Tuesday, January 17, 2023

DAP cela PKR maki, beginikah cara berkawan? Sindir PAS kepada UMNO

sgendaily.com
17/01/2023
Dua pemimpin kanan DAP dan PKR menghina dan merendah-rendahkan harga diri UMNO.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor Roslan Shahir Datuk Mohd Sahir mempersoalkan tindakan DAP dan PKR yang menghina UMNO setelah parti keramat Melayu itu menganggap mereka lebih setia dalam berkawan.

Namun, pada masa sama Roslan turut menasihatkan ahli UMNO supaya menerima sahaja penghinaan itu, kerana hal itulah yang mereka peroleh dalam kemenangan mendapatkan kuasa pemerintahan negara.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penghinaan pemimpin DAP dan PKR – Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy dan Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim, kelmarin dan semalam.

Menurut Roslan lagi, pada satu peringkat, UMNO yang cuma mempunyai 26 kerusi Parlimen telah diberi jawatan kedua tertinggi negara apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana membantu PH, khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi Perdana Menteri (PM).

Katanya PH juga sebenarnya tertekan kerana tanpa menunggang UMNO mereka tidak mungkin menjadi kerajaan dan Anwar sebagai PM, menjadikan gabungan itu satu situasi menang-menang antara kedua-dua gabungan itu.

“Lantas berkahwinlah dua musuh politik yang berbeza ini semata-mata kerana kuasa, sedangkan sepanjang kempen PRU-15 mereka berperang sakan, memaki hamun dan serang-menyerang antara satu dan lain.

“Anwar dan kumpulannya mendakwa BN dan UMNO adalah parti penyamun, kaki sakau, ketua perompak sambil mendendangkan di mana-mana sahaja lagu “Hoi hoi ya hoi kami semua penyamun”

“Zahid dan kumpulannya pula mendakwa Anwar dan PH “kaki kencing” menipu rakyat selama 22 bulan memerintah. DAP didakwa ekstrem dan rasis,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, Roslan berkata selesai sahaja PRU-15 PH dan UMNO berpelukan kerana tanpa berbuat demikian mereka tidak akan memperoleh kuasa, sementara ahli dan penyokong serta pengundi garu kepala sambil ternganga, ketika ketua-ketua parti itu membahagi-bahagikan kuasa.

“Tak mengapalah segalanya telah berlaku. Namun rupanya rumah siap pahat masih berbunyi. Bukan sahaja ahli dan akar umbi sahaja malah sesama pimpinan pun rupanya rimas dan sukar menerima perkahwinan ini.

“Rupanya api ketidakpuasan hati terhadap Zahid dan UMNO panas membara. Itu DAP. Ini PKR pula. Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Abd Karim pula melahirkan ketidakpuasan hati beliau dan menyifatkan BN dan UMNO adalah daripada kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah,” kata Roslan lagi.

Menurutnya dakwaan PKR bahawa BN dan UMNO adalah virus yang sedang menjangkiti Anwar serta PH selain dianggap sebagai racun toksik yang mampu membunuh adalah satu penghinaan yang dahsyat.

“PKR dakwa BN UMNO adalah virus yang sedang menjangkiti PM10 dan PH serta PKR. BN Umno dianggap racun toksid yang mampu membunuh PH dan PKR. Begitu sekali hinanya BN UMNO di mata orang-orang PKR.

“DAP cela PKR maki, beginikah caranya berkawan? Hakikatnya UMNO yang memberi talian hayat pada PH tetapi UMNO pula dianggap virus yang boleh membunuh.

“Saya tidak tahu apakah ahli-ahli akar umbi UMNO yang bertungkus-lumus mempertahankan parti mereka boleh berdiam diri menerima asakkan bertalu-talu dari DAP dan PKR ini khasnya terhadap pemimpin dan parti mereka.

“Zahid mungkin sudah selesa dengan jawatan TPM dan tidak mahu ambil pusing atau membesarkan pergeseran ini tetapi pimpinan dan ahli-ahli Umno lain bagaimana? Biarkan DAP dan PKR menghina, merendah-rendah maruah dan harga diri Umno?

“Terpulanglah, pastinya pejuang sebenar UMNO yang telah menebus kemerdekaan negara dengan darah dan air mata tidak sesekali akan mengizinkan parti Melayu ini dihina begitu rupa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-