Showing posts with label PAU 2022. Show all posts
Showing posts with label PAU 2022. Show all posts

Saturday, January 21, 2023

KJ balas Puad: Umno bukan milik pemimpin tertinggi saja

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 21, 2023 1:50 PM
Khairy Jamaluddin membalas semula sindiran Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Puad Zarkashi terhadapnya, selepas dia memuji dua tindakan dua ahli parti itu yang membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkaitan usul tiada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno.

Khairy berkata Umno adalah parti milik anggotanya dan mana-mana anggota ada hak untuk mendapatkan penjelasan daripada ROS.

"Adakah Umno hanya milik kepimpinan tertinggi? Umno milik semua anggotanya. Mana-mana anggota boleh minta penjelasan daripada ROS.

"Kita mesti hormat mana-mana anggota Umno yang mahukan kejelasan memandangkan usul (Umno bahagian) Rembau sangat kontroversi dan ramai pakar undang-undang mempersoalkan kesahannya," katanya seperti dipetik New Straits Times, hari ini.

Bekas ahli parlimen Rembau juga mengulangi sokongannya terhadap mana-mana anggota Umno yang mahu mendapatkan penjelasan berkenaan kesahan usul itu.

Terdahulu, Puad membidas tindakan dua ahli Umno tersebut serta menyindir Khairy kerana menyuarakan sokongannya.

"Berani atau dipergunakan? Sepatutnya orang ataslah yang buat aduan. itu baru berani namanya

"Jangan guna orang bawah apatah lagi kalau bekas pegawai sendiri. Itu waras ke?" kata Puad.

Dua ahli Umno berkenaan - Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom (ahli Umno Negeri Sembilan) dan Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir (Terengganu) - sebelum ini dilaporkan menghantar notis bantahan kepada ROS.

Mereka mendakwa usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan sebagai tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan Umno.

Mereka memetik Perkara 9.3 Perlembagaan Umno yang menyatakan jawatan presiden dan timbalan presiden perlu dipilih menerusi mesyuarat perwakilan bahagian setiap tiga tahun.

Usul agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan dibawa perwakilan Umno Rembau Mohd Shukri Samsudin, yang menghantar usul tambahan ketika membahaskan ucapan dasar presiden ketika Perhimpunan Agung Umno yang lalu.

'Tanding jawatan selain presiden, timbalan jika benar mahu pulihkan parti'

malaysiakini
Haspaizi Zain
Diterbitkan: Jan 21, 2023 8:00 AM
Pemimpin veteran Umno Khir Toyo berkata sekiranya pemimpin parti ingin membantu memulihkan Umno, mereka boleh bertanding jawatan lain selain jawatan presiden dan timbalan presiden.

Bekas menteri besar Selangor itu mempersoalkan sama ada pihak yang ingin mencabar kepimpinan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mempunyai agenda peribadi dalam mencabar dua jawatan tertinggi parti berkenaan.

"Untuk memulihkan parti sewajarnya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dicabar. Jika tidak ia akan merencatkan proses pemulihan dan melebarkan perpecahan.

"Mereka yang ingin membantu memulihkan parti sewajarnya bertanding jawatan tertinggi lain dan melontarkan idea dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT), apatah lagi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi seorang yang suka mendengar pandangan ahli MKT.

"Bukan Zahid yang berkuasa dalam Umno, sebaliknya MKT. Apakah matlamat sebenar mereka yang ingin bertanding untuk jawatan dua tertinggi, apakah agenda peribadi untuk menjadi timbalan perdana menteri mahupun menteri?" katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Khir berkata sekarang bukan masanya untuk pemimpin dan ahli parti itu bertelagah sesama sendiri sebaliknya perlu bergandingan bahu untuk memulihkan Umno.

