Wednesday, January 25, 2023

Harga barang naik, pemimpin UMNO diam membisu tak lagi dengar suara rakyat

agendaily.com
25/01/2023
Sidang media sebelum ini UMNO mengumumkan tarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

Kenaikan harga barang menjadi keluhan para pengguna apabila kerajaan dilihat lemah dalam menangani kos sara hidup rakyat yang semakin membebankan kebelakangan ini.

Anehnya, pemimpin UMNO sejak berada dalam kerajaan campuran bersama Pakatan Harapan (PH)-DAP nampaknya membisu dan tidak lagi lantang seperti berada dalam kerajaan sebelum ini sehingga boleh menarik sokongan terhadap Perdana Menteri (PM) terdahulu.

Para peniaga mengeluh dengan kos bahan mentah yang meningkat, sementara pengguna pula paling banyak terkesan apabila harga makanan juga turut naik.

Malangnya, ada pula seorang menteri meminta orang ramai tidak membeli makanan di restoran dan gerai jika merasakan terlalu mahal untuk dibeli.

Kenyataan pakar formula daripada PKR tersebut mengundang kritikan orang ramai, malah sebelum ini dalam isu harga ayam, menteri sama juga mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati orang ramai.

Jika sebelum ini menteri tersebut berkata jika harga ayam mahal, jangan beli ayam dan kini apabila harga makanan naik, boleh pula kata jangan makan di restoran dan gerai.

Menteri formula nampaknya hilang idea dan tidak mampu mencari idea yang bernas untuk menangani krisis kenaikan harga barang dihadapi rakyat, malah boleh meminta pula orang ramai untuk memulaukan peniaga.

Menteri tersebut bernasib baik kerana UMNO kini sudah menjadi rakan sekutu politik, maklumlah hubungan cikgu dan anak murid yang akrab sehingga menyebabkan nak kritik pun sudah takut sekarang ini.

Bukannya rakyat tidak tahu karenah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa dalam kerajaan sebelum ini, bukan main lantang membidas pentadbiran terdahulu hanya kerana harga barang naik.

Malah rakyat juga tidak lupa dengan langkah menarik sokongan yang diketuai Presiden UMNO terhadap kerajaan terdahulu, kononnya atas alasan mendengar suara rakyat.

Kini, selepas menjadi Timbalan Perdana Menteri, nampaknya suara garang Presiden sudah tenggelam dan tidak lagi dengar pandangannya dalam membela kebajikan rakyat yang semakin tersepit.

Bukan sahaja isu kenaikan harga barang tidak lagi diendahkan, isu tuntutan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga sudah tidak menjadi agenda perjuangan UMNO.

Jika sebelum ini UMNO paling kuat mendesak supaya kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP bagi membantu rakyat yang tertekan akibat kos sara hidup meningkat, tetapi sejak berada dalam kerajaan PH nampaknya sudah tidak lagi kedengaran desakan sama itu.

Pemimpin UMNO kini hanya memekakkan telinga dan membisu mulut daripada mendengar rintihan rakyat selepas mendapat nikmat kuasa.

Bukannya apa, nak bersuara lebih-lebih pun tidak boleh kerana UMNO kini hanya menjadi parti nyamuk dalam kerajaan campuran PH yang dibentuk.

Suara UMNO tidak lagi kuat seperti dahulu selepas mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah dan tinggal 26 kerusi sahaja di Parlimen.

Jika bersuara lebih-lebih, takut pula nanti dibidas DAP dan terpaksalah menelan sahaja apa yang sedang berlaku sekarang ini.

Nampaknya UMNO kini sudah berjaya dijinakkan sejak berada dalam kerajaan campuran PH, sehinggakan isu yang melibatkan kepentingan rakyat kini pun sudah tidak berani untuk bangkit bersuara.

Hendak tarik sokongan pun UMNO sudah takut, nanti hilang pula jawatan dalam kerajaan.

Daripada sebuah parti yang garang sebelum ini, UMNO kini menjadi parti kucing yang hendak bersuara pun sudah takut-takut.

Itulah natijahnya kerjasama UMNO bersama PH dan DAP kini, perkongsian kuasa diluar tabiat sehingga terpaksa menelan apa sahaja dan tidak boleh berbuat apa-apa lagi sekarang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-