Saturday, January 21, 2023

Kampung Melayu lenyap: Apa motif DAP bawa pakar Singapura masuk KPKT?

agendaily.com
21/01/2023
Kerajaan DAP Pulau Pinang kerap meminta nasihat Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura bagi melaksanakan perancangan 'pecah dan perintah' di negeri itu, dakwa Setiausaha Perhubungan PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

Bekas ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim membidas Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming kerana terlalu ‘ghairah’ dalam mendapatkan nasihat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura bagi melaksanakan projek perumahan mampu milik di Malaysia.

Mengimbas kembali sejak kali pertama menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pada 2008, beliau mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang kerap meminta nasihat Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura bagi melaksanakan perancangan ‘pecah dan perintah’ di negeri itu.

Menceritakan pengalamannya ketika menjadi ahli MPPP, Iszuree melihat bahawa “semua perkampungan Melayu telah terhapus sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013 dan digantikan dengan kondominium”.

“Salah satu sebab saya dipecat sebagai Ahli MPPP 26 September 2014 adalah kerana saya menyuarakan bantahan, kebimbangan nasib kampung warisan makin ranap sebaik DAP mendapat kuasa selepas PRU-13. Saya sebutkan dalam ucapan saya di Muktamar PAS di Batu Pahat Johor 2014.

“Kini Menteri DAP KPKT secara terang dan terancang menjemput HDB Singapura masuk. Apa akan jadi dengan Tanah Rizab Melayu di Tanah Melayu?” soal Setiausaha Perhubungan PAS Pulau Pinang itu.

18 Januari lalu, Kor Ming mengumumkan kerajaan PH-BN akan menerima bantuan pakar HDB dari Singapura iuntuk berkongsi pengalaman mereka dalam pembangunan perumahan di negara republik itu dengan KPKT.

“Pakar-pakar HDB akan masuk ke KPKT mungkin bulan depan untuk berkongsi pengalaman kejayaan mereka,” kata Kor Ming.

Dalam pasa itu, Iszuree melahirkan kebimbangan sekiranya keadaan sekarang berterusan untuk 10 hingga 20 tahun lagi, Kampung Warisan Melayu di pinggir Pulau Pinang akan menjadi seperti di Geylang Serai (di Singapura).

“Di Penang sebelah pulau, SPS (Seberang Perai Selatan) dan SPT (Seberang Perai Tengah) sudah ranap. Majoriti orang Melayu sudah lari dan kini jadi minoriti,” katanya menerusi Facebook beliau.

Beliau mengingatkan bahawa agenda DAP adalah membina terowong atau jambatan ke tiga dengan menghala dari George Town terus ke Seberang Perai Utara di mana terletaknya kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugur.

Beliau menjelaskan bahawa perkampungan Melayu di dua kawasan Parlimen itu bakal diranapkan, namun agak susah kerana kedua-duanya kini dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, beliau menasihatkan anak muda supaya mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Singapura dan Pulau Pinang, sekiranya DAP terus memerintah.

“Penyelamatnya adalah ‘gelombang tsunami hijau’ dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

“Gelombang hijau harus menjadi realiti dan menumbangkan kerajaan DAP Pulau Pinang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-