Pada 14 Jan lalu, majoriti perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2022 (PAU) menyokong usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata keputusan itu dicapai menerusi undian yang dijalankan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Usul tambahan agar dua jawatan tertinggi berkenaan tidak dipertandingkan dibawa oleh perwakilan dari Negeri Sembilan. Pada sesi undian itu difahamkan empat ahli MKT tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Pemimpin Umno Khairy Jamaluddin antara yang mahu agar dua jawatan tertinggi berkenaan dipertandingkan dan berulang kali memberi gambaran kesediaannya untuk bertanding.

Tak ada sebab untuk kecewa

Sementara itu, Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata mereka yang sebelum ini berhasrat bertanding dua jawatan tertinggi berkenaan masih boleh mencuba nasib merebut jawatan yang lain.
"Jadi tidak ada sebab mereka yang berhasrat untuk bertanding dua jawatan utama itu berasa kecewa kerana mereka masih ada ruang untuk menawar diri bagi merebut tiga jawatan penting naib presiden yang tersenarai dalam 'top five'.

"Malah, kehadiran mereka dalam barisan 'top five' (sekiranya menang) mampu memperkuatkan barisan MKT dalam usaha pemulihan semula Umno selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Mustapha, perbuatan sindir-menyindir perlu dihentikan serta tiada keperluan lagi untuk mencabar dua jawatan berkenaan yang diluluskan supaya tidak dipertandingkan.

Wednesday, January 18, 2023

Umno Alor Setar ingin cabar keputusan tiada pemilihan ‘top 2’ di JPPM

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
-January 18, 2023 6:54 PM
Jawatan presiden yang disandang Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan, timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Umno Alor Setar ingin mencabar keputusan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno yang diluluskan pada perhimpunan agung parti itu baru-baru ini di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, kata seorang AJK bahagian.

Ahmad Shokri Yaacob berkata bantahan itu akan dibawa ke perbincangan peringkat bahagian ‘dalam masa terdekat’.

““Kita akan hantar bantahan kepada JPPM,” katanya kepada FMT. “Kita bantah bukan nak khianat sesiapa tapi kita nak pastikan demokrasi dalam Umno subur dan setiap tindakan dilakukan perlulah mengikut perlembagaan.”

Semalam, Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata usul tambahan mengenai jawatan presiden dan timbalan presiden itu “tidak sah” dan “bertentangan dengan perlembagaan parti”, dan ahli yang tidak bersetuju berhak merujuk perkara itu ke JPPM.

Beliau berkata apa yang diluluskan dalam perhimpunan agung tidak boleh bertentangan dengan perlembagaan parti, yang menyebut pemilihan mesti dilakukan tiga tahun sekali atau sepanjang tempoh dibenarkan penangguhan.

Shokri yang juga salah seorang perwakilan pada PRU 2022 minggu lalu mendakwa tidak semua ahli yang bangun menyokong usul tersebut bersetuju jawatan “top two” tidak dipertandingkan, tetapi tidak mahu dituduh ‘jahat’.

“Selepas balik ke kawasan mereka bersuara dan kedengaran mereka menentang jawatan presiden dan timbalan tak dipertandingkan,” katanya.

Shokri menyifatkan dirinya sebagai ‘orang lama’ dalam Umno, dan menurutnya pernah melalui pelbagai ‘krisis’ dalaman termasuk ketegangan antara Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1988.

“Krisis kepercayaan di akar umbi sekarang lebih teruk. Saya bimbang dalam mesyuarat akan datang tidak ada suara yang akan datang untuk bermesyuarat,” katanya.

“Kita kena bagi balik mandat kepada akar Umno – siapa yang mereka nak memimpin parti. Dulu kita ghairah desak supaya PRU diadakan cepat, sepatutnya pemilihan parti juga begitu.”

Sementara itu, Mohd Yusof Ismail, yang sebelum ini ketua Umno Alor Setar sebelum keahliannya digantung, berkata ahli parti berhak minta JPPM teliti keputusan PAU 2022 itu.

“Jangan ada pemimpin kena macam saya bila bersuara kerana sayangkan parti,” katanya.

Keahlian Yusof sebelum ini dilaporkan digantung selama enam tahun, yang menurutnya atas sebab yang tidak dimaklumkan.

