Wednesday, February 1, 2023

Kes Zahid: Saya tak mahu dahului mahkamah, kata Anwar

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 1, 2023 4:36 PM
Kerjasama politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi terus menjadi tumpuan dalam wawancara media.

Bloomberg adalah yang terbaru menyoal pengerusi Pakatan Harapan itu mengenai perkara berkenaan.

Merujuk kepada gesaan tegas menentang rasuah, perdana menteri ditanya bagaimana dia mempunyai timbalan perdana menteri yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah.

Anwar, yang kuasanya bergantung kepada sokongan Zahid dan sekutunya, berkata bahawa dia tidak mahu terburu-buru mendahului mahkamah berhubung kes presiden Umno itu.

“Dia (Zahid) telah disiasat dan didakwa - sedang menjalani perbicaraan dan mahkamah harus membuat keputusan secara bebas. Saya menyatakan dengan sangat jelas bahawa mahkamah adalah bebas dan saya tidak fikir saya harus menghakimi terlebih dulu (daripada mahkamah).

“Tetapi ia tidak sepatutnya hanya bersifat politik semata-mata. Mengapa merujuk kepadanya (Zahid) secara peribadi sedangkan saya telah mengatakan bahawa sistem itu yang korup?

“Terdapat begitu ramai pemimpin politik lain yang telah menyalahgunakan jawatan mereka; bekas perdana menteri, bekas menteri kewangan, mencecah ratusan dan jutaan dolar,” katanya.

Ditekan lebih lanjut, Anwar menjawab: “Saya bukan di sini untuk membincangkan kesnya. Saya di sini untuk mencadangkan bahawa proses mahkamah mesti bebas dan dia mesti diberi peluang - keadilan untuk diadili oleh mahkamah yang bebas dan tidak berat sebelah."
Mengenai apa yang akan berlaku jika Zahid disabitkan kesalahan dan dipenjarakan, Anwar memilih untuk bercakap tentang bagaimana keadaan telah berubah.

“Mari kita bergerak ke hadapan. Kita perlu bekerja dari hari pertama, untuk memastikan sistem yang kita ada mempunyai tadbir urus yang baik, dan sistem itu bebas daripada pemimpin yang korup. Dan saya fikir untuk bersikap adil, mereka telah mematuhi peraturan ini sekarang.

“Tiada satu kesan yang saya dapati daripada mana-mana pasukan saya kini cuba membazir melalui kontrak atau projek dan saya puas hati dengan itu. Orang harus menilai saya bermula dua bulan lalu,” tambahnya.

Belajar selama bertahun-tahun

Sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15 lagi, terdapat dakwaan mengenai pakatan antara Anwar dan Zahid - dengan pesaing politik mendakwa ia akan berakhir dengan pembebasan Zahid.

Mengenai perasaan menjadi perdana menteri selepas lebih dua dekad dalam politik, Anwar berkata: “Menunggu di koridor kuasa sudah tentu satu pengalaman kerana anda memerhatikan pemain-pemainnya.

“Ia seperti King Lear dengan Cordelia melihat ke pentas dan anda belajar daripada kekuatan dan kelemahan musuh anda, dan mudah-mudahan apabila anda berada di pejabat, anda cuba dan bertambah baik, dan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat," tambah Anwar, merujuk kepada karya penulis Inggeris, William Shakespeare.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-