Friday, February 10, 2023

BN tak ada suara runding kerusi dengan PH, kata sumber

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
-February 10, 2023 8:31 AM
PH menguasai 40 daripada 56 kerusi di DUN Selangor, manakala BN hanya lima kerusi.

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai suara kuat dalam rundingan kerusi bersama Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN di Selangor, menurut sumber terdekat.

Katanya, Umno yang juga parti tonggak BN disifatkan seperti “haiwan tercedera” dan tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan terma.

“Pengajaran yang diperoleh daripada PRU15 adalah orang Melayu tidak lagi melihat Umno (menjuarai kepentingan mereka),” kata pemimpin PH berkenaan yang enggan dinamakan.

PH menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN Selangor, disokong BN (5), Parti Bangsa Malaysia, dan Warisan.

Katanya, imej Umno rosak apabila pemimpinnya berdepan tuduhan rasuah.

Sumber itu berkata, Perikatan Nasional (PN) mencapai prestasi yang bagus kerana dipilih orang Melayu yang tidak mahu mengundi PH.

“Jadi, kami (PH) tahu Umno sanggup melakukan apa sahaja untuk bekerjasama,” katanya sambil menambah, PH tahu Umno terdesak untuk berada di “pihak yang menang”.

“Hakikatnya, Umno lebih lemah sekarang berbanding beberapa bulan lepas dengan pemecatan dan penggantungan keahlian tokoh penting seperti Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.”

Sumber itu berkata, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, dan Shahril, bekas ketua penerangan Umno, adalah antara tokoh yang berjaya menarik sokongan orang muda kepada parti itu.

Khairy dan bekas ketua Umno Selangor, Noh Omar, dipecat kerana melanggar disiplin parti pada PRU15.

Shahril digantung keahliannya selama enam tahun, bersama bekas naib presiden Umno dan Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein; pemimpin Umno Tebrau Maulizan Bujang; dan bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif.

Dalam pada itu, sumber Umno mengakui partinya pada kedudukan yang lemah, terutamanya apabila Ahmad Zahid Hamidi masih memegang teraju.

Katanya, keputusan Zahid menyingkirkan calon boleh menang seperti Khairy daripada Rembau, dan menggugurkan Noh daripada senarai calon walaupun beliau popular dalam kalangan pengundi Tanjong Karang, mengakibatkan Umno hilang dua kerusi.

“Anda gugurkan calon seperti Noh yang disukai rakyat, sudah pasti akar umbi tidak gembira,” katanya sambil menambah, keputusan terbabit mendorong akar umbi mensabotaj parti.

Beliau berkata, keadaan Umno yang lemah bermaksud PH berada dalam kedudukan yang lebih kuat dalam rundingan kerusi.

Tahun ini, negeri-negeri PH, iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, serta negeri-negeri bawah kawalan PAS, Kedah, Kelantan and Terengganu akan mengadakan PRN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-