Tuesday, January 17, 2023

Kebebasan bersuara dalam UMNO sudah mati: Noh Omar

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe
Wakil anak muda tak dibenar berucap kerana kritik Zahid

BANGI, 24 Jamadilakhir 1444H, Selasa – Ibarat rumah siap, pahat berbunyi. Itulah perumpamaan yang boleh digambarkan terhadap keadaan UMNO pasca Perhimpunan Agung (PAU 2022), baru-baru ini.

Meskipun usul tambahan untuk tidak dipertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang sudah diluluskan, masih ramai akar umbi serta pimpinan UMNO tidak berpuas hati.

Keputusan itu juga tidak disokong Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar yang menganggap amalan demokrasi semakin mati di dalam parti berkenaan.


Beliau dalam kenyataan di Facebook kecewa apabila mengetahui terdapat wakil anak muda daripada Kelab-Kelab UMNO Luar Negara tidak dibenarkan berucap pada saat-saat akhir oleh pemimpin tertinggi UMNO ketika PAU 2022.

“Saya mendengar rintihan pelajar Malaysia dari Sheffield, United Kingdom yang pulang mewakili Kelab-Kelab UMNO Luar Negara di Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU) yang berakhir pada 14 Januari 2023 yang lalu.

“Saudara Muhammad Iman Irfan bin Yahya merupakan pelajar dari luar negara yang telah disenaraikan sebagai pembahas Ucapan Dasar Presiden No.17 di PAU 2022 tetapi di saat-saat akhir telah tidak dibenarkan berucap oleh pemimpin tertinggi UMNO Malaysia,” katanya.

Noh percaya tindakan yang dikenakan ke atas Muhammad Iman itu adalah disebabkan tulisannya di media sosial yang dilihat sebagai pengkritik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Amat membimbangkan apabila anak-anak muda terutamanya pelajar-pelajar Malaysia di luar negara, yang ingin mendekati dan bersama parti UMNO, kini menjauhkan diri kerana melihat demokrasi semakin mati dalam UMNO.

“Bukan sahaja jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dibenarkan ditandingi tetapi pembahas-pembahas seperti Muhammad Iman yang pulang jauh dari United Kingdom telah disingkirkan dan dibuang daripada berucap di PAU 2022 kerana takut beliau mungkin akan mengkritik Presiden UMNO di dalam ucapannya,” katanya.

Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu mendakwa, situasi itu jelas memperlihatkan bahawa bukan hanya demokrasi bahkan kebebasan bersuara juga telah mati di dalam UMNO.

“Kerana itulah ketika Usul Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden di undi untuk tidak dipertandingkan, saya duduk dan tidak menyokong. Ini adalah kerana saya mahukan demokrasi subur di dalam UMNO.

“Kerana saya juga amat bimbang sekiranya demokrasi di dalam parti tidak dipertahankan, apabila tiba pilihan raya umum negara dan pilihan raya umum negeri Selangor nanti, hanya saluran 1 dan 2 sahaja yang akan mengundi UMNO-BN.

“Manakala saluran 4 dan 5, undi dari anak-anak muda akan menjauhkan diri dari Barisan Nasional dan UMNO,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Sunday, January 15, 2023

Apa nasib UMNO selepas ini? Kembali mengaum atau makin layu

utusantv.com
Oleh Afiq Mohd. Shah
-January 15, 2023
Sebahagian daripada perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

SETELAH beberapa minggu spekulasi timbul, akhirnya semalam sah dua jawatan tertinggi dalam UMNO tidak akan dipertandingkan bagi menghadapi pemilihan yang sepatutnya diadakan sebelum 19 Mei depan.

Keputusan itu dicapai selepas undian dibuat dengan jumlah perwakilan yang menyokong usul bangun melebihi perwakilan yang tidak menyokong usul berkenaan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menutup tirai semalam.

Jadi dua penyandang jawatan itu iaitu Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan sudah boleh menarik lafaz lega untuk menerajui UMNO sekurang-kurangnya satu penggal lagi.

