Friday, March 17, 2023

Mat Maslan kata ahli UMNO dipecat tak usah masuk campur lagi

agendaily.com
17/03/2023
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyuruh bekas pemimpin UMNO yang dipecat supaya tidak mencampuri urusan dalaman parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyuruh bekas pemimpin UMNO yang dipecat tidak mencampuri urusan parti itu kerana sudah tiada lagi kaitan dengan mereka.

Beliau juga berkata, UMNO tidak memerlukan pandangan mereka untuk menentukan hala tuju parti itu.

“Saya pun hairan, mereka masih bercakap berkaitan parti UMNO.

“Cakaplah dengan parti sendiri (kalau dah masuk parti lain), biar UMNO urus sendiri, tanpa campur tangan mana-mana pihak,” katanya menurut laporan Utusan.

Terdahulu beliau melawat perusahaan membuat otak-otak di Pontian Besar, hari ini (17 Mac 2023).

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang menyatakan kedudukan Presiden UMNO masih boleh digugat, termasuk digulingkan, sekiranya mendapat undi tidak percaya dua pertiga ahli Majlis Tertinggi (MT).

Noh dipecat sebagai ahli UMNO pada 27 Januari lalu. Selain Noh, bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Sahidan Kassim yang kini Ahli Parlimen Arau daripada Perikatan Nasional (PN) cuba mengemukakan usul tergempar tentang kewujudan surat yang dikatakan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) di Dewan Rakyat.

Turut dipecat ialah bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sebelum ini, Khairy dengan nada sinis mempersoalkan sama ada pemilihan UMNO masih relevan atau tidak, kerana parti itu sendiri telah menjadi pilihan ketiga dalam kalangan pengundi Melayu semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, lebih baik mereka memberikan tumpuan terhadap parti yang telah mereka sertai daripada mengambil tahu mengenai hal UMNO ketika ini.

Ditanya kemungkinan berlakunya rombakan Kabinet selepas Pemilihan UMNO tahun ini, beliau enggan mengulas kerana kuasa pelantikan terletak di tangan Perdana Menteri.

“Tiada dalam pengetahuan saya mengenai perkara tersebut,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-