Saturday, January 21, 2023

Ya saya berdiri… tapi Nur Jazlan tak faham kenyataan, kata Ismail Sabri

agendaily.com
21/01/2023
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak faham isu yang beliau bangkitkan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak faham berhubung kenyataannya berkaitan isu dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan.

Ahli Parlimen Bera itu menegaskan beliau memberi kenyataanya dari sudut perundangan dan perlembagaan parti di mana keputusan dua jawatan tidak dipertandingkan itu perlu dirujuk kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Saya bercakap soal perundangan. Ada dua pandangan mengenai keabsahan keputusan itu, ada yang menyatakan ia sah dan sebaliknya.

“Kedua-dua pandangan itu ada alasan yang kukuh, jadi jika timbul pertikaian, maka mana-mana ahli boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan,” katanya lapor BH hari ini (21 Januari 2023).

Sebelum ini, Nur Jazlan menyifatkan tindakan Ismail Sabri itu pelik kerana ketika proses pengundian usul berkenaan dibuat, bekas Perdana Menteri kesembilan itu turut berdiri menyokong dua jawatan utama berkenaan tidak dipertanding.

Menurut Nur Jazlan lagi, walaupun majoriti perwakilan UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU) sudah membuat keputusan supaya dua jawatan utama parti itu tidak dipertandingkan, masih ada suara sumbang yang tidak berpuas hati, ibarat rumah siap, pahat berbunyi.

Mengulas lanjut Ismail Sabri menjelaskan, ramai yang tidak faham dengan kenyataan beliau, termasuk Nur Jazlan.

“Seperti dinyatakan, setiap ahli berhak mengambil tindakan, termasuk merujuk kes itu kepada ROS,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan Nur Jazlan yang beliau sendiri bangun menyokong usul itu, Ismail Sabri berkata, beliau tidak mahu berdebat mengenai isu berdiri atau duduk.

“Ya, saya ada berdiri ketika laungan ‘Allahu Akbar’. Ada gambar yang menceritakan segala-galanya,” katanya.

Sebelum ini, Ismail dilaporkan berkata, keputusan PAU 2022 meluluskan usul itu sebagai suatu pendirian yang membimbangkan.

Beliau berkata, ia juga dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-