kuasa politik yang sebenar secara demokrasi, ianya dipintas dengan pembentukan kerajaan secara luar tabii daripada amalan demokrasi yang sebenar dengan tipu daya dan putar belit yang sudah diketahui umum.

Pada masa sama, Abdul Hadi berkata DAP dan rakan-rakannya terus melatah tidak mampu mengawal perasaan kebenciannya terhadap Islam, Melayu dan Bumiputera, apabila memainkan isu mengenai bahaya ‘gelombang hijau‘.

“Perkara ini sekali gus mendedahkan warna kemerahan anti-Islam yang ada dalam diri mereka bersama parti-parti lain, laksana gerabak kereta api di belakangnya yang sebenarnya membawa bahaya kepada negara dan rakyat, termasuk rakyat bukan Islam dalam masyarakat majmuk ini,” katanya merujuk kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang mengenai ‘green tide’ dalam PRU-15 lalu.

Abdul Hadi berkata apabila hendak dilakukan protes terhadap amalan yang salah mengikut adab dan akhlak demokrasi sebenar yang adil dan telus, tiba-tiba mereka berhujah dengan mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh penjajah pada zaman dahulu dengan menonjolkan isu melawan raja bukannya melawan penjajah.

Keadaan ini katanya, mengulangi kembali cerita perjuangan menentang penjajah dahulu, dipusing jalan cerita kononnya untuk melawan raja, istana dan pemimpin masyarakat.

“Sehingga menyebabkan ada yang terperangkap dalam penipuan Perjanjian Pangkor 1874 dan perjanjian lain sebelum dan selepas itu, dengan menjemput penjajah secara percuma atau menggadaikan maruah serta tanah air dengan harta dan pangkat.

“Kenyataan sebenar Istana Negara sekiranya dibaca dengan teliti dan berhemah adalah berlainan dengan kenyataan politik para pemimpin PH yang cuba berbohong dan berselindung di belakang gambar Istana Negara. Istilah Kerajaan Perpaduan cuba dinyatakan dengan menyalahi maknanya yang sebenar.

“Malah, istilah Kerajaan Minoriti juga tidak tepat mengikut istilah ilmu politik, walaupun bagi mencukupkan pembentukan sebuah kerajaan terpaksa digabungkan semua parti menjadi satu atas nama PH, bukannya mengikut parti masing-masing seperti DAP, PKR, dan AMANAH.

“Sebaliknya akuan bersumpah yang telah diusahakan oleh Perikatan Nasional daripada berbagai-bagai parti secara amalan demokrasi tidak dilayan.

“Kini bukan lagi zaman penjajahan. Isu lama dan basi sudah boleh difahami oleh rakyat yang peka, khususnya dalam kalangan generasi muda yang paling ramai mengundi Perikatan Nasional baru-baru ini dan membaca semula sejarah yang sebenar,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-