Cadangan agar dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan adalah menerusi usul tambahan dikemukakan wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin.

Walaupun mendapat reaksi berbeza perwakilan apabila ada yang menolak usul berkenaan bahkan terdapat juga episod ‘boo’ dalam Dewan Merdeka, tetapi keputusan telah pun dilakukan majoriti perwakilan.

Mengejutkan? Tentulah tidak. Keputusan itu sebenarnya sudah pun dapat dibaca beberapa hari atau mungkin beberapa minggu lepas lagi.

Ia diperkuatkan lagi apabila 140 Ketua Bahagian UMNO membuat sidang media menyokong supaya dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

Alasannya mudah, iaitu mahukan solidariti dan perpaduan kukuh menjelang enam pilihan raya negeri (PRN) pertengahan tahun ini.

Namun begitu, ada juga cakap-cakap yang mengatakan UMNO amat memerlukan perubahan.

Perlu ada muka baharu mengetuai parti terbesar orang Melayu itu kata pemerhati politik lebih-lebih lagi selepas mengalami kekalahan terburuk sepanjang sejarah Pilihan Raya Umum (PRU).

Jumlah hanya 30 kerusi yang berjaya dimenangi Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 sepatutnya memberi tamparan hebat terutama kepada UMNO.

Kebanyakan kerusi ‘selamat’ milik UMNO pula berjaya dirampas calon-calon Perikatan Nasional (PN) sama ada dari Pas atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Orang Melayu kini melihat PN sebagai ‘pilihan’ baharu berbanding UMNO yang terpalit dengan pelbagai kontroversi terutama soal rasuah.

Ramai juga yang berpandangan UMNO bakal ‘terkubur’ jika Ahmad Zahid dan ‘pasukannya’ terus kekal memegang tampuk pentadbiran parti itu.

Ada yang melihat PN ‘untung besar’ apabila Ahmad Zahid kekal kerana sokongan Melayu kepada UMNO mungkin tidak akan kembali.

Meskipun begitu, jangan lupa bahawa sebelum PRU-15, UMNO telah menang tujuh pilihan raya kecil (PRK) dan tampil ‘garang’ di dua pilihan raya negeri (PRN) iaitu di Melaka dan Johor.

Kesemua kemenangan itu tidak lain tidak bukan menerusi kepemimpinan Ahmad Zahid dan Mohamad sebagai teraju.

Sudah jadi lumrah, apabila menang bergaya tidak pula timbul soal perlukan kepemimpinan atau nafas baharu.

‘Hubungan’ bersama PN juga dibangkitkan sepanjang PAU 2022 ini termasuk rundingan pintu belakang yang dikenali sebagai Langkah St Regis.

Malah, Ahmad Zahid juga dilaporkan secara terbuka mengumumkan 10 ahli Parlimen BN termasuk ada daripada UMNO yang dikatakan menyokong Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

PAU 2022 juga dilihat menjadi platform memberi penerangan mengapa UMNO dan BN tidak memilih bekerjasama dengan PN tetapi bergabung bersama Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.

Memetik kata Mohamad atau Tok Mat sewaktu Majlis Perasmian Serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri, Khamis lalu, menyertai Kerajaan Perpaduan adalah tugas patriotik untuk negara.

Seperkara lagi, katanya, pengalaman bekerja dengan PN dalam kerajaan sebelum ini sangat sukar terutama dengan kewujudan parti yang mahu menghapuskan UMNO buat selama-lamanya.

“Begitu juga pengalaman kita bekerjasama dengan Pas. Mereka tidak pernah setia atau ikhlas. Tanpa segan, mereka berselingkuh dengan semua parti terutamanya si janda UMNO,” katanya.

Justeru, apa nasib UMNO selepas ini? Parti itu ketika ini dilihat hampir pasti memasuki PRN bersama PH untuk menentang PN. Mampukah dua gabungan parti politik ini mampu mengekalkan penguasaan atau menawan negeri-negeri di bawah PN?

