Thursday, February 9, 2023

PRN Kelantan: Bersatu tanding lapan kerusi DUN dikuasai UMNO

agendaily.com
09/02/2023
Bersatu tanding lapan kerusi DUN pada PRN Kelantan.

Bersatu akan bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan yang tujuh daripadanya sekarang ini disandang oleh wakil rakyat daripada UMNO, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) beberapa bulan lagi.

Tujuh daripada kerusi terbabit ialah:
N.25 Kok Lanas – disandang Datuk Md Alwi Che Ahmad;
N.27 Gual Ipoh – Bakri @ Mohd Bakri Mustapha;
N.36 Bukit Bunga – Datuk Mohd Adhan Kechik;
N.38 Kuala Balah – Datuk Abdul Aziz Derashid;
N.38 Nenggiri – Ab Aziz Yusoff;
N.44 Paloh – Amran Ariffin; dan
N.45 Galas – Mohd Syahbuddin Hashim.


Satu lagi kerusi dimenangi UMNO ialah DUN N.37 Ayer Lanas, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu Datuk Seri Mustapa Mohamed, telah menyertai Bersatu.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada Mustapa akan bertanding mempertahankan kerusinya dalam PRN akan datang kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, beliau tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jeli.

Sebaliknya, setiausaha politik beliau Zahari Kechik daripada Bersatu bertanding atas tiket PAS dan memenangi kerusi berkenaan mengalahkan calon Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Putra.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang juga Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor, berkata Perikatan Nasional (PN) secara dasarnya bersetuju memberi keutamaan kepada parti itu bertanding di DUN dikuasai UMNO, kerana PAS menang 37 daripada 45 DUN pada PRU-14.

Bagaimanapun beliau dilaporkan berkata rundingan pembahagian kerusi belum muktamad, selain kemungkinan Bersatu mungkin diberi lagi kerusi dimenangi PAS untuk ditandingi.

Apapun, sebagaimana PRU-15 lalu, semua calon PN, termasuk Bersatu dijangka menggunakan lambang PAS bagi PRN di Kelantan. Langkah sama juga akan digunakan dalam PRN Terengganu, manakala lambang PN digunakan bagi PRN Kedah.

“Secara dasarnya, kita ada persetujuan, iaitu Bersatu diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi disandang Umno.

“PAS juga mungkin akan bertanding di beberapa kawasan yang kini tidak diwakili mana-mana wakil rakyatnya seperti bawah Parlimen Gua Musang dan Jeli … itu antara cadangan yang mungkin akan dibincangkan,” kata Kamaruddin.

Kamaruddin berkata tidak wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan komponen PN berhubung pembahagian kerusi DUN Kelantan.

Negeri Pantai Timur Semenanjung itu sekian lama disifatkan sebagai didominasi PAS.

“Kita bertoleransi sesama kita untuk kebaikan bersama dan yang penting, kemenangan, supaya kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS sekarang, mewakili PN, dapat dikekalkan.

“Kita sasar menang semua 45 DUN sepertimana (menang semua) 14 Parlimen pada PRU-15 lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata hanya PAS dan Bersatu akan mewakili PN di Kelantan, memandangkan pengundi Melayu membentuk majoriti di semua kawasan.

Gerakan pula akan bertanding di kawasan-kawasan majoriti pengundi bukan Melayu di negeri lain, tambahnya.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan Zulkifli Mamat dilapor berkata PAS sudah menyelesaikan agihan kerusi bagi semua 45 DUN bersama rakan komponen PN bagi menghadapi PRN tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-