Friday, March 17, 2023

Kertas siasatan kes guru dorong murid peluk Islam masih belum lengkap

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Mar 17, 2023 1:54 PM
Siasatan ke atas kes seorang pelajar didakwa diajak memeluk Islam jika mahu peluang besar menyertai pasukan bola sepak kebangsaan masih belum selesai meskipun sudat berlarutan lebih sebulan.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata Bukit Aman pada 16 Mac lalu mengarahkan supaya siasatan lanjut dilakukan.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Ketua Penolong Pengarah D5, Bukit Aman dan telah diterima semula oleh pihak Bahagian Siasatan Daerah Cheras semalam dengan arahan lanjut siasatan.
ACP Zam Halim Jamaluddin
“Kertas siasatan lengkap akan diedarkan semula ke Bukit Aman pada 20 Mac ini sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya ketika diminta mengulas dakwaan keluarga bahawa mereka tidak mendapat sebarang maklumat berhubung kes itu.

Awal Februari lalu, satu laporan polis dibuat terhadap seorang guru selepas ibu bapa mendakwa anak mereka yang menuntut di Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Kuala Lumpur dipujuk memeluk Islam, dengan alasan ini mampu meningkatkan peluangnya untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan.

Guru berkenaan juga didakwa telah mencadangkan beberapa nama Islam untuk dipilih oleh remaja berusia 15 tahun itu.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dan awam serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Kementerian Pelajaran (KPM) juga dilaporkan telah memulakan siasatan dalaman.
Arun Dorasamy
Sebelum ini Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia Arun Dorasamy yang mewakili pihak keluarga berkata bahawa pihaknya bersiap sedia membawa isu itu ke mahkamah sekiranya tiada sebarang tindakan daripada pihak polis.

"Sehingga hari ini tiada sebarang perkembangan dalam kes ini. Pihak penguatkuasa tidak telus. Kami tidak diberitahu sebarang maklumat mengenai kes ini.

"Ibu bapanya berasa bimbang untuk menghantar budak itu semula ke sekolah.

Arun juga berkata pihaknya berasa pelik dengan tindakan polis menghantar kertas siasatan ke Ibu Pejabat Kontigen untuk tindakan selanjutnya.

"Saya rasa kes ini tidak begitu rumit. Ini bukan skandal 1MDB.

"Polis telah datang ke sekolah bagi menjalankan siasatan ke atas beberapa pelajar dan guru. Semua prosedur telah dilakukan dan mengikut laporan media kertas siasatan telah telah diserahkan kepada IPK.

"Saya tidak tahu mengapa mereka perlu mengemukakan kepada IPK. Ia sepatutnya pergi ke pejabat TPR untuk tindakan selanjutnya. Kelihatan seperti polis sedang menunggu untuk NFA (tiada tindakan lanjutan)," katanya.

Malah, kata Aun, pihak keluarga murid berkenaan memandang serius kelewatan pihak berkuasa bertindak dalam kes ini.

"Ini kes serius, ada pihak menyalahgunakan fasiliti sekolah berdakwah kepada murid bawah umur," katanya.

Pada 23 Feb, Zam Halim memberitahu Malaysiakini bahawa kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-