Sejauh mana UMNO boleh melangkah terutama selepas membuat keputusan mengekalkan dua pemimpin tertinggi mereka.

Dinamika politik sentiasa berubah-ubah. Hari ini mungkin UMNO di bawah tetapi esok siapa yang tahu.

Apa yang diputuskan majoriti perwakilan ketika bersidang semalam sudah tentu ada alasan tertentu walaupun ramai yang mungkin kurang bersetuju.

Yang pasti, parti itu memerlukan anjakan untuk kembali memenangi semula hati rakyat.

Adakah parti terbesar orang Melayu itu akan kembali mengaum? Atau makin layu? Mungkin jawapannya semasa PRN di enam negeri nanti.

Rangkuman PAU: Zahid semakin kuat, tapi UMNO semakin lemah

agendaily.com
15/01/2023
Perhimpunan Agung UMNO 2022.

Berakhir sudah Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang berakhir semalam dengan penuh drama sinetron dan tidak kurang juga penipuan demi penipuan diteruskan demi kepentingan peribadi individu tertentu dalam parti yang rakus hendak terus berkuasa.

PAU yang sepatutnya menjadi tempat berkumpul terbesar bagi membincangkan masalah dan masa depan orang Melayu bertukar menjadi perhimpunan menyelamatkan pemimpin tertinggi untuk terus berkuasa walaupun sudah mengalami kecelakaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Daripada awal lagi sudah dijangka bakal terdapat komplot untuk memastikan kedudukan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dicabar pada pemilihan yang akan berlangsung, ia disusun dengan penuh licik dan tipu helah bagi memastikan kehendak pemimpin atasan parti dipenuhi.

Alasan kononnya mahu memastikan parti tidak berpecah adalah sama yang digunakan sebelum PRU-15 lalu dan ia diulang semula digunakan hanya semata-mata untuk memastikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terus menguasai UMNO.

Sebelum ini, alasan tersebut digunakan kononnya bagi memastikan UMNO kuat untuk menghadapi PRU-15 tetapi lihat apa yang jadi selepas itu, UMNO tergolek dan kalah teruk apabila hilang lebih banyak kerusi sehingga terpaksa melutut kepada seteru tradisi semata-mata mahu berada dalam kerajaan.

Malangnya, Zahid enggan pula mengaku kesalahan dan kesilapan yang menjadi punca utama kekalahan UMNO pada PRU-15 lalu dan tidak mahu berundur seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak lalu.

Disalahkan pula kepada ‘poster boy’ sebagai punca kepada kekalahan UMNO pada PRU-15 lalu dan Zahid tidak pernah melakukan kesalahan.

Namun, siapakah dalang dan watak utama yang mendesak supaya PRU-15 disegerakan sebelum ini, siapakah yang beria-ria mengadakan perhimpunan raksasa sebelum ini bagi mendesak Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen?

Adakah Zahid ingat rakyat melupakan semua perkara yang pernah dilakukannya sebelum ini terhadap Ismail Sabri?

Bukankah Ismail Sabri sebelum ini sudah memberi amaran dan menasihati supaya tidak diadakan PRU-15 dengan segera kerana UMNO belum cukup bersedia dan musim banjir semakin tiba ketika itu?

Siapakah yang berdegil dan memberi tekanan dengan penuh emosi dan amarah kepada Ismail Sabri sehingga didakwa terdapat ugutan untuk memecatnya jika tuntutan membubarkan Parlimen tidak ditunaikan?

Tapi semua ini bukan salah Zahid, yang salah adalah orang lain sehingga UMNO tinggal 20 kerusi lebih sahaja selepas PRU-15 lalu.

PAU yang berlangsung selama empat hari ini adalah sia-sia, UMNO tidak membincangkang langsung masalah dihadapi rakyat, isu kos sara hidup, isu ekonomi, isu sosial dan kebajikan rakyat semua diletak tepi pada perhimpunan kali ini.

Sebaliknya UMNO lebih sibuk mencari jalan dan merancang untuk menyelamatkan pemimpin atasannya yang mempunyai kepentingan peribadi sehingga terlupa tanggungjawab utama mereka kepada orang Melayu.

