Wednesday, January 11, 2023

Bahaya jika PH, UMNO bergerak solo hadapi PRN, mesti bersama: Mahfuz

agendaily.com
11/01/2023
PH dan UMNO mesti bekerjasama dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Tidak boleh tidak semua parti dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim – PKR, DAP, AMANAH, dan UMNO – mesti bergabung tenaga untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri beberapa bulan akan datang.

Justeru, kerjasama antara Pakatan Harapan (PH), dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN itu, sudah hampir pasti berlaku.

Pengerusi PH Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata bergerak secara solo dan menentang satu sama lain pada PRN akan datang hanya akan memberikan mesej yang buruk kepada kerajaan pimpinan Anwar.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, UMNO secara rasmi bergabung dengan PH bagi membentuk Kerajaan Persekutuan, setelah parti pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar masing-masing gagal mendirikan kerajaan secara sendirian.

Untuk rekod, UMNO hanya menang 26 daripada 120 kerusi Parlimen yang ditandinginya, mencatat sejarah kekalahan paling teruk, yang berpunca daripada sikap kepimpinan tertingginya yang mementingkan diri dan terpalit dengan kes-kes jenayah rasuah.

Mengulas lanjut Mahfuz berkata “Saya melihat ia (kerjasama) hampir pasti akan berlaku. Keadaan seperti itu tidak boleh jika tidak berlaku.

“Jika ia tidak berlaku, bermakna kita memberikan satu mesej salah terhadap Kerajaan Perpaduan yang ada di peringkat Persekutuan ini di mana berlaku gandingan PH-BN dan parti-parti lain.

“Jadi, hampir pasti PRN enam negeri akan berlangsung dengan gandingan PH, BN bagi menghadapi Perikatan Nasional,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Harapan Daily.

Dalam perkembangan sama, Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu memberitahu bahawa PH di peringkat nasional telah pun memberi lampu hijau kepada semua pemimpin untuk mengadakan perbincangan awal bersama BN bagi menghadapi PRN.

Di peringkat Kedah, kata Mahfuz, beliau sendiri bersama dua lagi pemimpin AMANAH telah bertemu dengan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi membincangkan kerjasama tersebut.

Beliau melihat ia sebagai pendekatan positif yang akan mendorong kepada persefahaman yang lebih baik.

“Saya telah dimaklumkan bahawa di enam negeri khususnya telah diberikan green light untuk memulakan perbincangan awal antara PH dan BN.

“Saya sendiri bersama lagi dua orang pimpinan AMANAH telah bertemu dengan Jamil Khir selaku Pengerusi BN Kedah bersama Setiausaha BN Kedah dan beberapa orang lagi di pejabat UMNO untuk membincangkan soal Kedah, khususnya nak menghadapi PRN,” ujarnya.

Di Kedah, Perikatan Nasional menguasai 13 daripada 14 kerusi Parlimen, sementara BN dan UMNO gagal memenangi sebarang kerusi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-