Monday, February 6, 2023

UMNO bakal kalah PRN kerana berkawan dengan DAP, kata Noh

agendaily.com
06/02/2023
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menjangkakan UMNO akan kalah teruk pada PRN akan datang setelah parti itu berkawan dengan DAP.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor yang dipecat daripada parti itu, Tan Sri Noh Omar berkata UMNO akan kalah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) beberapa bulan lagi kerana orang Melayu tidak suka parti itu berkawan dengan DAP.

Serentak itu, beliau menjangkakan UMNO akan kalah teruk dalam PRN di enam negeri, termasuk Selangor, berdasarkan penolakan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

“UMNO dijangka mengalami kekalahan, termasuk di beberapa kubu kuat parti itu pada PRN Selangor. Berdasarkan keputusan PRU-15 lalu, semua kawasan Parlimen di Selangor tewas.

“Kawasan kubu kuat pun kalah seperti di Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam. Ketiga-tiga kawasan itu Perikatan Nasional (PN) menang… itu kawasan majoriti Melayu,” katanya semalam.

Noh yang juga bekas ahli Parlimen Tanjung Karang yang tidak dicalonkan pada PRU-15 lalu, tidak melihat UMNO berpeluang menang sekiranya hanya mengharapkan pengundi Melayu sahaja.

“Mungkin pada masa itu (PRU-15), pengundi masih menyokong UMNO tetapi sekarang ini, orang yang sokong UMNO bila dia tengok parti itu berkawan dengan DAP… dia takkan undi,” katanya lagi.

Menurutnya pengundi yang berjumpa beliau misalnya mengakui tidak akan memilih UMNO sekiranya parti itu terus bekerjasama dengan DAP.

“Saya berjumpa dengan orang kampung saya mengaku undi BN (Barisan Nasional) pada PRU-15 lepas, tetapi kalau tahu UMNO bersama DAP, mereka kata tak mahu undi BN,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya adakah beliau sedia untuk merayu berhubung pemecatan daripada UMNO, Noh berkata, keputusan pemecatan beliau dibuat oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Hendak merayu kepada siapa? Kalau (pemecatan daripada Lembaga Disiplin UMNO bolehlah) merayu kepada MT (Majlis Tertinggi).

“Selagi Presiden itu ada, takkan beliau hendak terima rayuan saya? Tak pernah berlaku, belum lagi MT bermesyuarat, keputusan sudah dibuat.

“Sepatutnya cadang dahulu pada MT dan dibahas dan jika ada percanggahan pendapat, undilah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-