Para perwakilan UMNO juga sudah tidak segarang dan seberani dahulu dalam memperjuangkan hak orang Melayu, mungkin disebabkan mereka terpengaruh dengan dakyah pemimpin parti yang sudah mensucikan DAP selepas menjalinkan kerjasama dengan musuh utama itu.

Malah, ucapan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa pembukaan sidang sayap pada PAU secara tidak langsung memberi isyarat jelas kepada perwakilan supaya berhenti daripada memusuhi DAP dan menerima keputusan parti untuk menyokong kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Jadi, tidak hairanlah semasa PAU baru-baru ini tiada perwakilan mengkritik atau mengkecam DAP dalam ucapan mereka, penyucian tersebut sudah berjaya dan UMNO kini boleh duduk sekatil dengan musuh mereka itu.

Pemimpin atasan UMNO mengajar ahli-ahli UMNO untuk menjilat ludah mereka sebelum ini dan doktrin tersebut dilihat berjaya sehingga terpaksa ego sebelum ini yang terlalu membencikan DAP.

Jika suatu ketika dahulu, UMNO dilihat boleh diharapkan untuk menjadi tempat orang Melayu berpaut dalam membela nasib mereka, namun UMNO sekarang sudah berubah dan tidak boleh lagi diharapkan untuk bergantung.

UMNO kini menjadi parti yang mementingkan kuasa dan menjadi sebuah syarikat persendirian yang digunakan untuk tujuan peribadi bagi golongan elit dalam parti itu.

Penolakan rakyat terhadap UMNO semasa PRU-15 tidak dijadikan iktibar dan pedoman, malah UMNO semakin menjadi lebih angkuh dan sombong sehingga ruang demokrasi dalam parti mahu ditutup.

Langkah untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden menjadi bukti UMNO masih tidak berubah dan masih dalam sindrom penafian walaupun sudah ditolak teruk pada pilihan raya lalu.

Jika jawatan Presiden dan Timbalan dipertandingkan, ia sekurang-kurangnya dapat memberi nafas baharu kepada parti untuk melakukan perubahan pada masa depan tetapi nampaknya sebarang pembaharuan yang ingin dilaksanakan tidak disenangi oleh pemimpin elit UMNO yang merasakan tergugat jika terpaksa bersaing dalam pemilihan parti nanti.

Golongan elit dalam UMNO tidak mahu kedudukan mereka tergugat dengan kehadiran pencabar dalam pemilihan parti, malah masing-masing masih terlalu kemaruk berkuasa.

Pastinya keputusan meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan akan menjadikan Zahid lebih kuat dan dapat menguasai parti secara total, tetapi realitinya UMNO akan menjadi semakin lemah berbanding sebelumnya.

Jika PRU-15 lalu UMNO kehilangan banyak kerusi tradisi yang dimenanginya, tidak mustahil akan lebih banyak kerusi bakal hilang pada PRU-16 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Zahid mungkin lebih kuat apabila berjaya mengekalkan jawatan Presiden, namun secara realitinya UMNO akan menjadi semakin lemah apabila rakyat semakin menyampah dan meluat melihat corak politik yang diamalkan dalam parti tersebut.

Ahli-ahli UMNO perlu sedar sebelum terlewat, jika begini cara mereka berpolitik, kelak rakyat akan menolak mereka secara total.

Faktanya, UMNO akan semakin lemah selepas keputusan mengekalkan Zahid sebagai Presiden selama sepenggal lagi dan masa depan semakin gelap pada masa depan.


Mampukah UMNO berdepan badai dan penolakan rakyat yang lebih besar selepas ini?

Saturday, January 14, 2023

Zahid: Usul tiada pertandingan sah, patuhi perlembagaan Umno

malaysiakini.com
Pasukan Malaysiakini
Diterbitkan: Jan 14, 2023 

PAU 2022 | Usul agar tiada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi Umno adalah sah dan berlandaskan perlembagaan parti, tegas Presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

"Kita merasakan bahawa usul tambahan iaitu perkara 8 daripada usul ucapan cadangan dasar presiden itu adalah sepenuhnya mengikuti beberapa fasal yang terdapat dalam Perlembagaan.

