Thursday, January 12, 2023

Kekal Zahid, Umno ibarat hidup segan mati tak mahu, kata Kadir Jasin

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-January 12, 2023 1:30 PM
Kadir Jasin.
PETALING JAYA: Seorang wartawan veteran berkata Umno ibarat hidup segan mati tak mahu jika mengekalkan Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin lain yang “toksik” dalam parti itu.

A Kadir Jasin berkata, ini kerana rakyat menolak parti itu bukan kerana tarikan oleh pembangkang tetapi disebabkan penolakan oleh Umno sendiri.

Katanya, faktor penolakan dari dalam akibat tingkah laku buruk dan perbuatan jenayah pemimpin Umno masih mendalam dan berterusan seperti terbukti dalam PRU November lalu.

“Sebahagian orang Melayu, termasuk di kubu-kubu kuat Umno di kampung tradisional dan tanah rancangan Felda sejak pilihan raya umum 2018, menolak Umno kerana tingkah laku buruk dan perbuatan jenayah pemimpin sendiri.

“Walaupun bekas presidennya, Najib Razak telah didapati bersalah dan dipenjarakan, isterinya Rosmah Mansor, didapati bersalah dan dihukum tetapi masih merayu, dan presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, telah diperintah membela diri, namun keyakinan terhadap parti itu belum pulih,” katanya di Facebook.

Kadir berkata, Umno terpelanting daripada tampuk kuasa sejak pilihan raya umum 2018 bukan kerana orang Melayu suka-suka menolaknya atau tergila-gila menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Malah dengan adanya parti serpihan Bersatu yang bekerjasama dengan PAS, sokongan kepada Umno menjadi lebih buruk. Dalam PRU lalu, calon Umno hanya memperoleh 13.55% undi. Maksudnya daripada setiap 100 orang Melayu keluar mengundi, hanya 13 orang pangkah calon Umno.

“Daripada 109 kerusi dimenangi dalam PRU 2004, kehadiran Umno dalam Dewan Rakyat jatuh kepada 79 pada 2008, naik sikit kepada 88 pada 2013, jatuh semula kepada 54 pada 2018 dan sekarang tinggal 26 saja,” katanya.

Dalam pada itu, Kadir berkata dengan kekuatan Umno yang ada sekarang termasuk kedudukannya dalam kerajaan campuran diibaratkan umpama afid (kutu tumbuh-tumbuhan) yang dipelihara oleh semut.

“Umno boleh mengukuhkan semula organisasinya dengan memilih barisan kepimpinan yang diyakini dan, seperti dirumuskan Khairy Jamaluddin, menjalin persefahaman jangka panjang dengan PH.

“Dalam erti kata lain, Umno menjadi parti Melayu dalam PH. Kata Khairy, kalau dia ketuai Umno, itulah yang akan dia lakukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-