Thursday, December 22, 2022

Kerajaan PH terus berbohong: Hadi Awang ingatkan sifat orang munafik

agendaily.com
22/12/2022
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat mengenai pembohongan berulang dilakukan kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) yang kini turut melibatkan Barisan Nasional (BN), setelah membentuk kerajaan bersama selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Presiden PAS itu mengimbas kembali kemenangan PH pada PRU-14 lalu adalah disebabkan janji-janji manis dimainkan ketika kempen, tetapi kemudiannya tidak ditunaikan setelah membentuk Kerajaan Pusat.

“Kita pernah menyaksikan pesta PRU-14 dahulu, selepas itu terbentuk sebuah kerajaan campuran bersama Pakatan Harapan (PH) yang menjadi tonggak kemenangan, hasil gabungan daripada beberapa parti yang bersaudara.

“DAP menjadi abang besar, selepasnya PKR dan diciptakan parti bernama Amanah, diikuti pula oleh kumpulan-kumpulan kecil NGO Islam dan bukan Islam yang mendukungnya.

“Ketika muqaddimah kempennya lagi sudah menunjukkan dengan penuh bersemangat akan menurunkan harga petroleum dalam tempoh masa 24 jam, tol akan dihapuskan, hutang PTPTN akan diselesaikan secepat kilat.

“Maka, menanglah PH dengan gelombang tsunami PRU-14 kerana janji-janji tersebut. Apabila ternyata cakapnya tidak serupa bikin, jatuhlah kerajaan PH yang tersungkur ke hadapan, bukannya kerana pintu belakang atau Langkah Sheraton seperti yang dinyatakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata pada PRU-15 lalu pula dimainkan dan diapi-apikan isu menentang rasuah, salah laku, perompak, penyamun, penyeleweng, penyangak, salah urus dan segala nama kesalahan yang meresahkan masyarakat umum yang membocorkan hasil negara.

Menurutnya, semua itu dijadikan modal kempen mereka bagi menarik sokongan rakyat, disertakan pula dengan janji yang luar biasa di luar kemampuan untuk dilaksanakan, semata-mata untuk memancing undi rakyat.

“Kini, mereka mula menunjukkan tembelangnya yang sebenar dengan politik yang menghalalkan segala cara bagi mendapatkan kuasa. Malangnya, mereka ditolak oleh anak muda yang mewujudkan gelombang di seluruh kawasan majoriti Melayu.

“Kejayaan PH yang bergabung bagi membentuk kerajaan, dicukupkan jumlah dengan gabungan segala puak dan individu yang melakukan kemungkaran yang menjadi sasaran mereka dalam masa kempen pilihan raya. Puak yang mereka senaraikan dalam kalangan yang tidak bermoral, dikatakan perasuah, perompak, lanun dan sebagainya.

“Golongan itu terdiri daripada kalangan yang telah disabitkan kesalahannya dan dihukum tidak bermoral, atau yang masih dibicarakan menjadi kluster mahkamah. Begitu juga, kalangan yang telah diberhentikan perbicaraan mahkamah atau yang boleh diragukan sifat peribadinya dan telah dikesan DNA-nya,” katanya lagi.

Menurutnya sifat buruk ini dilakukan kerana mereka terlalu bersemangat penuh rakus dan gila akan jawatan yang menghantui para pemimpinnya. Justeru, terserlah kebenaran sifat yang dilarang oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

“Wahai ‘Abdul Rahman bin Samurah, janganlah kamu meminta-minta untuk menjadi pemimpin. Maka, jika kamu diberikan jawatan dengan rakus meminta-minta, nescaya dibebankan kepada kamu (tanpa pertolongan dan petunjuk Allah). Jika jawatan itu diberikan bukan dengan cara meminta-mintanya, nescaya kamu akan diberikan pertolongan (oleh Allah dan mendapat petunjuknya).” (Riwayat al-Bukhari, no. 7146 dan Muslim, no. 1652)

Amaran Rasulullah SAW itu telah menjadi pilihan dalam kalangan PH yang menghalalkan segala cara, katanya.

“Kumpulan ini juga akhirnya berjaya mengambil alih kerajaan dengan cara di luar tabii daripada demokrasi yang biasa diamalkan di seluruh dunia.
Percayalah hasil tanaman politik daripada benih-benih tersebut akan membuahkan akibatnya secara berturut-turut, sehinggakan ia akan meruntuhkan kerajaannya sendiri dan menimpa para penumpangnya sekali,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut memetik ayat 2 dan 3 surah Al-Saff yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? (2); Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (3)” (Surah al-Saff: 2-3)

Menjelaskan mengenai ayat itu, Abdul Hadi berkata sebab wahyu ini diturunkan kerana ada dalam kalangan mereka yang bercakap berdegar-degar bagi menunjukkan semangat perjuangannya, tetapi, apa yang diucapkan itu tidak diamalkan apabila mereka diberikan peluang untuk berjuang, sehingga mereka mendapat kemurkaan yang besar daripada Allah SWT.

Selain itu, ayat ini juga ditujukan kepada semua perkara yang berkait dengan hukum haram seseorang itu berbohong, mungkir janji dan menipu. Bahkan, dikira memiliki sifat orang-orang munafiq, katanya yang memetik sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tanda-tanda munafiq itu ada tiga: Apabila bercakap dia berbohong, dan apabila berjanji tidak ditunaikan dan apabila diberikan amanah pula dikhianatinya.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 33 dan Muslim, no. 59)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-