"Kami berdua khususnya, tidak mengikuti bagaimanakah jurucakap pencadang itu dan penyokong melakukannya.

"Tetapi yakinlah daripada penelitian terhadap ucapan-ucapan jurucakap memperlihatkan bahawa parti dapat berjalan dengan baik dan untuk jawatan-jawatan naib presiden ke bawah, ianya terbuka seperti biasa,” katanya pada sidang akhbar selepas penggulungan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Mengulas lanjut, ahli parlimen Bagan Datuk itu juga berkata rasional terhadap perkara itu juga telah diperincikan oleh kesemua perwakilan yang membahaskan usul terbabit.

"Saya juga turut meneliti ucapan dasar ketua-ketua sayap dan juga jurucakap negeri-negeri.

“Maka keputusan tadi adalah keputusan muktamad sesuai dengan apa yang saya nyatakan dalam wawancara atau kenyataan media bahawa sesungguhnya kami berdua menyerahkan soal ini kepada perwakilan.

"Perwakilan yang diabsahkan adalah perwakilan di dalam Perhimpunan Agung Umno dan perkara ini telah dilaksanakan mengkut fasal-fasal dalam Perlembagaan parti dan peraturan parti," katanya.
Jelas Zahid lagi, tidak timbul isu dia takut untuk bertanding jawatan tertinggi parti itu kerana apa yang diusulkan itu adalah ketetapan yang dibuat oleh akar umbi.

"Mereka adalah mewakili akar umbi, jadi akar umbilah yang mahu supaya perpaduan dan penyatuan parti itu diutamakan," tambahnya.

Perwakilan Umno hari ini meluluskan usul agar tiada pertandingan dijalankan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu kali ini.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, turut mengesahkan usul berkenaan diterima perwakilan.
Katanya undian dijalankan melalui kiraan tangan dan perwakilan yang berdiri sebagai menyatakan sokongan.

Menurut sumber dalaman pula, usul tersebut diterima “dengan majoriti besar”.

"Lulus juga," kata Khaled kepada Malaysiakini.

Ditanya mengenai proses pengundian, Khaled berkata perwakilan berdiri dan mengangkat tangan sebagai tanda sokongan.

"Berdiri dan angkat tangan," tambahnya lagi.

Segelintir kurang senang

Semalam, perwakilan Negeri Sembilan mengemukakan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mohd Shukei Samsudin dari Rembau mengemukakan usul tambahan berkenaan ketika berucap bagi membahaskan ucapan dasar presiden petang tadi.

Bagaimanapun cadangan berkenaan mendapat reaksi berbeza perwakilan yang hadir.
Ketika ada segelintir perwakilan dikatakan kurang senang dengan usul berkenaan, sebahagian besar perwakilan yang lain pula bangun menyokong usul terbabit.

Perwakilan Johor dan Wilayah Persekutuan yang membahas usul dasar presiden bagaimanapun menolak usul supaya dua jawatan utama tidak dipertandingkan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil, berkata usul berkenaan disokong hampir kesemua perwakilan yang hadir.

Katanya, semua usul yang dikemukakan pada persidangan kali ini telah diluluskan oleh perwakilan Umno.

"Alhamdulillah setelah dicadang dan dibahas, semua usul yang dibawa oleh perwakilan-perwakilan Umno dari negeri-negeri di seluruh Malaysia termasuk usul tambahan (supaya jawatan presiden dan timbalan presiden dikekalkan dan tidak dicabar pada pemilihan tahun ini) telah diterima dan disokong oleh hampir semua perwakilan dalam Dewan Merdeka petang ini," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Laporan oleh Haspaizi Zain, Hariz Mohd, Shakira Buang, Ng Xiang Yi dan Low Choon Chyuan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-