Wednesday, January 18, 2023

Masa depan UMNO bergantung kepada keputusan PRN selepas Zahid kekal jadi Presiden

agendaily.com
18/01/2023
UMNO akan bekerjasama dengan DAP menghadapi PRN di enam negeri tahun ini.

Selepas gagal mendapatkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kini masa depan UMNO bergantung kepada keputusan di enam negeri yang bakal diadakan nanti.

Walaupun Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dapat mengekalkan jawatannya sebagai Presiden, namun ia bukan jaminan UMNO akan dapat pulih serta-merta daripada kekalahan memalukan semasa PRU-15 dan kini terpaksa bergantung kepada sokongan Pakatan Harapan (PH) dan DAP untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Zahid dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan mungkin sudah terselamat apabila jawatan mereka berdua tidak akan dipertandingkan pada pemilihan UMNO nanti, tetapi parti belum tentu dapat terselamat.

PRN di enam negeri bakal menjadi penentu survival UMNO dan ia satu-satu peluang yang ada untuk membuktikan parti itu masih relevan kepada orang Melayu.

Bagaimanapun, cabaran utama yang akan dihadapi adalah bagaimana UMNO mahu mengubah naratif untuk memujuk pengundi tegar mereka khususnya orang Melayu yang selama ini didoktrin oleh parti itu sendiri untuk membenci DAP sejak berdekad lamanya.

Dalam keadaan UMNO sudah ditolak orang Melayu pada PRU-15 lalu, keadaan bertambah sukar apabila UMNO kini bersekongkol pula dengan PH-DAP untuk membentuk kerajaan campuran di peringkat Persekutuan.

Pengundi Melayu melihat keputusan UMNO memilih PH-DAP sebagai satu pengkhianatan kepada mereka, malah tidak kurang juga ada yang beranggapan ditipu hidup-hidup akibat perbuatan tersebut.

Lebih teruk lagi, UMNO kini berdepan krisis dalaman selepas keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi yang diputuskan semasa Perhimpunan Agung baru-baru ini.

Keputusan tersebut menimbulkan kritikan bukan sahaja daripada orang ramai, malah juga menerima kritikan dalam parti sendiri apabila terdapat kumpulan yang tidak berpuas hati kerana menyekat amalan demokrasi.

Beberapa pemimpin senior dalam UMNO sudah mula bersuara secara terbuka dengan mengkritik keputusan yang dibuat semasa PAU, kumpulan penentang yang dilihat berbeza pandangan dengan kem Presiden UMNO juga dilihat semakin membesar dan bertambah ramai susulan keputusan tersebut.

Antara yang mengkritik secara terbuka keputusan tersebut adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Majlis Tertinggi, Tan Sri Noh Omar, bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan beberapa pemimpin parti yang lain.

Majoriti akar umbi merasakan Zahid tidak sepatutnya lagi menguasai parti selepas kekalahan memalukan pada PRU-15 lalu, namun nampaknya anak murid Datuk Seri Anwar Ibrahim masih enggan mengaku kesilapan diri sendiri dan kini kekal sebagai ketua dalam UMNO tanpa ada pertandingan.

Umum mengetahui, penolakan rakyat terhadap UMNO adalah berpunca daripada Presiden itu sendiri yang banyak mencatur politik demi survival diri sendiri dan bukan demi parti.

Langkah mendesak PRU disegerakan, tindakan menarik sokongan terhadap kerajaan sebelum ini dan kes mahkamah yang dihadapinya menyebabkan persepsi rakyat terhadap UMNO juga menerima tempiasnya apabila ditolak rakyat.

Zahid mungkin terselamat apabila dapat kekal menjadi Presiden parti, tetapi UMNO belum dijamin masa depannnya dalam PRN nanti.

Adakah UMNO sedia berdepan penolakan total sekali lagi pada PRN nanti?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-